Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 jenama kasut dari S’pura gaya moden, selesa

Industri kasut setempat terus kembang dengan rekaan segar, inovatif
Sep 1, 2025 | 3:16 PM
Charles & Keith, shoes
Charles & Keith kini menjadi jenama sejagat dari Singapura dengan lebih 700 cawangan di 30 negara, menjadi lambang fesyen tempatan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa. - Foto CHARLES & KEITH

Ramai mengenali Charles & Keith sebagai lambang kejayaan jenama kasut Singapura di persada antarabangsa.

Namun, di sebalik nama besar itu, wujud barisan jenama tempatan lain yang juga mencuri perhatian dengan rekaan segar dan mesra pemakai.

Sama ada bergaya minimalis atau memilih rekaan yang lebih menonjol, jenama ini menyediakan pilihan yang bukan sahaja menyerlahkan cita rasa peribadi, malah mengekalkan tahap keselesaan sepanjang pemakaian.

Industri kasut tempatan kini semakin rancak berkembang, dengan pereka muda mahupun pengasas berpengalaman tampil membawa idea yang menggabungkan fesyen dan fungsi.

Sama ada untuk kegunaan harian, acara istimewa atau sekadar menambah sentuhan moden pada penampilan, kasut jenama tempatan membuktikan bahawa fesyen Singapura mampu berdiri setanding dengan jenama antarabangsa.

Berikut adalah tujuh jenama kasut dari Singapura yang wajar diberi perhatian dan mungkin patut ditambah ke dalam troli beli-belah anda, menurut laman web, F Zine.

Tippies Official

Kasut ‘Clara Slingback Heels’ ($69.90) daripada Tippies menampilkan rekaan ringkas dan anggun. Tapaknya dilapisi ‘memory foam’ lima milimeter untuk memastikan keselesaan sepanjang hari.
Kasut ‘Clara Slingback Heels’ ($69.90) daripada Tippies menampilkan rekaan ringkas dan anggun. Tapaknya dilapisi ‘memory foam’ lima milimeter untuk memastikan keselesaan sepanjang hari. - Foto TIPPIES
Kasut ‘Hannah Mules’ dengan corak citah ($74.90) daripada Tippies memberi sentuhan berani pada gaya harian.
Kasut ‘Hannah Mules’ dengan corak citah ($74.90) daripada Tippies memberi sentuhan berani pada gaya harian. - Foto TIPPIES

Tippies menawarkan nafas baru dalam dunia kasut tumit tinggi.

Dilahirkan daripada idea dua anak muda berusia awal 20-an tahun, jenama itu membawa misi mengubah persepsi bahawa kasut tumit tinggi tidak boleh selesa.

Setiap pasang kasut Tippies dilengkapi tapak dalam dengan lima milimeter ‘memory foam’ serta kusyen dibentuk khas untuk mengurangkan tekanan pada bahagian tertentu kaki.

Clara Slingback menjadi pilihan popular, dengan rekaan ringkas dan anggun.

Sama ada melangkah ke mesyuarat penting atau keluar pada waktu malam, Tippies memastikan anda tampil yakin dan bergaya tanpa mengorbankan keselesaan.

Commune Wear

Kasut ‘Ballet Kitten Mules’ ($179) daripada Commune Wear diperbuat daripada kulit lembut yang mudah mengikut bentuk kaki. Rekaan klasik ini sesuai digayakan untuk acara santai mahupun majlis rasmi.
Kasut ‘Ballet Kitten Mules’ ($179) daripada Commune Wear diperbuat daripada kulit lembut yang mudah mengikut bentuk kaki. Rekaan klasik ini sesuai digayakan untuk acara santai mahupun majlis rasmi. - Foto COMMUNE WEAR

Bagi mereka yang menghargai hasil kerja tangan bermutu dan rekaan klasik yang tidak lapuk dek zaman, Commune Wear adalah pilihan tepat.

Setiap pasang kasut dihasilkan dengan penuh ketelitian oleh tukang mahir dari Asia Tenggara, menggunakan kulit lembut yang mengikut bentuk kaki pemakai.

Daripada kasut balet ringkas hingga Mary Janes bertumit empat segi dan kitten mules (jenis tumit rendah) yang anggun, Commune Wear, membuktikan bahawa keselesaan tidak perlu mengorbankan gaya.

Koleksi jenama itu sesuai dipadankan untuk acara santai mahupun majlis rasmi, menambah sentuhan elegan pada setiap pakaian.

Dvnlabel (Divine)

‘Demure Wrap Up Sandals’ ($55) daripada Dvnlabel menampilkan rekaan tali silang yang moden namun praktikal. Kasut ini juga ditawarkan sehingga saiz besar, membuktikan komitmen jenama itu terhadap keterangkuman.
‘Demure Wrap Up Sandals’ ($55) daripada Dvnlabel menampilkan rekaan tali silang yang moden namun praktikal. Kasut ini juga ditawarkan sehingga saiz besar, membuktikan komitmen jenama itu terhadap keterangkuman. - Foto DVNLABEL

Divine menekankan gaya hidup berasaskan kreativiti dan keterangkuman.

Lebih daripada sekadar jenama kasut, ia membawa mesej bahawa fesyen seharusnya meraikan semua bentuk dan saiz kaki.

Koleksinya disediakan dalam julat saiz EU 36 hingga 45, malah beberapa rekaan bermusim ditawarkan hingga EU 47– sesuatu yang jarang ditemui pada jenama lain.

Rekaannya juga pelbagai, daripada Mary Janes klasik hingga tumit tinggi bermotif bunga anggerik yang pernah tular di media sosial – mengimbangi keseronokan dengan sentuhan elegan.

Ia sesuai dipadankan untuk acara santai bersama rakan mahupun majlis lebih formal.

Palola

‘Claudia Loafer’ ($375) daripada Palola menggabungkan kulit hitam klasik dengan corak zebra yang berani. Setiap pasang dibuat dengan teliti untuk mengekalkan keselesaan dan gaya yang tidak lapuk dek zaman.
‘Claudia Loafer’ ($375) daripada Palola menggabungkan kulit hitam klasik dengan corak zebra yang berani. Setiap pasang dibuat dengan teliti untuk mengekalkan keselesaan dan gaya yang tidak lapuk dek zaman. - Foto PALOLA

Palola menggabungkan tradisi pertukangan kasut Italy dengan cita rasa moden Singapura.

Jenama itu diasaskan oleh Josh Leong, bekas pelatih di rumah kasut ternama, Stefano Bemer, di Florence, Italy, bersama Jeremiah Ang daripada J.Myers Company.

Pengalaman mereka melebihi sedekad diabadikan dalam setiap pasang kasut yang dihasilkan.

Antara keistimewaan Palola ialah perkhidmatan tempahan khas ‘made-to-order’, membolehkan pelanggan memiliki kasut yang direka mengikut cita rasa dan gaya sendiri.

Melalui perkhidmatan ‘made-to-order’, Palola membolehkan pelanggan menyesuaikan kasut pilihan mereka daripada ratusan warna dan fabrik.
Melalui perkhidmatan ‘made-to-order’, Palola membolehkan pelanggan menyesuaikan kasut pilihan mereka daripada ratusan warna dan fabrik. - Foto PALOLA

Dengan lebih 100 pilihan kulit dan fabrik dalam pelbagai warna, proses itu membolehkan setiap pelanggan menghasilkan rekaan peribadi, dari segi gaya, tekstur, mahupun rona warna.

Perkhidmatan tersebut bukan sahaja menjamin saiz yang tepat, malah menjadikan setiap pasang kasut sebagai karya unik yang mencerminkan identiti pemakainya.

Jaedals

‘White Pearly Jaedals’ ($99) dihiasi mutiara halus untuk gaya santai yang tetap menawan. Setiap pembelian turut menyokong inisiatif sosial serta usaha kelestarian alam sekitar.
‘White Pearly Jaedals’ ($99) dihiasi mutiara halus untuk gaya santai yang tetap menawan. Setiap pembelian turut menyokong inisiatif sosial serta usaha kelestarian alam sekitar. - Foto JAEDALS

Untuk penggemar kasut sandal yang mengutamakan gaya santai namun tetap bergaya, Jaedals menyediakan pilihan yang ‘mesra kaki’ serta mesra alam.

Jenama itu bekerjasama dengan perusahaan sosial untuk menyokong wanita berpendapatan rendah di Singapura, serta menjalankan program kitar tinggi atau ‘upcycling’, yang mengubah bahan terpakai menjadi rekaan baru.

Daripada sandal kulit berhias renda hingga mutiara, koleksi Jaedals sesuai digayakan untuk bersiar-siar di tepi pantai mahupun berjalan di kawasan bandar.

Setiap pasang bukan sekadar menjanjikan keselesaan, malah menyumbang kepada usaha masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

Charles & Keith

Kasut ‘Metallic Mesh Two-Tone Ballet Sneakers’ ($75.90) daripada Charles & Keith menampilkan rekaan Mary Jane yang diperbaharui untuk gaya kontemporari. Gabungan fabrik jaring dan kemasan berkilat menjadikannya pilihan moden yang kian popular.
Kasut ‘Metallic Mesh Two-Tone Ballet Sneakers’ ($75.90) daripada Charles & Keith menampilkan rekaan Mary Jane yang diperbaharui untuk gaya kontemporari. Gabungan fabrik jaring dan kemasan berkilat menjadikannya pilihan moden yang kian popular. - Foto CHARLES & KEITH
But ‘Robbie Side-Buckle Block-Heel Knee-High’ ($119) daripada Charles & Keith dihiasi kancing di sisi, menggabungkan gaya moden dengan keselesaan, sesuai untuk pelbagai acara.
But ‘Robbie Side-Buckle Block-Heel Knee-High’ ($119) daripada Charles & Keith dihiasi kancing di sisi, menggabungkan gaya moden dengan keselesaan, sesuai untuk pelbagai acara. - Foto CHARLES & KEITH

Charles & Keith bukan sekadar jenama kasut tempatan, malah kini menjadi fenomena sejagat dengan lebih 700 cawangan di 30 negara.

Sejak penubuhannya, jenama itu dikenali kerana koleksi kasut, beg dan aksesori yang bergaya, berpatutan serta mudah dipadankan untuk pelbagai acara.

Daripada tumit tinggi bergaya ringkas hingga rekaan berani yang mencuri perhatian, Charles & Keith, mengimbangi trend semasa dengan fungsi harian.

Koleksinya kerap digayakan selebriti dan ikon fesyen antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama yang terus mengangkat nama Singapura di pentas dunia.

Sunday Staples

Sunday Staples tampil dengan rekaan feminin dan serba guna, sesuai dipakai dari pejabat hingga ke hujung minggu.

Kasut jenama itu menggunakan kulit asli serta direka agar mesra kaki lebar, menjadikan keselesaan keutamaan tanpa menjejaskan gaya.

‘Deiji Flyknit Slingback Heels’ ($59.90) daripada Sunday Staples ialah salah satu kasut tumit mesra kaki lebar yang ditawarkan jenama itu.
‘Deiji Flyknit Slingback Heels’ ($59.90) daripada Sunday Staples ialah salah satu kasut tumit mesra kaki lebar yang ditawarkan jenama itu. - Foto SUNDAY STAPLES

Daripada kasut leper ringkas hingga kasut tumit elegan, setiap rekaan Sunday Staples mudah dipadankan dengan pakaian kerja mahupun busana santai.

Ia memberi keseimbangan antara gaya harian dengan keanggunan ringkas.

Industri kasut tempatan Singapura semakin menonjol dengan kemunculan pelbagai jenama baru yang kreatif serta inovatif.

Daripada perkhidmatan ‘made-to-order’ Palola hingga inisiatif berasaskan masyarakat oleh Jaedals, setiap jenama menampilkan keunikan tersendiri sama ada dari segi gaya, keselesaan atau nilai sosial.

Dalam industri fesyen yang lazimnya dikuasai jenama antarabangsa, menyokong hasil karya tempatan bukan sahaja memperkayakan gaya peribadi malah menyumbang kepada pertumbuhan industri kreatif negara.

Sudah tiba masanya almari anda memberi ruang untuk sepasang kasut tempatan kerana ia bukan sekadar pilihan bergaya, malah suatu bentuk sokongan bermakna terhadap bakat Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg