Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelepas empat tahun menyepi, The Mad Sailors kembali
Tampil menu baharu fokus pada ‘fish and chips’, percaya jenama F&B perlu sedia hadapi perubahan
Selepas empat tahun menyepi, The Mad Sailors kembali
Antara kafe halal yang mewarnai landskap kafe di Singapura sedekad lalu, The Mad Sailors pernah menjadi antara nama yang dikenali pengunjung Haji Lane.
Dibuka pada 2016, kafe itu menawarkan makanan asal Inggeris ketika pilihan kafe halal berkonsep moden dan kreatif sedang berkembang di Singapura.
Malah, The Mad Sailors terlebih dahulu membuka pintunya sebelum The Black Hole Group, yang diasaskan Encik Mustaffa Kamal, dibentuk secara rasmi.
Namun, selepas enam tahun beroperasi, The Mad Sailors menutup pintunya pada 2022.
Empat tahun kemudian, ia kembali pada Mei 2026, tetapi bukan dengan menu lama yang sama.
Pengurus penjenamaan dan pemasaran The Black Hole Group, Cik Hayley Ridgewell, berkata tiada masa yang benar-benar “tepat” untuk menghidupkan kembali sesebuah jenama.
“Sebenarnya, saya rasa tidak pernah ada masa yang betul. Kadangkala masanya tidak sesuai, kadangkala tepat. Jadi kita perlu mencubanya sahaja,” katanya.
Ruang yang kini menempatkan The Mad Sailors sebelum ini menempatkan konsep makanan Mexico rangkaian itu, Afterwit.
“Kami sudah mempunyai ruang ini selama 11 tahun dan kami rasa mahu mengubahnya dan mencuba sesuatu yang berbeza. Jadi kami fikir, mengapa tidak membawa The Mad Sailors kembali dan lihat sama ada ia menjadi?” tambahnya.
Namun, pelanggan lama yang kembali tidak akan menemui menu seluas dahulu.
Jika The Mad Sailors sebelumnya menawarkan pelbagai hidangan termasuk pasta, versi baharunya memberi tumpuan hampir sepenuhnya kepada fish and chips (ikan goreng bersalut tepung dan kentang goreng).
Ketua pegawai produk The Black Hole Group, Encik Sufi Hassan, berkata perubahan itu sejajar dengan trend pengkhususan yang semakin ketara dalam industri makanan dan minuman (F&B).
“Kami bukan sahaja membawa The Mad Sailors kembali, tetapi membawanya kembali dengan menu yang jauh lebih fokus.
“Dahulu kami ada pasta dan pelbagai jenis hidangan. Kali ini, kami mahu memberikan sepenuh perhatian kepada fish and chips. Satu produk, tetapi pastikan kami melakukannya dengan baik,” katanya.
Bagi Cik Ridgewell, menu lama yang terlalu luas juga boleh menjejas tumpuan terhadap mutu makanan.
“Dahulu The Mad Sailors mempunyai begitu banyak hidangan sehingga ia menjejaskan mutu yang boleh kami hasilkan.
“Jadi kami fikir, kami akan fokus pada fish and chips dan cuba melakukannya dengan betul dan sebaik mungkin,” katanya.
Walaupun kelihatan seperti hidangan mudah, Encik Sufi berkata setiap komponen memerlukan penelitian.
Adunan tepung, misalnya, melalui beberapa percubaan untuk mendapatkan tekstur ringan dan rangup tanpa mudah tertanggal daripada ikan apabila dipotong.
“Fish and chips mungkin nampak seperti hidangan yang sangat mudah, hanya ikan dan kentang, tetapi sebenarnya ada banyak aspek teknikal dalam setiap komponennya,” katanya.
Pelanggan boleh memilih Hoki Fish & Chips, $15.90, atau Halibut Fish & Chips, $18.90, dengan ikan halibut menjadi pilihan paling popular.
Namun, Encik Sufi mengatakan hoki mempunyai teksturnya yang lebih berderai (flaky) apabila dimakan.
Kentang gorengnya pula disediakan sendiri dan mengambil masa sehingga dua hari.
Kentang dikupas, dipotong dan dibasuh sebelum dicelur, dibekukan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin kelembapan, kemudian melalui beberapa proses menggoreng.
“Saya boleh katakan ia satu labour of love (usaha dengan sepenuh hati). Tidak banyak tempat yang masih membuat kentang goreng sendiri dari awal sekarang.
“Ia mengambil sekurang-kurangnya dua hari untuk disiapkan. Disebabkan prosesnya begitu teknikal, banyak perkara boleh tersilap. Jadi kami benar-benar mencurahkan banyak usaha kepada kentang itu,” kata Encik Sufi.
Pengalaman ala kedai fish and chips Britain itu turut dilengkapkan dengan Chip Shop Curry Sauce, $2.90.
Sos kari yang lazim dimakan bersama fish and chips di Britain itu diberi sedikit sentuhan tempatan dengan penggunaan serbuk kari tempatan.
“Kami mahu memperkenalkannya tetapi pada masa sama menyediakannya dengan cara yang lebih dekat dengan cita rasa pelanggan di sini.
“Daripada menggunakan serbuk kari dari tempat lain, kami menggunakan serbuk kari tempatan. Jadi ada sedikit rasa tempatan dan sesuatu yang lebih dikenali,” kata Encik Sufi.
Selain memberi tumpuan kepada satu hidangan, The Mad Sailors turut menggunakan kerjasama dengan jenama lain sebagai cara menarik pelanggan dalam landskap F&B semakin berubah.
Ia bekerjasama dengan restoran halal Britain, The Great Chase hingga 11 Oktober bagi menghasilkan hidangan The Roost, $21.90.
Hidangan itu menggabungkan paha ayam confit yang dimasak perlahan sebelum digoreng dengan puri lobak merah, kubis Brussels rangup dengan saus Dijon, kentang goreng tiga kali dan saus kari.
Cik Ridgewell berkata pendekatan terhadap pesaing dalam industri juga telah berubah.
“Semakin hari, kami melihatnya lebih sebagai kerjasama dan kurang sebagai persaingan dengan jenama tempatan lain. Perniagaan perlu saling membantu sekarang,” katanya.
Perjalanan The Mad Sailors juga berlaku seiring perkembangan The Black Hole Group sepanjang lebih sedekad dalam industri F&B.
Daripada The Mad Sailors, kumpulan yang diasaskan Encik Mustaffa itu kemudian berkembang dengan pelbagai konsep kulinari halal.
Antara jenama di bawah naungannya termasuk Tipo, Working Title, Afterwit, Tipo Gnocchi, Ela, Small Batch dan The Great Mischief.
Namun, pengalaman mengendalikan pelbagai konsep turut mengajar mereka bahawa apa yang berjaya suatu ketika dahulu belum tentu kekal relevan hari ini.
Menurut Encik Sufi, apabila The Mad Sailors mula dibuka pada 2016, keterujaan terhadap sesebuah konsep baharu boleh bertahan antara enam bulan hingga setahun.
Hari ini, katanya, tempoh perhatian pelanggan jauh lebih singkat.
“Dalam tiga bulan pertama selepas pembukaan, kita dapat lihat keterujaannya. Tetapi selepas orang mencubanya sekali, mereka mula mencari pengalaman baharu kerana sentiasa ada sesuatu yang baharu di luar sana.
“Jadi kami belajar bahawa kami perlu sentiasa bersedia dan sebab itulah kami melakukan kerjasama dengan jenama lain,” katanya.
Cik Ridgewell bersetuju bahawa pelanggan hari ini mempunyai lebih banyak pilihan dan restoran perlu memberi mereka sebab untuk datang.
“Sekarang ada lebih banyak penghantaran makanan dan pusat beli-belah kejiranan. Orang mahu sesuatu yang mudah dicapai.
“Apabila mereka memilih untuk datang ke Arab Street atau North Bridge Road, mereka benar-benar mahu pergi ke tempat tertentu. Kami perlu memberi mereka sebab untuk datang dari Woodlands atau Tampines ke sini,” jelasnya.
Selepas lebih sedekad mengendalikan pelbagai konsep F&B, antara pengajaran terbesar bagi mereka ialah mengetahui bila masanya untuk berubah.
“Jika sesuatu itu tidak menjadi, teruskan ke perkara lain. Sesuaikan diri dan teruskan,” kata Cik Ridgewell.
Encik Sufi turut menambah bahawa persekitaran dan landskap F&B sentiasa berubah.
“Kalau kita hanya kekal dengan satu konsep dan fikir ia akan terus berjaya selama-lamanya, itu bukan realitinya.”
Bagi The Mad Sailors, kepulangannya selepas empat tahun mencerminkan perjalanan itu, mengekalkan jenama yang bermula sedekad lalu sambil menyesuaikannya dengan selera dan tabiat pelanggan hari ini.
“Kami hanya cuba menghasilkan makanan yang bermutu,” ujar Encik Sufi.
The Mad Sailors
Alamat: 778 North Bridge Road, Singapore 198746Isnin, Rabu, Khamis dan Ahad 12 petang hingga 9 malam dan Jumaat hingga Sabtu 12 petang hingga 10 malam