Sebut sahaja cuti, memanglah seronok.
Tetapi proses merancangnya? Hmmm… mungkin bikin sakit kepala walau dalam hati teruja.
Sudah cukup mencabar untuk golongan ibu bapa merancang dan mengurus percutian yang melibatkan anak-anak kecil, apatah lagi jika ditambah dengan datuk, nenek, dan saudara-mara yang ingin ‘meramaikan’ suasana.
Bukan rentak anak-anak sahaja perlu diikut, tetapi selera warga emas juga perlu dipenuhi.
Seperti tinjauan yang dikeluarkan wadah perjalanan digital Booking.com, keluarga Singapura selalunya bergelut dengan minat yang bercanggah (35 peratus), kesukaran mencari kegiatan yang memenuhi cita rasa semua lapisan umur (33 peratus) dan menangani permintaan logistik untuk memenuhi keperluan semua (32 peratus).
Mengimbangi tahap tenaga setiap lapisan umur serta menangani dinamik keluarga menambah kepada cabaran merancang perjalanan yang boleh dinikmati semua, tambah dapatan tinjauan Gen.Voyage! yang meninjau perjalanan antara generasi di Asia Pasifik melibatkan lebih 8,000 pengunjung rentas rantau ini termasuk Singapura.
Namun sejujurnya, saya suka bercuti bersama keluarga besar kerana kekecohan yang saya rasakan itu ibarat memeriahkan suasana.
Malah, tinjauan mendapati bahawa percutian melibatkan beberapa generasi membawa manfaat tersendiri.
Menurut Booking.com, perjalanan antara generasi merapatkan jalinan keluarga dengan 52 peratus penduduk Singapura mendapati ia membawa keceriaan dari segi menjalinkan hubungan bersama serta mencipta kenangan dengan orang tersayang.
Sementara itu, sebanyak 44 peratus menghargai pengalaman tersebut yang membolehkan mereka berhubung semula dengan keluarga yang jarang mereka jumpa.
Dalam perjalanan saya ke Melbourne, Australia, baru-baru ini, walaupun tidak bercuti dengan keluarga besar saya seperti selalu, saya tetap berdepan dengan cabaran mencari kegiatan yang dapat memenuhi selera saya dan suami, serta anak-anak kami yang umur mereka baru setahun dan tiga tahun.
Namun Melbourne dipilih sebagai destinasi kerana ia sangat mesra keluarga.
Seperti keluarga Singapura lain yang ditinjau Booking.com, destinasi yang dimampui, selamat dan yang menawarkan tarikan serta kegiatan mesra keluarga menduduki senarai teratas dari segi keutamaan apabila saya memilih tempat yang ingin dituju.
Berikut beberapa panduan jika anda ingin rancang percutian yang melibatkan keluarga dua generasi dan ke atas:
1. Libatkan semua dalam proses perancangan
Dapatkan pandangan semua anggota keluarga apabila berbincang tentang destinasi, kegiatan dan penginapan.
Pendekatan inklusif ini memastikan keperluan semua orang diambil kira, mencetus perasaan ghairah untuk perjalanan tersebut.
Bahagikan tugas berlainan kepada individu tertentu contohnya membuat penyelidikan tentang kegiatan, atau mengurus tempahan supaya beban merancang itu menjadi ringan.
2. Bersikap fleksibel
Hasilkan jadual perjalanan yang mengandungi kedua-dua jenis aktiviti lasak dan santai.
Misalnya, pengunjung boleh menikmati pengalaman terbaik di destinasi pilihan dengan memanfaatkan pelbagai jenis lawatan, tiket tarikan dan banyak lagi di Booking.com, yang menyediakan pilihan di lebih 1,800 bandar di seluruh dunia, menjadikannya lebih mudah untuk memenuhi citarasa berbeza.
Anda perlu bersedia jika perubahan harus dilakukan secara spontan supaya dapat menyesuaikan jadual mengikut rentak ahli keluarga masing-masing.
Tetapkan juga waktu ‘free and easy’ di mana anggota keluarga bebas untuk melakukan kegiatan peribadi mereka tanpa terikat kepada aktiviti berkumpulan.
3. Manfaatkan teknologi
Guna teknologi untuk mempermudahkan urusan merancang percutian.
Dengan 61 peratus keluarga merancang menggunakan alat AI untuk bercuti, perancangan perjalanan celik teknologi semakin popular.
Guna wadah yang tawar pilihan menyeluruh, ulasan pengguna dan penetapan harga yang kompetitif untuk mencari penginapan dan aktiviti terbaik untuk keluarga anda.
Bagi percutian saya baru-baru ini, saya memanfaatkan ciri AI di Booking.com, termasuk Perancang Perjalanan AI, untuk mendapat saranan kegiatan untuk dilakukan dan tempat untuk dikunjung.
Wadah tempahan perjalanan seperti itu juga membantu saya mengumpulkan semua tempahan – penerbangan, penginapan, kereta, kegiatan – dalam satu platform dalam keadaan teratur.
4. Lakukan kegiatan yang memerlukan interaksi keluarga
Cari kegiatan mesra keluarga yang akan menggalakkan anggota keluarga berinteraksi dengan satu sama lain.
Contohnya kelas memasak, kegiatan hiking, meninjau-ninjau keajaiban alam semula jadi, dan mengalami budaya berbeza.
Bagi percutian saya ke Melbourne, saya membawa anak-anak saya bersiar-siar di hutan simpanan yang menempatkan koala.
Sama-sama, kami cuba mencari koala yang ‘tersembunyi’ di habitat semula jadi tersebut, menggalakkan perbualan berterusan antara saya dengan anak-anak.
Pengalaman ini bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan tetapi juga mencipta detik-detik mengeratkan hubungan bersama keluarga supaya dapat dijadikan memori indah bersama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg