Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 tip tempah tiket penerbangan murah

Nov 9, 2025 | 12:11 PM
Pelancong boleh menjimatkan wang untuk tiket penerbangan dengan beberapa tip tempahan yang bijak.
Pelancong boleh menjimatkan wang untuk tiket penerbangan dengan beberapa tip tempahan yang bijak. - Foto fail

Tirai 2025 bakal dilabuhkan, dan golongan yang suka merayap pastinya sudah sibuk mencari ilham untuk destinasi percutian mereka pada tahun depan (2026) di samping bersemangat rancang jadual perjalanan mereka.

Ada yang mungkin sudah membulatkan hati ingin menuju ke destinasi idaman, malah sudah meninjau harga hotel dan kegiatan yang dimampui.

Apakan daya, harga penerbangan tiba-tiba buat anda tersentap seketika!

Namun, anda sebenarnya boleh menjimatkan wang untuk tiket penerbangan dengan beberapa tip tempahan yang bijak, termasuk hari terbaik untuk terbang dan berapa awal anda perlu menempah perjalanan.

Bagaimanapun, anda perlu sedia maklum, seperti semua ‘petua’ turun-temurun, pengalaman hasil usaha setiap orang pasti berbeza-beza.

Berita Minggu (BM) telah mendapatkan nasihat beberapa laman tempahan perjalanan serta menyarankan beberapa tip berdasarkan pengalaman sendiri.

1. Tempah pada hujung minggu, terbang pada hari bekerja

Berdasarkan laporan Air Hacks Expedia 2025, Ahad merupakan hari terbaik membuat tempahan, manakala Khamis adalah hari terbaik memulakan perjalanan, dengan penumpang mampu menjimat kos hingga 25 peratus.

Jumaat pula dikatakan paling mahal untuk menempah tiket anda manakala Ahad pula paling mahal untuk menaiki penerbangan.

Menurut laman tempahan perjalanan Trip.com, mengambil penerbangan di tengah minggu bekerja secara umumnya, membantu pelancong berjimat, terutamanya pada Selasa dan Rabu.

Ini memandangkan hari-hari tersebut kurang popular untuk berjalan.

2. Berapa awal saya perlu buat tempahan?

Wadah tempahan perjalanan Expedia menyarankan tempoh paling ideal membuat tempahan bagi penduduk Singapura adalah 61 hingga 70 hari (dua hingga tiga bulan) dan harga tiket penerbangan lebih murah sebanyak 20 hingga 30 peratus secara purata.

Menurut Trip.com, bagi penerbangan antarabangsa, waktu terbaik adalah dua hingga enam bulan sebelum keberangkatan, manakala bagi penerbangan domestik, ia adalah sebulan hingga tiga bulan sebelum pelepasan.

Bagaimanapun, wadah tempahan perjalanan Skyscanner berkata menempah awal juga memberi kelebihan.

Penerbangan selalunya dikeluarkan 12 bulan lebih awal, dan secara umumnya syarikat penerbangan menawarkan harga lebih murah apabila penerbangan mula-mula dikeluarkan.

Di samping itu, oleh kerana harga turun naik berdasarkan bekalan dan permintaan, menempah awal memberi anda kelebihan menikmati harga lebih baik sebelum ia naik disebabkan permintaan.

Ini juga tidak bermakna menempah lambat bererti anda terlepas tawaran baik, menurut Skyscanner.

3. Bertindak fleksibel

Tiada rancangan tetapi tetap ingin mengembara?

Beberapa wadah tempahan perjalanan telah menyertakan ciri yang membolehkan anda membandingkan harga tiket penerbangan ke destinasi berbeza, dan yang mana satu paling murah berdasarkan tempoh yang dipilih.

Contohnya, di Skyscanner, terdapat ciri ‘cheapest month’ (bulan paling murah) atau ‘month view’ (paparan bulan).

Jika anda sudah tahu destinasi yang ingin dikunjungi tetapi fleksibel dari segi masa perjalanan, pengguna boleh pilih flexible dates (tarikh fleksibel) di Skyscanner untuk mencari bulan paling murah untuk melancong.

Pengguna boleh pilih ‘flexible dates’ (tarikh fleksibel) di ‘Skyscanner’ untuk mencari bulan paling murah untuk melancong. 
Pengguna boleh pilih ‘flexible dates’ (tarikh fleksibel) di ‘Skyscanner’ untuk mencari bulan paling murah untuk melancong.  - Foto TANGKAP LAYAR LAMAN SKYSCANNER

Ciri ini juga menunjukkan harga terendah bagi setiap bulan untuk ke destinasi tersebut.

Pengguna juga boleh menggunakan ciri ‘month view’, yang memaparkan harga dalam bentuk kalendar atau carta dengan kod warna (hijau bagi yang paling murah).

Ini membolehkan pelancong memilih tarikh paling sesuai untuk penerbangan dan hotel mengikut bajet perjalanan masing-masing.

4. Ambil penerbangan di luar waktu sibuk

Menurut Expedia, Julai adalah bulan paling murah untuk penduduk Singapura melakukan pengembaraan, dengan penjimatan 10 peratus berbanding Februari, bulan paling mahal.

Secara umum, pelancong boleh mempertimbang pelancongan di luar waktu sibuk seperti cuti umum atau cuti sekolah.

Selalunya, harga tiket pada cuti sekolah Mac, Jun, September dan Disember, serta cuti umum seperti Tahun Baru Cina dan Hari Natal lebih mahal.

Anda juga mungkin boleh mendapatkan tiket penerbangan dengan harga lebih murah jika sanggup terbang pada awal pagi.

Menurut Trip.com, selalunya, penerbangan pada 6 pagi adalah lebih murah berbanding waktu lain kerana waktu tersebut kurang popular.

Namun, cabaran utama yang mungkin dihadapi adalah untuk sampai ke lapangan terbang pada waktu itu – pastikan pengangkutan awam beroperasi, atau anda boleh menempah teksi atau mendapatkan bantuan seseorang untuk menghantar anda ke lapangan terbang.

5. Jangan bataskan diri kepada syarikat penerbangan sama

Apabila menempah tiket penerbangan ulang-alik, cari tiket sehaluan yang berlainan dan jika boleh, gunakan syarikat penerbangan berbeza.

Kadangkala, dua tiket sehaluan berlainan lebih murah berbanding tiket ulang-alik.

Ini memudahkan anda jika perlu membatalkan salah satu penerbangan itu kerana ia mungkin lebih murah untuk membayar yuran pembatalan sehala berbanding menempah semula penerbangan ulang-alik.

Terdapat pelbagai laman yang membolehkan anda membandingkan harga syarikat penerbangan berbeza termasuk Google Flights, Skyscanner, Trip.com, Expedia dan lain-lain.

Contoh perbandingan harga syarikat penerbangan berbeza.
Contoh perbandingan harga syarikat penerbangan berbeza. - Foto TANGKAP LAYAR TRIP.COM

6. Rajin pantau perubahan harga dan aktifkan notifikasi (pesanan pemberitahuan)

Bagi banyak laman tempahan perjalanan, terdapat ciri ‘price alert’ (memaklumkan harga penerbangan), di mana anda dapat mengaktifkan pilhan tersebut jika terdapat perubahan pada harga bagi destinasi dan tarikh pilihan anda.

Di Skyscanner pula, terdapat ciri DROPS yang eksklusif buat aplikasinya yang memberikan inspirasi perjalanan terkini yang dikemas kini setiap jam.

Ia menunjukkan penerbangan dari lapangan terbang berdekatan yang telah menurunkan harga sekurang-kurangnya 20 peratus berbanding minggu sebelumnya, membantu pengembara mendapatkan tawaran terbaik dengan mudah.

Sebahagian tawaran ini juga merangkumi penerbangan terkini – sebagai contoh, carian DROPS pada masa ini menunjukkan penerbangan dimampui untuk beberapa bulan akan datang. – NUR HUMAIRA SAJAT

Ciri DROPS membantu pengembara mendapatkan tawaran terbaik dengan mudah.
Ciri DROPS membantu pengembara mendapatkan tawaran terbaik dengan mudah. - Foto TANGKAP LAYAR APLIKASI SKYSCANNER
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg