SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Zaqy: Mendaki akan tingkat sokongan bantu pelajar ITE lanjut pendidikan

Zaqy: Mendaki akan tingkat sokongan bantu pelajar ITE lanjut pendidikan

Lebih banyak sokongan kewangan, program dirancang; Mendaki akan kukuhkan kerjasama dengan rakan kongsi agar tiada pelajar ketinggalan
Apr 12, 2026 | 6:32 PM

Zaqy: Mendaki akan tingkat sokongan bantu pelajar ITE lanjut pendidikan

Zaqy, Mendaki, sokong pelajar ITE, biasiswa
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kanan), bersama kakitangan dan sukarelawan Yayasan Mendaki semasa majlis penghargaan sukarelawan pada 12 April yang menghimpunkan lebih 900 tetamu sempena sambutan Hari Raya di Dusit Thani Laguna Singapore. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Badan bantu diri, Yayasan Mendaki, akan meningkatkan sokongan kepada pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) bagi memastikan mereka dapat menamatkan pengajian dan melanjutkan ke peringkat seterusnya.

Pengerusi Mendaki yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, berkata langkah itu termasuk memperluas skim biasiswa serta bantuan kewangan.

Ini agar cabaran kewangan tidak menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan mereka, tambahnya semasa berucap di majlis penghargaan sukarelawan pada 12 April sempena sambutan Hari Raya di Dusit Thani Laguna Singapore.

“Kami merancang untuk menyediakan lebih banyak sokongan kewangan dan program bagi pelajar ITE, supaya kesusahan tidak sekali-kali menghalang mereka daripada menamatkan pengajian.

“Bagi mereka yang bersedia melangkah ke peringkat seterusnya ke politeknik, kami akan menyediakan lebih banyak biasiswa dan skim sokongan bagi membantu mereka terus maju,” kata beliau kepada lebih 600 tetamu yang hadir, terrmasuk sukarelawan dan rakan kongsi.

Jelasnya, tumpuan terhadap pelajar ITE adalah penting memandangkan sebahagian daripada mereka berdepan cabaran tambahan, termasuk perlu mengimbangi pelajaran dengan pekerjaan gig atau tanggungjawab di rumah.

Keadaan ini, katanya, boleh menjadikan usaha untuk meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi sebagai sesuatu yang mencabar.

“Kami mahu menyokong pelajar ITE dengan lebih baik agar mereka menamatkan pengajian serta membantu mereka beralih ke kelayakan diploma di mana mungkin.

“Sebahagian daripada mereka mengimbangi kerja gig, manakala ada juga yang berdepan kesukaran di rumah. Peralihan itu boleh terasa di luar jangkauan bagi pelajar yang sudah pun terbeban,” ujarnya.

Sokongan ini disalurkan menerusi sekitar 30 skim dermasiswa dan biasiswa yang ditawarkan oleh Mendaki.

Jumlah tersebut dijangka berkembang sebanyak 25 peratus setiap tahun, sejajar dengan pelan kerja lima tahun yang diumumkan pada Januari 2026 di mana antaranya ingin melahirkan pelajar yang yakin serta membangunkan masyarakat yang berkembang maju.

Sokongan seperti ini berlatarbelakangkan pencapaian masyarakat Melayu/Islam dari 2000 hingga 2020, di mana lebih dua kali ganda belia Melayu kini memperoleh kelayakan pascamenengah atau lebih tinggi.

Jumlah graduan universiti dalam masyarakat itu juga meningkat lima kali ganda, kata beliau.

Keadaan itu cukup berbeza berbanding realiti sekitar empat dekad lalu, di mana masyarakat Melayu/Islam berdepan cabaran apabila ramai pelajar tidak menamatkan pendidikan asas, dengan sebahagian tercicir sebelum menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ atau ‘A’.

“Masyarakat kami telah mencapai kemajuan yang kukuh. Namun, usaha ini tidak terhenti di sini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata yang Mendaki akan memperkukuh kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi mewujudkan rangka sokongan yang lebih menyeluruh, demi membantu pelajar mengekalkan momentum pembelajaran dan memastikan tiada yang tercicir.

Ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan MENDAKI sejak penubuhannya pada 1982, yang berteraskan kepercayaan bahawa pendidikan merupakan laluan paling pasti ke arah kehidupan yang lebih baik, ujar beliau.

Sambil melahirkan penghargaannya, beliau menegaskan bahawa kemajuan tersebut tidak berlaku dengan sendirinya, sebaliknya hasil dedikasi berterusan sukarelawan yang tampil menyumbang.

“Inilah semangat gotong-royong dalam masyarakat moden. Bab seterusnya milik kita semua di sini, setiap sukarelawan dan rakan kongsi yang hadir hari ini. Andalah sebab mengapa usaha ini berjaya,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg