Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nak kembara mana cuti sekolah Jun?

Empat lokasi menarik di Asia-Pasifik untuk diteroka bersama keluarga
May 11, 2025 | 5:30 AM
Tokyo, Kuil Toji, Toji Temple
Kuil Toji di Kyoto, Jepun merupakan antara tarikan pelancong di bandar itu. - Foto AFP

Cuti sekolah Jun hampir tiba, dengan sesetengah keluarga sibuk membuat persiapan untuk mengembara ke luar negara.

Berdasarkan tinjauan wadah tempahan perjalanan Booking.com, lebih separuh pengunjung Singapura melihat ikatan yang dijalin bersama keluarga sebagai manfaat terbesar apabila bercuti bersama keluarga.

Berdasarkan carian perjalanan pada Jun di wadah tersebut, Jepun, Australia, dan Malaysia kekal sebagai antara destinasi kegemaran untuk tahun kedua berturut-turut.

Lapan daripada 10 destinasi paling popular terletak di Asia-Pasifik, menunjukkan rantau ini kekal sebagai destinasi paling cenderung keluarga untuk ambil angin dalam Jun.

Berikut 10 destinasi popular tersebut dan beberapa saranan penginapan di negara yang dituju:

1) Jepun
2) Australia
3) Malaysia
4) Thailand
5) Indonesia
6) China
7) Korea Selatan
8) Britain
9) Singapura
10) Italy

SYDNEY, AUSTRALIA: Bagi keluarga yang dambakan ketenangan malam

Falls Mountain Retreat menawarkan suasana sesuai memerhati langit di daerah Blue Mountains. 
Falls Mountain Retreat menawarkan suasana sesuai memerhati langit di daerah Blue Mountains.  - Foto BOOKING.COM

Australia merupakan destinasi sesuai buat dua pertiga pengunjung Singapura yang teringin ke destinasi yang menawarkan keindahan langit pada 2025.

Apabila malam menjelma dan cuaca semakin sejuk, langit di Australia yang jelas dan tidak tercemar menjadikan ia salah satu tempat terbaik untuk menyaksikan keajaiban kosmik.

Dengan hujan meteor tahunan Eta Aquariids menghiasi hemisfera selatan pada Mei, ‘pemburu langit’ masih boleh mengagumi langit yang dipenuhi bintang di luar bandar Sydney pada Jun — dan jika bertuah, melihat aurora.

Penginapan: Falls Mountain Retreat menawarkan suasana sesuai memerhati langit di daerah Blue Mountains, terletak tidak jauh dari Echo Point dan The Three Sisters.

Ditempatkan dalam taman seluas empat ekar, studio dan apartmen serba lengkap menampilkan balkoni atau halaman peribadi – sesuai untuk bersantai di bawah kanopi bintang. 

SANYA, CHINA: Bagi keluarga yang ingin kesegaran minda dan tubuh

LUHUITOU Sanya Resort dikelilingi kehijauan subur dan berlatarbelakangkan lautan luas. 
LUHUITOU Sanya Resort dikelilingi kehijauan subur dan berlatarbelakangkan lautan luas.  - Foto BOOKING.COM

Bercuti pada pertengahan tahun adalah cara terbaik untuk berhenti seketika daripada kesibukan harian dan sebaliknya mendakap kesegaran yang amat diperlukan.

Dengan sebanyak 62 peratus pengembara Singapura mendambakan percutian yang tertumpu kepada ketenangan diri (longevity retreat), jelas bahawa kesejahteraan aspek penting apabila bercuti.

Tak perlu pergi jauh. Pengunjung boleh ke Sanya, China yang terkenal dengan gelaran ‘Hawaii China’.

Syurga tropika ini menggabungkan alam semula jadi, terapi yang diilhamkan oleh perubatan Cina tradisional dan kesejahteraan mewah.

Bayangkan mata air herba panas, yoga dengan pemandangan laut dan makanan tempatan berkhasiat.

Penginapan: LUHUITOU Sanya Resort dikelilingi kehijauan subur dan berlatarbelakangkan lautan luas.

Ia terletak tidak jauh dari Teluk Dadonghai dan pusat bandar. Resort tersebut menampilkan spa yang diilhamkan Thailand.

Lengkap dengan gelanggang tenis, sauna dan akses mudah ke pemandangan marina dan golf, ada sesuatu untuk memenuhi citarasa semua orang dalam keluarga.

SEMARANG, INDONESIA: Bagi keluarga yang berselera cuba makanan tempatan

Padma Hotel Semarang menawarkan penginapan percutian yang tenang walau di tengah bandar. 
Padma Hotel Semarang menawarkan penginapan percutian yang tenang walau di tengah bandar.  - Foto BOOKING.COM

Bagi 44 peratus keluarga Singapura yang mengembara dan berharap menyusuri budaya makanan tempatan, Semarang menawarkan sajian yang enak-enak belaka.

Bandar yang kurang diketahui ini terletak di pantai utara Jawa, dan menampilkan hidangan Jawa, Cina dan yang diinspirasikan dari Belanda.

Ia juga salah satu destinasi gastronomi terbesar di Indonesia, menurut Kementerian Pelancongan negara tersebut.

Keluarga boleh menjamah hidangan seperti Lumpia Semarang dan Tahu Gimbal, ataupun mengambil bahagian dalam kelas memasak.

Penginapan: Terletak tidak jauh dari kelompok makanan dunia yang boleh dijumpai di jalan-jalan Simpang Lima, Padma Hotel Semarang menawarkan penginapan percutian yang tenang walau di tengah-tengah bandar.

Hotel ini menampilkan kemudahan seronok seperti taman air kanak-kanak, bilik wap, pusat kecergasan dan bilik mesra keluarga.

KYOTO, JEPUN: Bagi keluarga yang inginkan suasana ‘vintage’

Nazuna Kyoto Tsubaki St. terletak berdekatan Nakagyo Ward yang menempatkan banyak kedai barangan terpakai di Kyoto.
Nazuna Kyoto Tsubaki St. terletak berdekatan Nakagyo Ward yang menempatkan banyak kedai barangan terpakai di Kyoto. - Foto BOOKING.COM

Membeli-belah untuk barangan terpakai atau ‘thrifting’ sudah menjadi satu kebiasaan dengan 69 peratus pengunjung Singapura sudah pun ke kedai seperti itu apabila bercuti sebelum ini.

Kamigamo menawarkan alternatif yang menarik berbanding tempat fesyen popular yang biasa dikunjungi.

Permata yang kurang diketahui ini menempatkan kedai barangan terpakai unik dan butik vintaj dengan orang ramai boleh membeli kimono ‘retro’, pakaian santai Jepun (streetwear), antara lain.

Penginapan: Terletak berdekatan Nakagyo Ward yang menempatkan banyak kedai barangan terpakai di Kyoto, Nazuna Kyoto Tsubaki St. menawarkan pengalaman ryokan (tempat penginapan tradisional Jepun) unik dengan keselesaan moden berserta tarikan tradisional.

Selain membeli-belah, orang ramai juga boleh mengunjungi mercu tanda seperti Istana Nijo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg