Terbukti, melancong sudah menjadi sebahagian penting kehidupan warga Singapura sehinggakan ia menjadi keutamaan apabila mereka membuat perancangan kewangan.
Seramai 40 peratus pelancong Singapura akui bahawa mengumpul duit bagi tujuan melancong lebih penting berbanding matlamat kewangan lain seperti persaraan atau perumahan.
Di samping itu, hampir tiga dalam empat berkata mereka sedang merancang bilangan perjalanan yang sama, atau lebih, untuk tahun seterusnya.
Demikian menurut tinjauan Savvy Travel Survey yang dijalankan ke atas 1,000 pelancong Singapura dari Jun hingga Julai 2025.
Tinjauan yang dijalankan aplikasi pelancongan global, Skyscanner, dan syarikat perbankan komersial, Trust Bank, itu menyelami bagaimana orang ramai mengimbangi keinginan kuat untuk melancong dengan realiti kewangan.
Yang jelas, tinjauan itu membuktikan bahawa kegiatan melancong bagi tujuan riadah merupakan keutamaan tertinggi dari segi kewangan buat warga Singapura.
Bagaimanapun, seramai 69 peratus responden mendapati ia mencabar untuk menetapkan bajet untuk percutian mereka sementara 72 peratus akur bahawa mereka risau tentang memastikan kos pelancongan tidak melebihi had.
Malah, antara cabaran terbesar yang dihadapi pelancong Singapura ialah mencari penerbangan dan penginapan yang dimampui (44%), diikuti memastikan mereka tidak melampaui bajet (40%) dan kemudian menguruskan perbelanjaan yang tidak dijangka atau tersembunyi (30%).
Berikut empat tip mengenai perancangan perjalanan dan kewangan bagi percutian oleh Pakar Destinasi dan Trend Perjalanan Skyscanner, Cik Cyndi Hui, dan Ketua Pegawai Produk Trust Bank, Encik Aditya Gupta.
1. Berlaku fleksibel dari segi tarikh dan destinasi perjalanan bagi memastikan anda mendapat tawaran penginapan dan penerbangan terbaik. Contohnya, anda boleh guna ciri ‘Whole Month’ di aplikasi tempahan perjalanan Skyscanner untuk melihat hari, minggu, atau bulan termurah yang membantu anda jimat kos.
2. Tawaran saat akhir kadangkala menjadi peluang keemasan buat pengembara yang berani untuk membuat tempahan secara spontan.
Malah seramai 23 peratus pelancong Sinapura sanggup menukar destinasi mereka pada detik terakhir jika tawaran baik muncul.
Dengan sikap spontan ini, anda boleh merebut tawaran dengan pantas sebelum ia luput.
3. Salah satu cara paling bijak untuk memanfaatkan pengalaman perjalanan sepenuhnya adalah untuk campur dan padankan syarikat penerbangan serta lapangan terbang berbeza untuk penerbangan ulang-alik.
Mengambil penerbangan masuk ke satu lapangan terbang dan berangkat dari lapangan terbang berbeza boleh membantu anda jimat kos.
Di samping itu, anda juga boleh merancang perjalanan berbilang bandar atau ‘multi-city’, di mana anda boleh raih penjimatan besar di samping memaksimumkan bilangan destinasi yang dikunjung.
4. Pastikan anda bijak dalam menggunakan kad di luar negara. Apabila membuat pembayaran atau mengeluarkan wang tunai, selalu pilih untuk dicaj dalam mata wang negara tersebut, bukan mata wang negara anda.
Pilihan yang kelihatan remeh ini boleh membantu anda jimat kos dengan mengelak daripada kadar pertukaran yang melambung serta yuran tersembunyi yang terkait dengan penukaran mata wang dinamik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg