Topik diikuti
Pergi ke BHku1,000 hari pertama bentuk asas masa depan si kecil
Tempoh dari kehamilan hingga anak usia dua tahun penting bagi perkembangan otak
1,000 hari pertama bentuk asas masa depan si kecil
Kita sering mendengar pepatah, “kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.
Namun, bagi seorang anak, permulaan yang membentuk masa depan sebenarnya hadir lebih awal, sebelum tangisan pertama kedengaran dan sebelum tangan kecilnya menggenggam jari kita.
Asas untuk tumbesaran, pembelajaran dan perkembangan seorang anak sudah mula terbentuk sejak dalam kandungan lagi.
Bermulanya perkembangan si kecil
Tempoh 1,000 hari pertama, dari kehamilan hingga anak berusia dua tahun, merupakan antara fasa paling penting dalam perkembangan otak.
Pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan emosi ibu ketika hamil boleh mempengaruhi perkembangan otak dan tumbesaran bayi.
Pemakanan yang baik semasa hamil dan awal usia kanak-kanak turut menyokong perkembangan yang sihat.
Sebaik dilahirkan, bayi mula mengenali dunia melalui insan yang paling dekat dengan mereka.
Senyuman ibu, suara ayah, sentuhan penuh kasih, waktu mandi atau menyuap makanan mungkin kelihatan seperti detik biasa.
Namun, bagi si kecil, setiap detik merupakan peluang untuk belajar, berkomunikasi, mengenal emosi dan membina rasa selamat di persekitaran yang membina.
Sejak lahir, bayi juga bersedia mengenali bunyi dan bahasa.
Justeru, berbual, menyanyi, membaca serta menyahut agahan dan gerak isyarat mereka membantu menyemai asas kemahiran bahasa dan komunikasi, jauh sebelum perkataan pertama diucapkan.
Ibu bapa juga boleh memanfaatkan rutin harian.
Misalnya, ketika memandikan anak, sebutkan nama anggota badan atau benda di sekelilingnya.
Apabila bayi mengagah, tersenyum atau menunjuk sesuatu, sambutlah dengan penuh perhatian.
Tindak balas seperti ini memupuk emosi, kepercayaan serta membantu mereka berasa disayangi dan selamat untuk terus meneroka.
Bermain untuk belajar
Bermain turut membuka dunia pembelajaran.
Bagi bayi hingga berumur 12 bulan, mencapai permainan, meneroka tekstur atau bermain ‘cak-cak’ membantu untuk mengasah kemahiran sosial, memori, deria, pergerakan dan bahasa awal.
Apabila si kecil mula bertatih, kegiatan seperti menyusun objek mengikut warna atau bentuk, serta bermain olok-olok menggalakkan mereka berfikir, mencuba dan berimaginasi sambil mengembangkan kemahiran bahasa, pergerakan dan sosial.
Sebenarnya, ibu bapa tidak perlu merancang kegiatan yang rumit.
Mereka hanya perlu mengikut minat dan rentak si kecil sambil memberikan bimbingan dan galakan.
Namun, penting untuk memberi si kecil ruang untuk mencuba, meneroka dan belajar sendiri.
‘Baby PlayKit’: Sumber sokong ibu bapa
Untuk membantu ibu bapa menjadikan detik harian lebih bermakna, Yayasan Mendaki telah memperkenalkan satu set permainan yang dinamakan, ‘Baby PlayKit’.
Ia khusus untuk keluarga yang mempunyai anak berusia tiga tahun dan ke bawah.
Set tersebut dihasilkan bersama Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Rangkaian Karyawan (Peringkat Awal Kanak-Kanak) Mendaki.
Antara kandungannya adalah Buku Panduan Ibu Bapa; buku berjudul, Asha’s Big Day, yang diperbuat daripada kain untuk merangsang kemahiran bahasa dan imaginasi; permainan boneka tangan, Elephant Hand Puppet, untuk penceritaan dan bermain peranan; permainan Busy Board dan Dress-up Bear untuk kemahiran motor halus dan bantu diri; serta Koala Stacking Ring untuk koordinasi mata dan tangan serta pengenalan warna dan konsep mengira pada peringkat awal.
Maklumat lanjut mengenai ‘Baby PlayKit’, termasuk syarat kelayakan dan pendaftaran, boleh didapatkan di laman web Mendaki.
Hendak seribu daya
Tempoh 1,000 hari pertama hadir hanya sekali.
Namun, memberikan permulaan terbaik tidak semestinya memerlukan sesuatu yang rumit.
Bermain, berbual, membaca dan meneroka bersama si kecil.
Melalui detik-detik kecil yang kita luangkan bersama mereka hari inilah, sedang terbina asas untuk masa depan mereka.
Artikel ini ditulis Pensyarah Adjung (Pendidikan Awal & Pembangunan Kanak-kanak), di Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak (NIEC), Cik Suriati Abdolah.