Tahun 2025 bakal berakhir, tetapi masih sempat untuk pengembara membuat rancangan percutian mereka sebelum bermulanya tahun baru.
Pakar daripada portal pelancongan, Kayak, menyenaraikan beberapa negara yang menyerlah bukan sahaja kerana kecantikan semula jadi, malah pengalaman unik buat para pelancong.
Daripada dataran beralun dan bandar zaman purba di Zimbabwe, kepada pergunungan Patagonia di Argentina, negara-negara ini pastinya memberi inspirasi kepada mereka yang dambakan pengalaman berbeza.
Di bawah kami paparkan enam destinasi ini:
Negara yang terletak di selatan benua Afrika ini menduduki tempat pertama dalam senarai ini.
Zimbabwe merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai unsur berbeza, di mana terdapat bandar dari zaman purba di tengah-tengah dataran dan beberapa sungai besar yang mengukir gaung.
Pemandangan alamnya sangat rencam – daripada padang savana luas, dipenuhi pokok akasia, kepada bukit batu granit dan gunung diselubungi kabus di kawasan tanah tinggi.
Salah satu tempat yang perlu dilawati ialah Victoria Falls, salah satu air terjun terbesar di dunia.
Negara di kawasan Laut Baltic ini mempunyai pekan bandar dari zaman pertengahan, atau medieval, yang masih kekal cantik, dengan tasik yang dikelilingi hutan serta padang rumput.
Pelancong ke Lithuania tidak boleh melepaskan peluang meneroka negara itu kerana kawasan luar bandar serta jalannya yang penuh sejarah dengan pemandangan tenang akan membuatkan hati mereka ingin datang lagi.
Negara itu mempunyai banyak khazanah semula jadi dan budaya yang tidak diketahui ramai, sesuai bagi mereka yang meminati pelancongan yang santai.
Negara pulau yang terletak di Lautan Hindi ini dikenali dengan pelbagai unsur yang berbeza – daripada hutan rimba yang tebal dan bandar dari zaman purba di tengah-tengah hutan itu, kepada perkampungan berkabus yang terletak di kawasan bukit di mana kereta api melalui ladang teh.
Kawasan pantainya pula terdapat sejarah dari zaman kolonial dan mempunyai ciri santai.
Sri Lanka menawarkan pelbagai pengalaman dan landskap bagi mereka yang mahukan ciri kebudayaan dan alam semula jadi pada percutian mereka.
Korea Selatan merupakan destinasi dengan kecantikan yang tidak begitu menonjol.
Dengan hutan di kawasan pergunungan yang dipenuhi kuil, pulau gunung berapi serta bandar moden yang mencampurkan tradisi dan inovasi, banyak yang boleh diteroka dan dialami di negara itu.
Korea Selatan sangat sesuai bagi pengembara yang mahukan pengalaman kebudayaan yang santai.
Daripada dataran luas kepada pergunungan Patagonia yang diselimuti salji, perbezaan landskap inilah yang membuat Argentina unik dengan keindahannya tersendiri.
Dengan bandarnya yang penuh meriah serta pekan kecil dengan sejarah zaman kolonial, sudah pasti ada banyak yang boleh dilakukan pengembara semasa di sana.
Negara di utara benua Afrika ini dikenali dengan padang pasir, lembah yang dipenuhi pohon zaitun, serta bandarnya yang meriah dan penuh tenaga.
Maghribi mempunyai ciri dari zaman purba yang cantik tetapi tidak membosankan.
Pengembara ke negara itu boleh meneroka lorong di bandar seperti Fez, perkhemahan di padang pasir, bandar kecil di tepi laut serta perkampungan di kawasan pergunungan.
Kepelbagaian landskap dan budaya inilah yang membuatkan negara itu menjadi pilihan menarik bagi mereka yang mahukan kelainan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg