Topik diikuti
Pergi ke BHku7-Eleven lancar Foodbar di 16 cawangan, tawar hidangan panas serendah $4.50
7-Eleven lancar Foodbar di 16 cawangan, tawar hidangan panas serendah $4.50
Rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven memperkenalkan konsep kaunter makanan panas baru, Foodbar, di 16 cawangannya di seluruh Singapura.
Foodbar menawarkan pelbagai hidangan termasuk nasi, pasta dan mi yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa pelanggan, dengan harga bermula $4.50.
Pelancaran itu dibuat sedang jadual kerja yang padat dan rutin harian tidak menentu semakin mengubah tabiat pemakanan pengguna di Singapura.
Hampir tujuh daripada 10 pembeli kedai serbaneka memilih makanan yang mudah disediakan atau terus dimakan beberapa kali seminggu.
Menurut kajian 7-Eleven Foodvenience Customer Study 2026, sebanyak 68 peratus responden memilih hidangan sedemikian sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu, manakala 75 peratus menjangkakan mereka akan lebih bergantung pada pilihan makanan mudah disediakan pada masa depan.
Kajian dalam talian yang dijalankan pada Ogos 2026 itu melibatkan 1,020 pembeli kedai serbaneka di Singapura yang membeli makanan sedia dimakan dalam tempoh sebulan sebelumnya.
Dapatan itu mencerminkan perubahan tabiat pemakanan apabila pengguna semakin mengutamakan kemudahan tanpa mahu mengorbankan rasa dan mutu makanan.
Lebih empat daripada 10 responden mengakui sukar merancang makan malam pada hari bekerja dan sering membuat keputusan pada saat akhir mengenai hidangan mereka.
Ada juga yang terpaksa makan ketika dalam perjalanan, pada waktu tidak menentu atau terlepas waktu makan akibat kesibukan harian.
Malah, hampir separuh responden menikmati makanan selepas 9 malam beberapa kali seminggu atau setiap hari, menunjukkan waktu makan semakin disesuaikan mengikut jadual masing-masing.
Namun, makanan mudah disediakan kini bukan lagi dianggap pilihan terakhir apabila kesuntukan masa.
Sebaliknya, hampir lapan daripada 10 responden, atau 79 peratus, bersetuju makanan sedemikian boleh menjadi hidangan yang memuaskan.
Hampir separuh turut mempunyai pandangan lebih positif terhadap makanan tersebut berbanding tiga tahun lalu, dengan kemudahan dan rasa menjadi antara pertimbangan utama.
Pengarah Urusan 7-Eleven Singapura, Cik Anushree Khosla, berkata jadual harian yang semakin padat menyebabkan perancangan waktu makan sering diketepikan.
“Apabila rakyat Singapura perlu menguruskan semakin banyak perkara dalam sehari, waktu makan sering menjadi perkara pertama yang tidak dirancang.
“Pelanggan kami mencari pilihan makanan yang boleh diharapkan, mudah diperoleh, enak dan berbaloi apabila rancangan berubah,” katanya.
Bagi memenuhi keperluan tersebut, Foodbar menawarkan pilihan makanan panas yang baru disediakan, dengan konsep berbeza mengikut lokasi, profil pelanggan dan ruang di setiap cawangan.
Di cawangan yang mempunyai kaunter lebih besar, pelanggan boleh menyediakan mangkuk hidangan mengikut cita rasa sendiri dengan memilih nasi, pasta penne atau mi sebagai asas.
Mereka kemudian boleh memilih sos, ayam panggang, kentang hash brown atau potongan ayam, serta taburan seperti bawang goreng, keju parmesan dan rumpai laut.
Pilihan lain termasuk piza, kroisan, pankek dan wafel yang boleh dinikmati di kedai atau dibawa pulang.
7-Eleven merancang memperluas konsep Foodbar itu secara berperingkat.
Menurut Cik Khosla, perubahan pandangan pengguna terhadap makanan mudah disediakan telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.
“Apabila jangkaan pelanggan terhadap makanan mudah disediakan semakin meningkat, kami berusaha mengikuti perkembangan itu dengan melabur dalam setiap peringkat, daripada pembangunan produk baharu hingga kerjasama dengan jenama makanan tempatan,” katanya.
Selain kemudahan, kajian itu menunjukkan cita rasa tempatan kekal menjadi pilihan utama pengguna, diikuti makanan lebih sihat, mesra bajet serta hidangan berinspirasikan Jepun dan Korea.
Antara pilihan sedia ada di 7-Eleven nasi kari Jepun, kimbap dan nasi goreng kimchi.
7-Eleven itu turut bekerjasama dengan jenama tempatan seperti Lau Wang Claypot Delights, Playmade dan Chocolate Origin untuk menghasilkan makanan sedia dimakan berinspirasikan hidangan popular mereka.