Topik diikuti
Pergi ke BHkuKanak-kanak mungkin belajar buli daripada ancaman, kritikan dewasa
Kanak-kanak mungkin belajar buli daripada ancaman, kritikan dewasa
Kanak-kanak mungkin belajar buli daripada ancaman, kritikan dewasa
Kanak-kanak pada umumnya pernah mendengar ancaman daripada orang sekeliling.
“Buat apa yang saya cakap, kalau tidak, awak tidak dijemput ke pesta hari jadi saya!”
“Saya tidak akan jadi pasangan awak dalam projek ini kalau awak tidak beri saya makanan awak!”
Ancaman seperti itu merupakan taktik yang digunakan oleh ramai kanak-kanak usia sekolah untuk menyelesaikan konflik.
Ibu bapa dan guru kadangkala menganggap ancaman yang biasa berlaku itu pada asasnya tidak memudaratkan.
Lagipun, adakah ia begitu berbeza daripada komen yang mungkin didengar oleh kanak-kanak daripada orang dewasa dalam kehidupan mereka?
Ugutan, “Kalau Ayah tidak hantar kamu ke sekolah tepat pada waktunya, Ibu akan marah dia!”.
Ia tidak begitu berbeza dengan ungkapan, “Jika awak tidak beri saya mainan itu, awak bukan lagi kawan baik saya!”
Versi orang dewasa dan versi kanak-kanak kededuanya merupakan tanda tingkah laku buli.
Kesan buruk buli
Membuli dikaitkan dengan kesan buruk bukan sahaja kepada kanak-kanak yang dibuli, malah kepada pembuli itu sendiri, yang berisiko lebih tinggi berbanding rakan sebaya mereka untuk mengalami kemurungan apabila meningkat remaja.
Remaja yang membuli juga lebih cenderung terlibat dalam tingkah laku agresif dan melanggar peraturan, mengalami masalah penyalahgunaan bahan, serta berkawan dengan remaja lain yang mempunyai kecenderungan yang sama.
Berita baiknya ialah ibu bapa boleh mengubah cara mereka mengendalikan konflik mereka sendiri bagi menunjukkan kepada anak-anak cara menggunakan kaedah lebih sihat dan positif untuk berinteraksi dengan orang lain.
Suruh orang lain ikut kata mereka
Merentasi pelbagai budaya, tanpa mengira sifat, kebanyakan kanak-kanak bertindak dengan dua matlamat utama iaitu mendapatkan atau melakukan perkara yang mereka mahu dan mengelakkan perkara yang mereka tidak mahu.
Kanak-kanak mahukan perkara seperti pelukan dan kasih sayang, pujian, mainan yang menarik, makanan yang sedap dan snek.
Mereka mahu bermain, berseronok dan meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.
Sebaliknya, mereka tidak mahu melakukan perkara yang kelihatan meletihkan, menimbulkan tekanan, menakutkan atau membosankan, seperti mengemas, melakukan kerja rumah, bersiap untuk tidur atau menyiapkan kerja sekolah yang sukar atau membosankan.
Cuba anda fikirkan tentang cara yang boleh digunakan untuk membuat seseorang melakukan sesuatu yang tidak diingini, terutama jika anda mempunyai kuasa terhadap mereka.
Anda boleh menggunakan cara positif seperti galakan secara langsung, insentif dan pujian.
Sesetengah kaedah, seperti meminta dengan sopan serta mengucapkan terima kasih setiap kali, lebih berkesan daripada yang lain seperti membebel atau merayu.
Kanak-kanak belajar taktik yang berkesan dan boleh diterima dengan memerhatikan bagaimana orang dewasa, yang mempunyai kuasa ke atas mereka, menggunakannya.
Pada satu tahap ekstrem, menyaksikan tingkah laku agresif antara ibu bapa meningkatkan risiko kanak-kanak menunjukkan tahap agresif dan keganasan yang lebih tinggi dalam hubungan sosial mereka sendiri.
Kajian terkenal ahli psikologi Stanford, mendiang Albert Bandura, pada 1961, yang dikenali sebagai ‘Kajian Patung Bobo’, mendapati kanak-kanak prasekolah yang melihat seorang dewasa memukul dan menendang patung kembung (inflatable) bersaiz manusia lebih cenderung bertindak agresif terhadap patung tersebut apabila berasa kecewa.
Dalam penyelidikan saya sendiri, saya menumpukan perhatian kepada kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan rumah tangga antara ibu bapa seawal usia bayi.
Apabila dewasa, kanak-kanak ini lebih berkemungkinan menjadi mangsa dan juga pelaku keganasan dalam hubungan romantik mereka.
Seseorang itu khususnya lebih cenderung bersikap ganas apabila dewasa jika mereka terdedah kepada keganasan rumah tangga ketika usia prasekolah berbanding ketika usia kanak-kanak yang lebih lanjut.
Ia menunjukkan bahawa zaman awal kanak-kanak merupakan tempoh amat penting bagi ibu bapa menunjukkan contoh penyelesaian konflik yang sihat.
Ramai orang tidak kerap menggunakan kekerasan fizikal terhadap satu sama lain atau terhadap anak-anak mereka untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan.
Oleh itu, kanak-kanak juga memberi perhatian kepada bagaimana taktik yang lebih halus seperti manipulasi, ancaman dan pengasingan berfungsi.
Jika kanak-kanak sentiasa mendengar, “Jika kamu tidak buat ini, kamu akan kehilangan itu, atau saya akan lakukan ini kepada kamu,” mereka belajar bahawa ancaman boleh diterima dan berkesan untuk membuat orang lain akur.
Bagaimana pula dengan tingkah laku yang lebih halus, seperti ibu bapa saling mengkritik atau tidak bertegur sapa?
Jika kanak-kanak mendengar orang dewasa menyalahkan atau merendahkan nilai diri orang lain, contohnya, “Ibu sangat tidak teratur, dia tidak pandai menguruskan dirinya sendiri!” atau “Ayah sangat malas, ibu sentiasa perlu membersihkan rumah”, mereka lebih cenderung menggunakan strategi serupa untuk memperoleh dominasi sosial.
Bagi kanak-kanak, ini menjadi, “Awak tidak boleh bermain dengan kami kerana pakaian awak hodoh” atau “Awak tidak cukup bijak untuk menjadi pasangan saya”.
Kanak-kanak boleh mengenal pasti kelemahan satu sama lain dan belajar mengeksploitasinya untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.
Bagi kanak-kanak lebih besar dan memerhatikan seorang ibu bapa tidak bertegur sapa dengan pasangannya, memulaukan, atau mengabaikan seseorang kini boleh dilihat sebagai strategi yang berguna.
Tunjukkan contoh kebaikan
Tetapi bagaimana pula sebaliknya?
Jika ibu bapa yang menunjukkan tingkah laku agresif atau tidak menghormati orang lain memberi kesan buruk kepada anak-anak, adakah ibu bapa yang menunjukkan rasa hormat, kebaikan dan belas kasihan memberi manfaat?
Jawapannya ialah ya.
Ibu bapa yang membuat permintaan secara hormat antara satu sama lain, mengucapkan terima kasih dan memberi pujian, serta bekerjasama sebagai satu pasukan menunjukkan strategi sosial yang sihat kepada anak-anak mereka, dan corak ini memberikan manfaat jangka panjang.
Dengan kemahiran positif, kanak-kanak bukan sahaja kurang cenderung membuli orang lain untuk mendapatkan apa yang mereka mahu, malah lebih berupaya mengenal pasti, dan menolak, perbuatan buli terhadap diri mereka sendiri.
Sebagai contoh, jika ibu lebih sabar dan empati, manakala ayah lebih tegas dan mampu berpegang pada peraturan, ibu bapa boleh bekerjasama sebagai satu pasukan dan memanfaatkan kekuatan masing-masing.
Ini mungkin bermakna ibu menguruskan rutin pagi dengan galakan yang mesra dan jelas, manakala ayah bertanggungjawab memastikan rutin waktu tidur dipatuhi.
Kemudian, satu unsur penting untuk memastikan perkara itu disedari oleh anak-anak ialah kededua ibu bapa memuji kekuatan satu sama lain di hadapan mereka.
Seorang berkata, “Terima kasih kepada ibu kerana memastikan kita keluar rumah tepat pada waktunya!”
Seorang lagi berkata, “Syukurlah ayah membantu memastikan kita sentiasa teratur!”
Sikap hormat yang halus tetapi jelas membawa kesan yang besar.
Ia juga menunjukkan cara memanfaatkan hubungan dengan orang lain untuk mencapai kepentingan sendiri, tetapi dengan cara positif dan sihat.
Kanak-kanak yang biasa menggunakan kebaikan dan rasa hormat untuk mendapatkan apa yang mereka mahu biasanya tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku tidak baik, kejam atau manipulatif daripada pembuli.
Kebaikan menjadi sebahagian daripada diri mereka, dan ia memberi mereka kekuatan untuk menjauhkan diri daripada pembuli.
Kanak-kanak memerhatikan orang dewasa untuk mendapatkan petunjuk tentang cara bertindak.
Ibu bapa mempunyai kuasa dalam menentukan apa yang dilakukan oleh anak-anak dan bagaimana ia dilakukan, tetapi mereka juga mempunyai kuasa untuk menunjukkan kepada anak-anak cara melayan satu sama lain dan cara melakukan perkara yang sukar sambil tetap berasa baik mengenainya.
Kuncinya ialah menunjukkan kebaikan, kerjasama dan rasa syukur untuk menyelesaikan sesuatu dengan baik, dan melakukannya sepanjang kehidupan anak anda, sebaik-baiknya seawal mungkin dalam perkembangan mereka.
Penulis, Angela J. Narayan, ialah Profesor Madya Psikologi di Universiti Denver. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.
“
“Kanak-kanak yang biasa menggunakan kebaikan dan rasa hormat untuk mendapatkan apa yang mereka mahu biasanya tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku tidak baik, kejam atau manipulatif daripada pembuli.”