Filem aksi terbaru, Blood Brothers: Bara Naga, arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, semakin ‘mendunia’ apabila berjaya mencatat kutipan RM21 juta ($6.2 juta) dalam tempoh tiga hari selepas tayangan awal.
Penonton ternyata tidak melepaskan peluang cuti hujung minggu untuk berkunjung ke pawagam bagi menyaksikan filem bertema persaudaraan terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios (PWS) itu.
Menurut laporan dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM), Blood Brothers: Bara Naga, yang dianggap sebagai filem bermutu antarabangsa, khususnya filem Hollywood, mula ditayangkan di 146 pawagam seluruh Malaysia bermula 10 April.
Filem yang dihasilkan dengan kos RM7 juta itu menampilkan lakonan hebat daripada barisan artis seperti, Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Amelia Henderson, dan ramai lagi.
Kisah filem itu memaparkan perjalanan hidup Ariff (lakonan Syafiq Kyle) yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad), untuk berkhidmat di bawah naungan Datuk Zul (Wan Hanafi Su), ahli perniagaan berpengaruh yang juga merangkap ketua Mafia Naga.
Sejak itu, Ariff mengangkat sumpah setia sebagai pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan dipanggil Silent Guard, sekali gus terikat sebagai ‘blood brother’ kepada Ghaz.
Namun, ketika pengkhianatan dahsyat menggoncang dunia mereka, Ariff tiba-tiba dituduh sebagai pembelot dan dijadikan suspek utama.
Dalam keadaan terdesak membersihkan namanya, Ariff terpaksa melarikan diri dan mendapatkan bantuan abang kandung yang sudah lama terpisah iaitu Jaki (Syazwan Zulkifly).
Sementara itu, Ghaz diamanahkan untuk memburu dan menangkap Ariff, lantas menyerahkannya kepada pengadilan keluarga Naga yang dahagakan balas dendam.
Melihat portfolio cemerlang dimiliki pengarah, Syafiq Yusof, pasti ramai menyangka filem aksi ini dihasilkan dengan mudah.
Namun, hakikatnya ia tidaklah semudah yang disangka.
“Persiapan babak aksi dan lagak ngeri secara keseluruhan mengambil masa antara tujuh dengan lapan bulan. Untuk buat koreografi babak aksi pula selama tiga bulan.
“Bagi babak pertarungan di penghujung filem mengambil masa sebulan untuk disiapkan. Saya dan rakan pengarah, Abhilash Chandra, memang mementingkan kesempurnaan.
“Selagi tak dapat apa yang dimahukan, saya akan minta pelakon buat semula. Ini adalah filem aksi paling sukar untuk saya hasilkan,” kata Syafiq.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg