Kasut mempunyai banyak fungsi, terutama melindungi kaki kita.
Ia menyerap tekanan berat badan dan memberikan keselesaan serta gaya pada kaki kita.
Oleh itu mencari kasut yang tepat dan memastikan ia sesuai amat penting untuk menjaga kesihatan kaki dan badan kita, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Kasut yang tidak sesuai boleh menyebabkan kesakitan dan masalah kaki seperti sakit tapak kaki (plantar fasciitis), jari kaki tukul (hammer toes), bunion (bengkak pada sendiri pertama ibu jari kaki yang tersesar ke sisi), kulit kaki kering dan pecah serta banyak lagi.
Bagi membantu anda mencari kasut yang sesuai, American Orthopaedic Foot and Ankle Society, memberikan 10 panduan:
1. Ukur kaki anda
Saiz dan bentuk kaki boleh berubah dari semasa ke semasa. Jangan bergantung pada saiz yang anda pakai sejak dahulu.
2. Pilih kasut ikut kaki lebih besar
Kebanyakan orang mempunyai sebelah kaki lebih besar daripada yang lain, jadi pastikan kededua kaki diukur.
3. Ukur kaki pada penghujung hari
Sepanjang hari, kaki akan membengkak dan berubah sedikit. Pastikan anda berasa selesa sepanjang hari, bukan hanya pada waktu pagi.
4. Jangan bergantung pada nombor saiz sahaja
Sama seperti pakaian, saiz yang tertera dalam kasut boleh berbeza mengikut jenama. Jadi, saiz kasut hanyalah titik permulaan untuk memilih kasut yang betul.
5. Perhatikan bentuk kasut
Pastikan bentuk kasut menyerupai bentuk kaki anda dan muat dengan selesa.
6. Jangan rancang ‘melonggarkan’ kasut seiring masa
Kasut sepatutnya sudah selesa dipakai sejak anda membelinya.
7. Periksa kelebaran kasut
Bahagian tapak kaki (bahagian paling lebar sebelum jari kaki bermula) perlu muat dengan selesa pada bahagian paling lebar kasut.
8. Periksa kedalaman kasut
Kasut mestilah cukup dalam untuk menampung jari kaki, terutama jika anda mempunyai jari kaki cakar atau keadaan lain.
Jika ruang jari terlalu kecil, jari anda akan bergesel dengan bahagian atas kasut dan menyebabkan luka.
9. Periksa ruang di hujung kasut
Berdiri dan pastikan ada ruang kira-kira selebar satu jari antara jari kaki terpanjang (biasanya jari kedua) dengan hujung kasut.
10. Sentiasa berdiri, berjalan dengan kasut berkenaan
Ia untuk memastikan anda selesa, muat dengan baik, dan mengelakkan geseran atau kecederaan pada kulit.
Tumit anda tidak sepatutnya terlepas atau tergelincir ketika berjalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg