Tidak dinafikan, masa skrin telah menjadi sebahagian kehidupan ramai kanak-kanak kecil.
Bagi kebanyakan mereka, pendedahan kepada skrin termasuk tontonan langsung, seperti melihat rancangan televisyen.
Terdapat juga tontonan tidak langsung, seperti apabila media dimainkan di latar belakang semasa kegiatan harian yang lain.
Seperti yang diketahui ramai ibu bapa, kajian menunjukkan beberapa kesan negatif masa skrin.
Sebagai pakar yang mengkhusus dalam patologi pertuturan dan perkembangan awal kanak-kanak, kami amat berminat dengan penemuan baru-baru ini bahawa terlalu banyak masa skrin dikaitkan dengan kurang perbualan antara ibu bapa dengan anak.
Akibatnya, Akademi Pediatrik Amerika dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mencadangkan mengehadkan masa skrin bagi kanak-kanak.
Melangkaui jumlah, mereka turut menekankan mutu penglibatan kanak-kanak dengan media digital.
Digunakan secara sederhana, media tertentu boleh memberi manfaat pendidikan dan sosial kepada kanak-kanak – malah menyumbang kepada perkembangan bahasa.
Panduan berikut boleh membantu ibu bapa menyusun dan mengurus masa skrin dengan lebih berkesan.
Ibu bapa boleh meningkatkan nilai masa skrin anak-anak mereka dengan memilih media bermutu tinggi – iaitu kandungan dengan faedah pendidikan.
Dua ciri lain menyumbang kepada mutu masa skrin.
Pertama, kandungan skrin hendaklah bersesuaian dengan umur.
Ibu bapa harus memilih rancangan, aplikasi dan permainan yang direka khusus untuk kanak-kanak kecil.
Menggunakan sumber seperti, Common Sense Media, membolehkan ibu bapa menyemak umur yang disyorkan untuk rancangan televisyen, filem dan aplikasi.
Kedua, ibu bapa boleh mencari rancangan yang menggunakan teknik pendidikan berasaskan bukti, seperti isyarat penyertaan.
Ini berlaku apabila watak dalam rancangan memecahkan “dinding ketiga” dengan bercakap terus kepada penonton muda mereka untuk menggalak renungan atau tindak balas.
Kajian menunjukkan kanak-kanak belajar perkataan baru dengan lebih baik apabila rancangan mempunyai isyarat penyertaan – mungkin kerana ia menggalakkan penglibatan aktif dan bukannya tontonan pasif.
Banyak rancangan televisyen klasik dan bermutu tinggi untuk kanak-kanak menampilkan isyarat penyertaan, termasuk Mickey Mouse Clubhouse, Dora the Explorer, Go Diego Go! dan Daniel Tiger’s Neighborhood.
Akademi Pediatrik Amerika mengesyorkan agar ibu bapa dan kanak-kanak menonton media bersama-sama.
Saranan itu berdasarkan bukti peningkatan penggunaan media skrin boleh mengurangkan perbualan antara ibu bapa dengan anak.
Ini seterusnya boleh menjejas perkembangan bahasa.
Berbincang kandungan media dengan kanak-kanak secara sengaja meningkatkan pendedahan bahasa semasa masa skrin bersama.
Ibu bapa mungkin mendapati strategi pendampingan media berikut berguna:
Hentikan rancangan sebentar dan tanya soalan.
Tunjukkan konsep asas, seperti huruf dan warna.
Tunjukkan bahasa yang berperingkat lebih tinggi menggunakan pendekatan, “nyatakan apakah yang kamu fikirkan”, seperti: “Itu mengejutkan saya! Apakah yang akan berlaku seterusnya?”
Belajar daripada media adalah mencabar bagi kanak-kanak kecil kerana otak mereka sukar memindahkan maklumat dan idea daripada skrin ke dunia nyata.
Menurut kajian, kanak-kanak lebih banyak belajar daripada media skrin apabila kandungan bersambung dengan pengalaman sebenar mereka.
Untuk memaksimumkan faedah masa skrin, ibu bapa boleh membantu kanak-kanak menghubungkan perkara yang mereka lihat dengan pengalaman yang mereka alami.
Contohnya, semasa menonton kandungan bersama-sama, ibu bapa mungkin berkata:
“Mereka akan pergi ke taman haiwan. Adakah kamu masih ingat apakah yang kita lihat semasa kita pergi ke taman haiwan?”
Pendekatan itu menggalakkan perkembangan bahasa dan kemahiran kognitif, termasuk perhatian dan ingatan.
Kanak-kanak belajar dengan lebih berkesan melalui pendedahan berulang kepada perkataan.
Maka, memilih media yang berkaitan dengan pengalaman kehidupan sebenar kanak-kanak boleh membantu mengukuhkan penggunaan kosa kata baru.
Memastikan hari kanak-kanak dipenuhi dengan pelbagai pengalaman, termasuk tempoh yang tidak melibatkan skrin, meningkatkan pendedahan bahasa dalam rutin harian kanak-kanak.
Dua waktu bebas skrin yang ideal adalah waktu makan dan waktu tidur.
Waktu makan memberi peluang untuk pertukaran perbualan dengan kanak-kanak, memberi mereka banyak pendedahan kepada bahasa.
Selain itu, waktu tidur hendaklah bebas skrin, kerana menggunakan skrin berhampiran waktu tidur atau mempunyai televisyen di bilik tidur kanak-kanak akan mengganggu tidur.
Sebagai alternatif, memperuntukkan masa tidur sebagai waktu membaca buku kanak-kanak mencapai dua matlamat iaitu untuk membantu kanak-kanak berehat dan mencipta rutin yang kaya dengan bahasa.
Mempunyai permainan tambahan tanpa skrin antara ibu bapa dengan anak selama sekurang-kurangnya 10 minit dalam sehari adalah baik untuk kanak-kanak kecil.
Ibu bapa boleh memaksimumkan faedah bermain dengan membiarkan anak-anak mereka menentukan jenis permainan dan cara bermain.
Peranan ibu bapa di sini ialah untuk mengikut arahan anak mereka, bermain bersama-sama, memberikan perhatian penuh kepada anak mereka – jadi tiada penggunaan telefon untuk ibu atau bapa – dan menyediakan pengayaan bahasa.
Mereka boleh melakukan ini dengan melabelkan mainan, menunjukkan bentuk, warna dan saiz.
Ia juga boleh dilakukan dengan menerangkan kegiatan – “Anda menggerakkan kereta di atas lantai” – dan bertindak balas apabila anak mereka bercakap.
Masa bermain ibu bapa dengan anak juga merupakan peluang yang baik untuk melanjutkan minat yang ditunjukkan sewaktu masa skrin.
Sertakan mainan watak kegemaran anak anda daripada rancangan atau filem yang mereka gemari semasa bermain mengubah keseronokan itu daripada masa skrin kepada pembelajaran.
“
“Waktu tidur hendaklah bebas skrin, kerana menggunakan skrin berhampiran waktu tidur atau mempunyai televisyen di bilik tidur kanak-kanak akan mengganggu tidur. Sebagai alternatif, memperuntukkan masa tidur sebagai waktu membaca buku kanak-kanak mencapai dua matlamat iaitu untuk membantu kanak-kanak berehat dan mencipta rutin yang kaya dengan bahasa.”Erika Squires merupakan Penolong Profesor Jabatan Sains Komunikasi dan Gangguan di Universiti Negeri Wayne, Detroit Amerika Syarikat; dan Lucy (Kathleen) McGoron merupakan Penolong Profesor Pembangunan Anak dan Keluarga di universiti yang sama. Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam, ‘The Conversation’, iaitu penerbit berita dan analisis berasas penyelidikan yang terkemuka di dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg