Reruai Berita Harian (BH) di Raikan Ilmu@Heartlands 2026 di Our Tampines Hub (OTH), yang berlangsung pada 13 dan 14 Jun, menampilkan pelbagai kegiatan interaktif yang menggabungkan unsur bahasa, teknologi dan kewartawanan.

Antara tumpuan pengunjung merupakan sesi vodcast secara langsung yang diadakan pada 13 dan 14 Jun, mulai 11 pagi di reruai tersebut.

Dikendalikan oleh koresponden dan pengendali ruangan, Dunia Anak (DNA), Cik Nur Dhuha Esoof, sesi itu mengetengahkan perbincangan berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan harian.

Pada 13 Jun, beliau menampilkan seorang ibu, Cik Maryam Dzinnira, yang berkongsi pengalaman membesarkan anak dengan bantuan AI.

Pada 14 Jun pula, sesi tersebut menampilkan sasterawan dan mantan guru, Cikgu Karmin Abbas, yang menghasilkan aplikasi AI bagi membantu pelajar menguasai bahasa Melayu.

Pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan rakaman secara langsung, malah turut berpeluang berinteraksi dengan hos dan tetamu yang diundang.

Di sekitar reruai, suasana turut dihidupkan dengan kegiatan bahasa yang santai.

Pengunjung mencuba teka silang kata yang diterbitkan dalam akhbar harian BH, dengan peluang menebus hadiah khas setelah melengkapkannya.

Kuiz terjemahan juga disediakan untuk menguji keupayaan peserta menterjemah perkataan dan frasa dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Pelajar juga berpeluang meneroka kandungan menarik serta kegiatan amali menerusi akhbar Gen G dan Cilik Cerdik, termasuk kegiatan teka-teki perkataan, kraf tangan dan melukis.

Gen G merupakan akhbar khas BH untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, manakala Cilik Cerdik merupakan majalah untuk kanak-kanak prasekolah.

Reruai tersebut turut membuka ruang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan wartawan BH, sekali gus memberi gambaran tentang proses penghasilan berita serta peranan bilik berita dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Dalam masa yang sama, pengunjung juga diperkenalkan kepada saluran Telegram dan WhatsApp BH sebagai antara wadah untuk mengikuti perkembangan berita terkini.

Dalam usaha memperkenalkan pembaharuan, BH turut menampilkan edisi kompak akhbarnya yang baharu.

Pengunjung berpeluang meneliti format tersebut yang lebih padat dan mudah dibawa, dengan kandungan yang disusun agar lebih ringkas serta mudah dihadam.

Selari dengan perkembangan digital, beberapa ciri baru di wadah BH turut diperkenalkan, termasuk fungsi rumusan artikel, terjemahan serta teks-ke-ucapan (text-to-speech) yang membolehkan artikel didengar dalam bentuk audio.

Raikan Ilmu@Heartlands 2026, anjuran Yayasan Mendaki, akan diteruskan di beberapa lokasi kejiranan lain dari Julai hingga Oktober.

Dengan lebih 100 kegiatan yang dirancang bersama rakan masyarakat dan korporat, acara itu bertujuan memperluas akses kepada pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat.

Sekilas lokasi dan tarikh sambutan Raikan Ilmu@Heartlands 2026:

– 18 dan 19 Julai: Jurong

– 25 dan 26 Julai: Pasir Ris

– 15 dan 16 Julai: Jalan Kayu

– 23 Ogos: Kampong Gelam

– 30 Ogos: Toa Payoh

– 5 dan 6 September: Nee Soon

– 12 dan 13 September: Geylang

– 19 dan 20 September: Woodlands

– 26 dan 27 September: Marsiling

– 3 dan 4 Oktober: Punggol.