Topik diikuti
Pergi ke BHku4 kegiatan kreatif buat si cilik di rumah tanpa ganggu tetangga
4 kegiatan kreatif buat si cilik di rumah tanpa ganggu tetangga
Ibu bapa hadapi cabaran kawal bunyi bising apabila anak penuh tenaga
4 kegiatan kreatif buat si cilik di rumah tanpa ganggu tetangga
Baru-baru ini, seorang kenalan berkongsi bahawa jiran di bloknya mengadu tentang bunyi bising yang datang daripada kanak-kanak yang bermain di koridor.
Kenalan itu mengeluh: “Takkan nak suruh budak-budak duduk dalam rumah aja? Nanti duduk rumah, asyik tengok TV, mata pula rosak.”
Saya faham dilemanya.
Saya juga ada anak-anak kecil.
Pada hujung minggu, jika kami tidak keluar, keadaan rumah memang porak-peranda dan riuh-rendah dengan pelbagai bunyi daripada sorakan dan tangisan kepada hilai tawa, pekikan dan jeritan.
Tidak cukup dengan pelbagai bunyi yang mereka hasilkan, anak-anak juga mempunyai beberapa permainan yang boleh menambah kepada kekecohan seperti tamborin dan xilofon mainan.
Adakala mereka tuang sekotak Lego ke lantai, menghasilkan bunyi yang bisingnya tak dapat nak saya gambarkan.
Anak-anak juga bermain basikal, skuter dan kejar-kejar di dalam rumah dan di sepanjang koridor melintasi pintu rumah jiran-jiran.
Sejauh ini, saya belum menerima sebarang aduan daripada jiran, dan bersyukur mendapat tetangga yang memahami.
Namun, saya sedar yang kami keluarga muda yang baru berpindah ke estet berumur 35 tahun.
Ramai jiran kami warga senja yang, saya yakin, selesa dengan suasana kehidupan lebih tenang.
Justeru saya berusaha memastikan anak-anak mengurangkan bunyi bising ketika bermain di rumah dan koridor.
Saya mengingatkan anak-anak, yang suka meniru bunyi ayam jantan, agar tidak berdiri di tingkap dan berkokok sekuat hati.
Saya mengajak mereka bermain di ruang tengah, jauh dari tingkap dan pintu rumah.
Adakala saya tutup tingkap supaya suara nyaring mereka tidak mengganggu ketenteraman orang lain.
Saya juga membentang permaidani dan tikar tebal bagi mengurangkan bunyi apabila permainan terjatuh ke lantai, atau ketika anak-anak melompat.
Selain itu, saya menyarankan anak-anak melakukan kegiatan yang kurang bising, terutama pada awal pagi dan sebelah malam, sebagai tanda timbang rasa terhadap jiran-jiran yang mungkin belum bangun tidur atau sudah mahu berehat.
Berikut antara kegiatan yang berkesan untuk anak-anak saya yang berumur tiga dan tujuh tahun.
Seni dan kraf
Sediakan keperluan asas seperti kertas, gunting, gam dan krayon.
Surat khabar, kotak kadbod dan botol plastik juga boleh digunakan, bagi mengurangkan pembaziran dan menggalakkan anak-anak mengitar semula.
Biarkan anak-anak teroka dengan bahan-bahan itu – mereka tahu apakah yang perlu dilakukan.
Kegiatan ini meningkatkan koordinasi motor halus, merangsang kreativiti dan mengajar kemahiran menyelesaikan masalah apabila kanak-kanak mencari cara untuk merealisasikan idea mereka.
Doh mainan
Buat doh mainan yang selamat untuk dimakan, tetapi tidak sedap.
Campurkan dua cawan tepung gandum, tiga suku cawan garam, dua sudu besar minyak sayuran, dua cawan air suam, empat sudu kecil krim tartar dan pewarna makanan.
Sediakan acuan pelbagai bentuk, pisau plastik dan gunting.
Kegiatan ini membina kekuatan tangan untuk menulis, meningkatkan kemahiran motor halus dan koordinasi, serta menyediakan saluran deria yang menenangkan.
Selesai bermain, simpan doh dalam peti sejuk untuk digunakan lagi pada lain hari.
Selamatkan haiwan dalam agar-agar
Beli serbuk agar-agar dan masak mengikut peraturan.
Atur haiwan mainan dalam bekas dan kemudian tuangkan adunan agar-agar.
Masukkan bekas itu ke dalam peti sejuk dan tunggu beberapa jam hingga berubah menjadi pejal.
Gunakan penyepit untuk menyelamatkan haiwan mainan yang terperangkap dalam agar-agar.
Kemudian, bermainlah dengan agar-agar itu menggunakan tangan.
Ibu bapa boleh melibatkan anak-anak dalam penyediaan kegiatan ini dari awal, bagi mengajar tentang kesabaran dan konsep seperti suhu, tekstur dan ketekalan.
Kegiatan ini menguatkan otot jari dan tangan, dan meningkatkan koordinasi tangan dan mata apabila kanak-kanak cuba mencari atau mengambil objek yang disembunyikan dalam agar-agar.
Hasilkan lipatan kertas origami
Sediakan kertas berwarna-warni dan pinjam buku mengenai origami dari perpustakaan seperti Origami dinosaur: Prehistoric fun for everyone!.
Hasilkan pelbagai bentuk dengan melipat kertas mengikut langkah tertentu, tanpa menggunakan gunting atau gam.
Bentuk yang dihasilkan boleh berupa haiwan, bunga, kapal terbang, bintang, kotak dan pelbagai objek lain.
Kegiatan ini menguatkan otot jari dan tangan melalui aktiviti melipat, menekan dan membentuk kertas.
Ia juga mengajar kanak-kanak mengikuti arahan langkah demi langkah, selain memperkenalkan konsep geometri seperti bentuk, sudut, simetri dan corak.
Ada banyak kegiatan kurang bising lain yang boleh kanak-kanak lakukan di rumah seperti membaca buku, mewarna dan bermain susun suai gambar atau jigsaw puzzle.
Namun, ibu bapa perlu sedar bahawa anak-anak tidak mampu menumpukan perhatian kepada satu-satu kegiatan untuk tempoh yang terlalu lama.
Kanak-kanak yang lebih besar mungkin boleh memberi tumpuan selama kira-kira sejam, manakala bagi kanak-kanak yang lebih kecil, tempoh perhatian mereka biasanya lebih singkat, sekitar 15 hingga 30 minit.
Namun, jika ada orang dewasa yang menemani dan turut bermain bersama, bertanya soalan atau memberi galakan, kanak-kanak lazimnya akan lebih terlibat dan mampu bermain untuk tempoh yang lebih panjang.
Selain itu, kegiatan seperti ini memerlukan sedikit persiapan, termasuk membeli dan menyediakan bahan serta peralatan yang diperlukan.
Ibu bapa juga perlu sedia menolong apabila anak-anak meminta bantuan untuk menggunting dan sebagainya.
Ruang kegiatan juga mungkin menjadi berselerak, justeru ibu bapa dan anak-anak perlu bersedia untuk mengemas bersama selepas selesai bermain.
