8 perkara anda perlu tahu sebelum belayar bersama Disney Adventure
8 perkara anda perlu tahu sebelum belayar bersama Disney Adventure
1. Guna aplikasi untuk rancang jadual kegiatan
Aplikasi Disney Cruise Line Navigator memaparkan jadual aktiviti harian, sesi bertemu karakter, tayangan filem serta menu makanan.
Tempahan untuk pengalaman tertentu juga dibuat melalui aplikasi ini, sementara jadual dan ketersediaan dikemas kini secara tetap.
Orang ramai disarankan agar membuka aplikasi untuk mendapatkan maklumat terkini dari masa ke semasa.
2. Urus niaga dibuat menggunakan matawang dolar Amerika Syarikat
Pembelian di atas kapal menggunakan dolar AS, manakala caj gratuity sebanyak 18 peratus dikenakan bagi perkhidmatan tertentu.
Jika bayaran dibuat ketika kapal berlabuh di Singapura, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) turut dikenakan.
3. Akses Wi-Fi tidak percuma
Jika anda ingin menggunakan Wi-Fi ketika di atas kapal, anda perlu membelinya.
Pakej internet bermula sekitar AS$26 sehari untuk pelayaran asas serta sekitar AS$42 sehari bagi pelan yang membolehkan penstriman.
4. Kebanyakan hidangan sudah termasuk dalam tambang pelayaran
Ini merangkumi bufet, kiosk snek dan restoran makan malam berkonsepkan rotational dining.
Selain itu, terdapat stesen minuman percuma yang menyediakan minuman ringan, air panas dan teh jenama TWG.
Namun, beberapa restoran premium serta minuman istimewa seperti di Bewitching Boba & Brews dikenakan bayaran tambahan.
5. Tiada restoran bersijil halal, tetapi hidangan halal boleh diminta
Para tetamu Muslim boleh meminta hidangan daging yang disahkan halal di restoran berkonsep hidang, yang disediakan di zon dapur yang dikhaskan semasa makan malam.
Ketika bufet sarapan dan makan tengah hari, pilihan makanan laut dan vegetarian tersedia.
Terdapat juga restoran khidmat segera - Cosmic Kebabs - yang menyajikan hidangan tanpa babi, lemak babi, atau alkohol. Ia beroperasi dengan dapur yang berasingan, namun ia tidak memiliki sijil halal rasmi.
Tetamu disarankan untuk menikmati hidangan mengikut keselesaan dan pertimbangan peribadi.
Sebagai alternatif, tetamu Muslim dibenarkan membawa makanan sendiri atau makanan sedia dimakan (RTE) ke atas kapal. Walau bagaimanapun, perlu dimaklumkan bahawa peralatan memasak elektronik seperti periuk nasi, ketuhar gelombang mikro, dan pembakar roti adalah dilarang sama sekali.
6. Kemudahan solat disediakan
Sejadah dan kompas kiblat boleh dipinjam daripada bahagian perkhidmatan tetamu, manakala bilik meditasi berhampiran spa boleh digunakan sebagai ruang solat sekiranya tetamu tidak sempat kembali ke kabin sewaktu melakukan kegiatan.
7. Perkhidmatan di atas kapal bersifat peribadi
Sepanjang pelayaran, tetamu akan dilayan oleh pasukan pelayan restoran dan kakitangan pengemasan yang sama.
Antara keistimewaan yang mencuit hati adalah tuala bilik yang dilipat menjadi bentuk haiwan atau watak Disney setiap malam.
Menariknya, bengkel khas membentuk tuala ini turut disediakan untuk tetamu di atas kapal.
8. Pelayaran mesra kanak-kanak
Pelbagai aktiviti disediakan khas untuk kanak-kanak, daripada bengkel mencipta slime bersama Stitch hinggalah sesi transformasi puteri di Bibbidi Bobbidi Boutique.
Selain itu, kelab istimewa disediakan untuk kanak-kanak, remaja dan tweens (usia 9 hingga 12 tahun), serta nurseri bayi, membolehkan ibu bapa menikmati masa berharga di atas kapal tanpa bimbang.

