Baru-baru ini, pelajar seni dari tiga institusi, Maktab Seni Lasalle, Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) telah mempamerkan hasil kerja projek akhir tahun mereka. Ikuti empat kisah menarik yang meneroka pelbagai tema sosial dan budaya sambil menyelami kerencaman pengalaman hidup masyarakat masa kini.

Dalam keadaan hiruk-pikuk dengan suara para peniaga melaungkan harga serta para pelanggan sibuk tawar-menawar, kunjungan ke pasar basah sudah menjadi sebahagian daripada rutin Cik Nawal Azhar, sejak kecil.

Lazimnya, beliau akan ke pasar bersama ibunya, dan lawatan mereka itu diakhiri dengan sesi bersarapan dan perbualan mendalam.

“Walaupun suasana pasar basah agak menggentarkan buat saya ketika masih kanak-kanak, pengalaman menemani ibu membeli barang di situ merupakan masa bermutu yang saya dapat luangkan bersamanya,” kata Cik Nawal, 24 tahun.

Beliau berasa lawatan ke pasar semakin asing bagi ramai anak muda.

Bersama dua rakan projeknya, Encik Van Rene Rasmei, 26 tahun; dan Encik Chong Yi Kai, 25 tahun; pelajar Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) itu mula memikirkan tentang hubungan generasi muda dengan makanan.

Bukan sekadar apa yang dimakan, malah segala hubungan dan pengalaman yang terbentuk di sekelilingnya harus dipertimbangkan.

Pemerhatian itulah yang menjadi titik permulaan bagi inisiatif yang diberi nama, Common Gatherers.

Ia merupakan projek tahun akhir Cik Nawal untuk pengajian Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Amalan Reka Bentuk.

Projeknya yang memenangi Anugerah Impak Terbaik Nafa itu menghubungkan kegiatan di pasar basah, studio dan dapur dalam satu pengalaman.

Senarai beli-belah bergambar dan peta Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah View digunakan sebagai sebahagian daripada kegiatan ‘Common Gatherers’, yang menggalakkan peserta berinteraksi dengan persekitaran pasar basah serta bahan-bahan makanan yang dipilih.
Senarai beli-belah bergambar dan peta Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah View digunakan sebagai sebahagian daripada kegiatan ‘Common Gatherers’, yang menggalakkan peserta berinteraksi dengan persekitaran pasar basah serta bahan-bahan makanan yang dipilih. - Foto NAWAL AZHAR

Berpandukan senarai beli-belah yang dipenuhi ilustrasi bahan makanan, peserta diberi peluang menyusuri sekitar Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah View, untuk memilih empat bahan yang akan membentuk versi quesadilla mereka sendiri.

Quesadilla ialah makanan tradisional dari Mexico. Hidangan yang berasaskan roti nipis (dipanggil tortilla) yang biasanya diisi dengan keju dan pelbagai inti lain, kemudian dilipat dua dan dimasak sehingga keju cair.

Sepanjang perjalanan ke pasar basah itu, peserta diberi cabaran seperti ‘cuba dapatkan diskaun daripada peniaga’.

Kad cabaran yang diselitkan itu mendorong peserta bertanya soalan, memulakan perbualan dan melihat pasar basah lebih daripada hanya satu kegiatan beli-belah.

Sebahagian bahan yang dipilih sendiri di pasar basah itu digunakan dalam sesi cetakan seni sementara sebahagian lagi digunakan untuk dijadikan hidangan.

Kededua langkah itu menjadikan mereka lebih memahami dan meminati makanan yang akhirnya dinikmati.

Proses pembelian akhirnya menghasilkan quesadilla yang pelbagai bentuk dan rasa.

Sewaktu makan bersama, peserta turut berkongsi sebab di sebalik pilihan bahan dan gabungan yang mereka hasilkan, membuka ruang kepada perbualan tentang tabiat serta pilihan makanan masing-masing.

Bagi sesetengah peserta, itulah yang menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna, mereka bukan sekadar menikmati hidangan yang disiapkan, malah, turut melalui perjalanan di sebalik pembentukannya.

“Projek ini bukan sekadar menggalakkan orang ramai memasak atau mengunjungi pasar basah. Ia juga menjadi batu loncatan untuk mereka lebih prihatin tentang apa yang mereka makan,” kata Encik Chong.

Seni pemasangan, ‘Common Gatherers’, yang diinspirasikan daripada gerai makanan jalanan menjadi ruang untuk orang ramai berinteraksi dengan kegiatan yang menggalakkan mereka meneroka semula hubungan antara makanan, pasar basah dengan masyarakat.
Seni pemasangan, ‘Common Gatherers’, yang diinspirasikan daripada gerai makanan jalanan menjadi ruang untuk orang ramai berinteraksi dengan kegiatan yang menggalakkan mereka meneroka semula hubungan antara makanan, pasar basah dengan masyarakat. - Foto NAWAL AZHAR

Berhampiran pasar basah dan pusat penjaja pula, sebuah kios berinspirasikan gerai makanan jalanan memberi ruang kepada lebih ramai orang awam melibatkan diri dalam dalam daya usaha itu.

Tampil dalam bentuk yang lebih kemas dan kontemporari, rak-raknya dipenuhi buku resipi yang dikongsi oleh anggota masyarakat dan para peniaga pasar basah.

Pada pandangan pertama, ia mungkin kelihatan seperti koleksi resipi biasa.

Namun, lebih daripada sekadar buku resipi, setiap halaman terselit cerita tentang hidangan kegemaran keluarga, bahan yang diwarisi turun-temurun atau petua yang selama ini hanya hidup dalam perbualan harian.

“Resipi ini lebih daripada panduan menyediakan makanan. Bagi saya, ia juga menjadi peluang bagi orang ramai mengimbau kembali hubungan, kenangan dan pengetahuan yang membentuk budaya pasar basah,” ujar Cik Nawal.

Bahagian itulah antara yang paling dihargainya dalam projek tersebut.