Zaman remaja memang penuh pancaroba.

Ia juga kerap disifatkan sebagai tempoh mencari identiti.

“Korang rasa kita akan kena marah teruk ke?” tanya Hawa.

“Kali ni saja… biar kita buat apa kita nak,” jawab Izat.

“Tiap tahun benda yang sama,” keluh Khadijah.

Ini merupakan sebahagian dialog daripada perbincangan melibatkan empat watak remaja iaitu Hawa, Izat, Khadijah dan Aisyah.

Mereka tercari-cari ‘suara’ sendiri di tengah-tengah kongkongan yang membosankan dan penjaga rumah kebajikan yang autoritatif, dalam filem projek akhir tahun hasil karya, Nashrudin Shariffudin.

Filem ‘Berkelana Dalam Ruang dan Mimpi’ mengisahkan Hawa (lakonan Nur Ariana), seorang penghuni baharu di rumah kebajikan yang konservatif untuk kanak-kanak perempuan. Beliau menyertai sebuah band ‘punk’ bersama rakan-rakan baharunya yang berhasrat untuk mensabotaj pertandingan ‘Talentime’ yang bakal berlangsung secara rahsia.
Filem ‘Berkelana Dalam Ruang dan Mimpi’ mengisahkan Hawa (lakonan Nur Ariana), seorang penghuni baharu di rumah kebajikan yang konservatif untuk kanak-kanak perempuan. Beliau menyertai sebuah band ‘punk’ bersama rakan-rakan baharunya yang berhasrat untuk mensabotaj pertandingan ‘Talentime’ yang bakal berlangsung secara rahsia. - Foto NASHRUDIN SHARIFFUDIN

Idea bagi filem Berkelana Dalam Ruang dan Mimpi, arahan Nashrudin, 28 tahun, pelajar Sarjana Muda (Kepujian) dalam Perfileman dari Maktab Seni Lasalle sebenarnya bermula daripada pengalaman yang disaksikannya sewaktu bekerja di sebuah rumah anak yatim di Singapura.

Ia menjadi inspirasi yang kemudian diterjemahkan kepada naskhah skrip oleh seorang lagi pelajar Lasalle, Hefa Meylani Rigma Prayitno.

Filem selama 18 minit itu mengisahkan Hawa (lakonan Nur Ariana), penghuni baharu yang introvert dan pendiam di sebuah rumah kebajikan yang konservatif untuk kanak-kanak perempuan.

Di situ, beliau menyertai sebuah band ‘punk’ bersama rakan-rakan baharunya yang berhasrat untuk mensabotaj pertandingan mencari bakat, Talentime, yang bakal berlangsung secara rahsia.

Namun, rancangan mereka hampir dibongkar penjaga rumah kebajikan tersebut, Maryam (Rosita Hussin), dalam satu adegan lucu yang seolah-olah membangkitkan semula karya pengarah terkenal dari Malaysia, Allahyarhamha Yasmin Ahmad.

“Saya dapat rasakan kejujuran dan keikhlasan dalam cara beliau (Yasmin) menggambarkan masyarakat Melayu/Islam menerusi filemnya.

“Ia menjadi inti pati yang ingin saya gambarkan dalam filem saya,” ujar Nashrudin.

Keinginan untuk bersimpati dengan watak Maryam yang digambarkan sebagai antagonis (yang tegas dan konservatif) dalam jalan cerita itu mungkin timbul di dalam hati penonton.

“Adakah perwatakan beliau sememangnya begitu atau sebenarnya hasil sistem dan persekitaran yang membentuknya untuk bertindak sedemikian?

“Disebabkan jangkaan masyarakat terhadap perwatakan seorang wanita Melayu/Islam, ia sedikit sebanyak mempengaruhi cara Maryam melihat dan mentafsir dunia sekelilingnya,” kata Nashrudin semasa ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Beliau turut mengambil bahan rujukan daripada karya pengarah tempatan, M. Raihan Halim, dan filem komedi sulungnya, Banting (2014), untuk merungkaikan soal jantina, pertembungan antara generasi dengan agama dalam kehidupan harian.  

Perjalanan watak Hawa bukanlah tentang menolak prinsip rohani, tetapi menemukan keberanian, suara dan arah hidup untuk membuat pilihan bagi dirinya sendiri.

“Itulah yang mendorong saya kepada seni. Ia jugalah yang membuatkan saya jatuh cinta pada muzik, khususnya genre ‘punk’.

“Menjadikannya satu ruang untuk saya mengekspresi diri, ketika dibelenggu rutin harian dan kekangan alam persekolahan sewaktu kecil.

“Dalam kata lain, saya banyak melihat diri saya dalam watak Hawa,” kata Nashrudin, yang juga pemain gitar bes bagi band muzik tempatan, Intermission Party Programme.

Menjelang pengakhiran filem itu, suara Hawa bergema lantang sewaktu membuat persembahan di atas pentas seakan menunjukkan keberanian dalam dirinya.

“Dalam hidup, kita tak boleh lari daripada pandangan orang. Kalau kita buat baik, orang akan cepat lupa. Tapi kalau kita buat jahat, orang akan ingat selama-lamanya,” kata Maryam.

Hawa menjawab: “Kalau asyik nak ikut cakap orang, bila nak ikut hati sendiri.” 

“Itulah yang mendorong saya kepada seni. Ia jugalah yang membuatkan saya jatuh cinta pada muzik, khususnya genre ‘punk’. Menjadikannya satu ruang untuk saya mengekspresi diri, ketika dibelenggu rutin harian dan kekangan alam persekolahan sewaktu kecil. Dalam kata lain, saya banyak melihat diri saya dalam watak Hawa. Itulah yang mendorong saya kepada seni.”
Nashrudin Shariffudin, mahasiswa Sarjana Muda (Kepujian) dalam Perfileman dari Maktab Seni Lasalle.