Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2026 kebangkitan besar filem M’sia

Jan 2, 2026 | 4:00 PM
Malaysia, film, industry
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, optimis 2026 akan menjadi tahun kebangkitan besar filem tempatan dengan didorong kejayaan semasa pada peringkat kebangsaan yang diraih, termasuk pencapaian pada peringkat antarabangsa. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menetapkan hala tuju lebih tersusun dan mampan bagi industri perfileman negara menerusi pengukuhan dasar, peraturan serta pelaburan strategik dalam mendepani 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata pindaan Akta FINAS (Akta 244) yang sudah diluluskan pada peringkat Dewan Negara menjadi asas penting kepada pembaharuan menyeluruh ekosistem perfileman tempatan.

“Finas baru sahaja memperoleh kelulusan terhadap pindaan Akta FINAS 1981 yang menjadi langkah permulaan penting dalam memperkukuh ekosistem industri perfileman negara.

“Seterusnya, pada 2026, tumpuan akan diberikan kepada penggubalan Peraturan FINAS, termasuk peraturan pelesenan seperti Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) termasuk aspek berkaitan,” katanya kepada BH Online.

Datuk Azmir berkata penggubalan peraturan itu bakal memperincikan pelbagai aspek, termasuk kebajikan pekerja industri dan pematuhan peraturan digariskan Finas.

“Melalui peraturan ini, pelbagai isu akan diperincikan antaranya kebajikan pekerja industri, perlindungan insurans, standard kontrak serta pelaksanaan Skim Wajib Tayang (SWT).

“Alhamdulillah pada 2025, industri perfileman tempatan mencatat kutipan ‘box office’ tertinggi sepanjang zaman dan insya-Allah kejayaan ini disasarkan untuk diulang pada 2026,” katanya.

Selain aspek perundangan, Datuk Azmir berkata Finas turut memberi penekanan kepada Dasar Filem Negara (DFN) sebagai kerangka strategik jangka panjang industri.

“Selain peraturan, satu lagi fokus utama ialah DFN yang dianggap amat penting kerana ia akan menjadi pelan perancangan industri bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Melalui DFN, hala tuju program, petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran jangka panjang industri akan ditetapkan secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas prestasi industri perfileman, Datuk Azmir berkata 2025 menyaksikan pencapaian positif direkod industri perfileman terutama daripada segi pelaburan termasuk penyertaan produksi antarabangsa.

“Pada 2025, industri perfileman tempatan mencatat potensi pelaburan sebanyak RM1 bilion ($316 juta).

“Pelaburan ini termasuk kemasukan produksi antarabangsa yang memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran. Kejayaan ini akan diteruskan pada 2026 dengan sasaran meletakkan Malaysia sebagai hab pengeluaran filem serantau,” katanya.

Datuk Azmir turut optimis 2026 akan menjadi tahun kebangkitan besar filem tempatan dengan didorong kejayaan semasa pada peringkat kebangsaan yang diraih, termasuk pencapaian pada peringkat antarabangsa.

“Berdasarkan kejayaan kutipan ‘box office’ dan pencapaian filem tempatan pada peringkat festival antarabangsa, 2026 dijangka menjadi tahun kebangkitan filem Malaysia seumpama era kegemilangan industri perfileman Hong Kong pada 1990-an.

“Antara judul berpotensi besar termasuk Gayong 2, Blood Brothers 2, Takluk 2, Konspirasi serta Terbang, dengan kebanyakan projek mempunyai bajet antara RM7 juta hingga RM10 juta,” katanya, yang turut menjangkakan sebanyak tujuh hingga 10 filem tempatan berpotensi mencatat kejayaan ‘box office’ pada 2026.

Menyentuh status pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244), Datuk Azmir berkata proses pewartaan masih menunggu prosedur rasmi pada peringkat tertinggi negara.

“Bagi pindaan akta, selepas kelulusan bacaan kedua di Dewan Negara, proses seterusnya adalah pewartaan.

“Usaha ini memerlukan dokumen berkenaan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, yang mana tertakluk kepada giliran dan prosedur yang ditetapkan,” jelasnya.

Sementara itu, Datuk Azmir menyatakan komitmen bahawa Finas akan terus berusaha untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama industri perfileman serantau dan antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg