Musim panas bakal berakhir, digantikan musim luruh pula yang terkenal dalam kalangan pengunjung bukan sahaja disebabkan cuacanya yang dingin, bahkan juga pemandangannya yang menyejukkan mata – daun-daun hijau di pokok berubah menjadi kanvas warna-warni terang.
Selain itu, pengunjung juga tidak perlu berasak-asak memandangkan musim luruh lazimnya kurang sibuk dan lantas menawarkan harga yang lebih dimampui.
Demikian saranan empat destinasi musim luruh buat cita rasa berbeza.
Nagano, Jepun (bagi pelancong bajet)
Pada September, Nagano berubah menjadi ‘alam ajaib’.
Pengunjung boleh menyelami sejarah di kuil Zenko-ji yang menakjubkan atau saksikan pemandangan indah monyet liar yang bermandi-manda dalam mata air panas di Taman Monyet Jigokudani, sambil dikelilingi dedaunan musim luruh yang cantik.
Dedaunan musim luruh boleh berlarutan sehingga akhir November.
Harga penerbangan ulang-alik bermula dari $743 pada September.
Anhui, China (bagi penggemar gunung-ganang)
Anhui pada musim luruh menyajikan pemandangan landskap dramatik dan daya tarikan purba.
Yellow Mountain yang legenda perlu dilihat, dan ia semakin memukau apabila dikelilingi hutan yang diterangi warna musim luruh.
Anhui juga menempatkan perkampungan purba Hongcun dan Xidi yang tersenarai dalam Warisan Dunia Unesco, lantas memberi imbasan kepada zaman lalu.
Pelancong boleh menimbangkan untuk terbang dari Chongqing, menerusi perjalanan pesawat selama 1 jam 40 minit.
Harga penerbangan ulang-alik bermula dari $245 pada September.
Tadoussac, Canada (bagi pencinta haiwan)
Tadoussac menawarkan pengalaman menonton ikan paus berlatarbelakangkan dedaunan musim luruh yang indah.
Jangan lepaskan peluang untuk terserempak dengan ikan paus ‘beluga’, ‘fin whale’, mahupun ‘blue whale’, yang mencari makan di perairan Tadoussac sebelum memulakan penghijrahan!
Kampung menawan ini juga menempatkan beberapa hotel bersejarah.
Harga penerbangan ulang-alik bermula dari $1,395 pada September.
Cotswolds, England (bagi yang dambakan pengalaman desa)
Cotswolds pada musim luruh melambangkan pesona orang Inggeris.
Terkenal dengan bukit-bukau, lembah yang indah dan kampung batu berwarna madu, semuanya indah bak gambar dalam poskad, dihidupkan oleh warna bermusim dedaunan di sekelilingnya.
Suasananya sesuai untuk berjalan-jalan secara santai sambil menghayati kawasan desa yang tenang.
Cotswolds boleh menjadi persinggahan dalam percutian ke Britain.
Harga penerbangan ulang-alik bermula dari $669 pada September.
Saranan di atas adalah berdasarkan carian di Skyscanner pada 11 Ogos 2025. Orang ramai boleh menggunakan ciri DROPS di laman Skyscanner untuk memantau harga penerbangan jika ia turun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg