Topik diikuti
Pergi ke BHkuAcara keluarga inklusif untuk individu pelbagai upaya
Acara keluarga inklusif untuk individu pelbagai upaya
Acara keluarga inklusif untuk individu pelbagai upaya
Kanak-kanak pelbagai keupayaan berpeluang berinteraksi dan bermain bersama di acara yang mengetengahkan keterangkuman, Summer Playground, di Enabling Village, pada 20 dan 21 Jun ini.
Acara mesra keluarga yang dianjurkan SG Enable bersama JangandFox Huglings itu bertujuan mewujudkan ruang pembelajaran, penerokaan deria dan permainan inklusif bagi individu pelbagai keupayaan untuk berinteraksi serta membina masyarakat prihatin dan saling menyokong.
Keluarga yang mempunyai anak kecil turut digalakkan berinteraksi dengan individu kurang upaya dan penjaga mereka bagi meningkatkan pemahaman tentang keterangkuman.
Lebih 30 kegiatan akan ditawarkan sepanjang acara itu, termasuk pengalaman deria, permainan interaktif, persembahan dan bengkel.
Antara bengkel yang ditawarkan ialah catur inklusif oleh Lion City Inclusive Chess; bengkel gendang taiko oleh Mangrove Learning; serta program kecergasan inklusif K-Fitness oleh Me2.
Turut ditawarkan ialah bengkel yoga inklusif, sesi teater interaktif dan cabaran keluarga yang memberi peluang kepada peserta memahami pelbagai bentuk ketidakupayaan melalui kegiatan berpasukan.
Selain itu, persembahan silap mata interaktif oleh Jackie Chionh, yang dikenali dengan persembahan menggunakan sebelah tangan, akan mengetengahkan mesej ketabahan dan daya tahan melalui pengalaman peribadinya.
Program muzik sepanjang hari oleh MS Academy serta demonstrasi renang oleh Little Splashes Aquatics, turut dijadualkan berlangsung.
Pada waktu malam, pengunjung boleh menyaksikan tayangan filem, The Greatest Showman dan IF, menerusi pengalaman pawagam senyap di ruang luar.
Selaras dengan tema keterangkuman dan pembinaan masyarakat, watak Huglings daripada JangandFox akan membimbing peserta melalui pelbagai zon kegiatan sambil menggalakkan amalan baik seperti mengajak orang lain bermain bersama, menghulurkan bantuan dan menunjukkan rasa empati.
Kanak-kanak digalak mengamalkan tiga tindakan mudah sepanjang acara, iaitu bertanya, “Bolehkah saya bermain bersama?”, mengajak orang lain menyertai kegiatan dan menawarkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai kegiatan terbuka seperti menghasilkan kraf tanah liat, litar kertas dan pembuatan patung menggunakan bahan kitar semula.
Kanak-kanak dan keluarga pula boleh menikmati istana belon, permainan bola keranjang mini dan stesen bertih jagung yang disediakan sepanjang acara.
Acara Summer Playground di Enabling Village diadakan sebagai sebahagian daripada Pesta Keluarga Nasional 2026.
Dapatkan maklumat lanjut di pautan, https://bh.sg/summerplayground
Tarikh: 20 dan 21 Jun
Masa: 10 pagi hingga 6 petang
Lokasi: Enabling Village di 20 Lengkok Bahru
