Sebelum ini, empat pelajar seni dari tiga institusi: Maktab Seni Lasalle, Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) telah berkongsi kerja projek akhir tahun mereka yang unik dalam satu siri mengenai karya lulusan seni. 

Berikut karya lima lagi lulusan seni institusi tempatan yang meneroka pelbagai tema sosial dan budaya, daripada pemasangan interaktif yang mengkritik kebergantungan kepada kecerdasan buatan (AI) kepada filem dokumentari yang mengupas topik perpaduan, menyelami kerencaman pengalaman hidup masyarakat masa kini. 

|Ask (me) anything, oleh Nur Wardah Athira Ahmad, Sarjana Muda Seni Halus dalam Seni Reka Bentuk (Reka Bentuk Interaksi), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Pemasangan interaktif, ‘|Ask (me) anything’, dihasil sebagai cerminan terhadap usaha mencari pengesahan tanpa penghujung daripada AI.
Pemasangan interaktif, ‘|Ask (me) anything’, dihasil sebagai cerminan terhadap usaha mencari pengesahan tanpa penghujung daripada AI. - Foto NUR WARDAH ATHIRA AHMAD

Satu karya seni mungkin memantulkan realiti bagai cermin, namun hakikatnya ia adalah sebuah potret.

Bak bayangan yang ditayangkan dalam episod drama sains fiksyen distopia, Cik Nur Wardah mula resah melihat betapa mudahnya orang ramai meluahkan kerapuhan dan sisi paling intim mereka kepada teknologi dan kecerdasan buatan (AI) (lalu berkongsinya pula secara terbuka).

“Adakah kita benar-benar mendapat sokongan, atau hanya jatuh cinta dengan pantulan diri sendiri dalam mesin (AI)?” katanya.

Beliau menghasilkan satu pemasangan interaktif yang mencerminkan hubungan manusia dan AI menerusi satu interaksi fizikal, sekali gus mengkritik kebergantungan penggunaan AI sebagai “terapi emosi” seolah-olah tidak masuk akal. 

Cik Nur Wardah menghasilkan satu pemasangan interaktif yang mencerminkan hubungan manusia dan AI menerusi satu interaksi fizikal.
Cik Nur Wardah menghasilkan satu pemasangan interaktif yang mencerminkan hubungan manusia dan AI menerusi satu interaksi fizikal. - Foto NUR WARDAH ATHIRA AHMAD

Wajah pengunjung akan diimbas, emosi mereka dikesan, kemudian mereka harus mencari ‘diagnosis’ menerusi 26 ensiklopedia setebal 600 halaman setiap satu, memetakan emosi daripada A hingga Z, seperti marah, bosan, dan hina.

Karya ini menjadi kritikan tajam terhadap usaha mencari pengesahan tanpa penghujung daripada teknologi, padahal “jawapan algoritma sebenarnya tidak pernah benar-benar memahami kita.”

Singgah, oleh Nursyafaasyurah Mohamad Zamari, Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Seni Halus, Maktab Seni Lasalle

Karya seni cetakan media campuran, ‘Singgah’, meneroka hubungan seseorang dengan sesuatu tempat yang telah melalui perubahan, malah lenyap daripada kewujudan.
Karya seni cetakan media campuran, ‘Singgah’, meneroka hubungan seseorang dengan sesuatu tempat yang telah melalui perubahan, malah lenyap daripada kewujudan. - Foto NURSYAFAASYURAH MOHAMAD ZAMARI

Bermulanya daripada ruang peribadi yang sarat dengan kenangan dan tempat yang meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupannya, karya seni cetakan media campuran, berjudul, Singgah, menjadi wadah untuk Cik Nursyafaasyurah merenungkan kehilangan, memelihara kenangan, serta meneroka bagaimana seseorang masih mempunyai hubungan dengan satu tempat yang telah melalui perubahan, malah lenyap daripada kewujudan.

Salah satu daripada lima siri karya tersebut, Menjalin, menggabungkan fabrik batik dan penyepit baju yang menyepit gambar-gambar keluarga.

Karya itu turut menampilkan imej warna biru yang menyerlah, terhasil menerusi teknik mencetak atau menggabungkan kimia tertentu, dengan pendedahan kepada cahaya ultraungu, dikenali sebagai cyanotype.

Karya bertajuk ‘Menjalin’ menampilkan imej warna biru yang menyerlah, terhasil menerusi teknik mencetak atau menggabungkan kimia tertentu, dengan pendedahan kepada cahaya ultraungu, dikenali sebagai cyanotype.
Karya bertajuk ‘Menjalin’ menampilkan imej warna biru yang menyerlah, terhasil menerusi teknik mencetak atau menggabungkan kimia tertentu, dengan pendedahan kepada cahaya ultraungu, dikenali sebagai cyanotype. - Foto NURSYAFAASYURAH MOHAMAD ZAMARI

“Apa yang menarik saya kepada seni cetakan ini ialah sifatnya yang terbuka dan fleksibel, yang membolehkan saya bereksperimen dan ‘bermain’ dengan pelbagai kemungkinan.

“Penggunaan objek dan bahan harian di sekeliling saya pula membantu menambah makna serta memperkayakan naratif karya tersebut,” ujarnya.

The Muted Drums, oleh Muhammad Ilyas Othman, Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Filem, Maktab Seni Lasalle

Filem dokumentari, ‘The Muted Drums’, merungkai makna perpaduan melalui perjalanan gerakan pelajar di Singapura 
Filem dokumentari, ‘The Muted Drums’, merungkai makna perpaduan melalui perjalanan gerakan pelajar di Singapura  - Foto MUHAMMAD ILYAS OTHMAN

Dari manakah datangnya keyakinan seseorang untuk terus berpegang pada pendiriannya, demi menyampaikan sesuatu mesej, lebih-lebih lagi yang mengundang perbezaan pandangan?

“Sememangnya saya mahu menghasilkan filem yang mempunyai tujuan,” kata Encik Ilyas.

“Medium ini mempunyai kuasa untuk mencorakkan masyarakat, termasuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu tertentu.”

Menerusi The Muted Drums, beliau meneroka gerakan pelajar di Singapura yang membantah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Dalam filem dokumentari itu, pelajar tersebut membawa mesej mereka ke ruang universiti menerusi satu gerakan memperingati mangsa dengan menyusun kasut-kasut sebagai simbol perkabungan, sebelum akhirnya menarik perhatian pihak berkuasa.

Di tengah-tengah ketegangan yang memuncak, filem itu mengikuti perjalanan mereka mengharungi risiko menyuarakan pendirian mereka, serta merungkai makna solidariti dalam sebuah masyarakat yang dikawal rapi.

“Filem berpotensi untuk membingkai semula sesuatu naratif yang sebelum ini mungkin hanya dilihat dari satu sudut sahaja,” ujarnya.

“Ia juga mampu menzahirkan suara yang mungkin tenggelam dalam arus media, memunculkan sudut pandangan yang berlainan.”

TRACES, oleh Noor Syafiqah Mohammed Faizal, Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Seni Halus, Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa)

Pemasangan fotografi, ‘TRACES’, menarik perhatian terhadap persekitaran yang sering terlepas pandang dalam landskap bandar.
Pemasangan fotografi, ‘TRACES’, menarik perhatian terhadap persekitaran yang sering terlepas pandang dalam landskap bandar. - Foto NOOR SYAFIQAH MOHAMMED FAIZAL

Daun mengering, melengkung lalu mereput dengan peredaran masa.

Sepertimana semua yang hidup, ia wujud bergantung kepada persekitaran dan kitaran semula jadi kehidupan.

Namun, kewujudannya jarang meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang sekadar lalu berhampirannya.

Menerusi tindakan menyusun semula daun yang gugur dan bahan yang ditemui di sekelilingnya, TRACES berusaha membentuk semula ruang hijau yang biasa dilalui, sekali gus menarik perhatian terhadap tekstur yang sering terlepas pandang dalam landskap bandar.

“Saya mahu karya ini ditemui secara kebetulan; sesuatu yang mungkin disedari penonton tanpa dirancang,” katanya.

Pemasangan fotografi karya Cik Noor Syafiqah ‘mencabar’ sempadan antara alam semula jadi dengan ruang yang dibina manusia.
Pemasangan fotografi karya Cik Noor Syafiqah ‘mencabar’ sempadan antara alam semula jadi dengan ruang yang dibina manusia. - Foto NOOR SYAFIQAH MOHAMMED FAIZAL

Melalui pendekatan itu, pemasangan fotografi tersebut mencabar sempadan antara alam semula jadi dengan ruang yang dibina manusia, seakan-akan seni grafiti di jalanan, yang “sebahagiannya tersembunyi tetapi jelas kelihatan, wujud dalam sesuatu ruang, namun pada masa yang sama, terasa sedikit janggal di situ”.

Lebih daripada sekadar elemen utama yang digunakan dalam TRACES, daun mengabadikan sentuhan, masa dan kehadiran seseorang.

Ia mencerminkan keindahan alam sementara, di samping menggambarkan keakraban hubungan peribadi yang dekat di hati seorang seniman dan kaitan rapat dengan adik perempuannya.

Labour As Rest, oleh Muhamad Hazim Ab Wahab, Chai Yong Shen Terence & Bryan Chung Jia Le, Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Reka Bentuk Biofilik, Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa)

Persoalan tentang rehat menjadi percanggahan yang diteroka dalam model reka bentuk berjudul, Labour as Rest.
Persoalan tentang rehat menjadi percanggahan yang diteroka dalam model reka bentuk berjudul, Labour as Rest. - Foto MUHAMAD HAZIM AB WAHAB

Rehat lazimnya dikaitkan dengan imej berbaring di atas katil, menyelubungi diri dengan selimut sambil menonton siri di Netflix.

Bagaimana pula jika perkara yang menyegarkan diri kita sebenarnya langsung tidak kelihatan seperti rehat?

“Percanggahan itulah yang menjadi persoalan utama projek kami,” katanya.

“Bolehkah suatu kerja itu sendiri menjadi satu bentuk rehat?”

Berjudul Labour as Rest, projek itu meneroka pemahaman alternatif tentang makna rehat dalam konteks gaya hidup bandar Singapura yang pesat.

Dibangunkan untuk Ground-Up Initiative, sebuah pertubuhan bukan keuntungan serta berasaskan masyarakat di Yishun yang tertumpu kepada pertanian bandar, pendidikan dan amalan kehidupan berkomuniti, projek itu mengajak peserta menyertai kegiatan kerja bersama secara langsung dalam persekitaran alam semula jadi.

Projek ‘Labour as Rest’ mengajak peserta menyertai aktiviti kerja bersama secara langsung dalam persekitaran alam semula jadi.
Projek ‘Labour as Rest’ mengajak peserta menyertai aktiviti kerja bersama secara langsung dalam persekitaran alam semula jadi. - Foto MUHAMAD HAZIM AB WAHAB

Di situ, mereka menjalani pelbagai tugasan yang mempunyai matlamat tertentu, namun masih diberikan kebebasan untuk menentukan hasil kerja itu.

“Dalam beberapa aspek, projek ini juga lahir daripada persoalan peribadi,” ujarnya.

“Bukan sekadar sama ada suatu kerja manual boleh dilihat sebagai sesuatu yang merehatkan, tapi sama ada kita sebagai rakyat Singapura mampu memberi ruang untuk diri sendiri bagi menemukan rehat di tempat-tempat yang tidak dijangka.”