Sekitar 2013, hujung minggu saya dipenuhi dengan undangan pelbagai kelab peminat artis dari Malaysia yang ingin saya hadiri sesi ramah mesra bintang berkenaan dengan peminat di Singapura.
Ketika itu, minat pencinta dunia hiburan setempat terhadap drama puluhan episod dari seberang Tambak memang ‘menggila’.
Cik Asliani Abdul Ghani adalah antara peminat setia pelakon seperti Aeril Zafrel, Amar Baharin dan Amyra Rosli, yang mula-mula menghubungi saya.
Menurutnya yang ketika itu berusia 26 tahun, pada awalnya, minat beliau tertumpu pada penyanyi Barat, Avril Lavigne, dan bintang Indonesia, Agnes Monica, dari jauh.
Bagaimanapun, apabila menonton drama Malaysia, Cinta Jannah, yang dilakonkan Aeril Zafrel, beliau tergerak untuk menjejak hero tersebut menerusi pengurusnya dan menubuhkan kelab peminat rasmi, Aeril Zafrel Geng SG, pada Oktober 2013.
Sejak Cik Asliani menganjurkan acara artis di bermacam lokasi dari Restoran Mamanda di Taman Warisan Melayu hinggalah ke beberapa hotel terkemuka.
Maka timbul pula keghairahan dalam kalangan pengikut drama lain untuk mengadakan pertemuan kelab peminat yang kian bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun, trend mengadakan majlis pertemuan mesra peminat dengan bintang kegemaran mereka itu terhenti ketika wabak Covid-19 melanda.
Selepas itu, keadaannya sunyi sepi hinggalah pada 15 Februari apabila seorang lagi pencinta drama, Encik Halil Nasil, dari syarikat Z.H. Creatives Management, tampil membawa tiga pelakon muda yang namanya kian meningkat, Erysha Emyra, Meerqeen dan Nadhir Nasar di Casa Bayu, lokasi acara majlis kahwin yang terletak di Upper Serangoon Shopping Centre.
Beliau menganjurkan acara itu bersama syarikat pengurusan artis dari Malaysia, Laugh Out Loud Entertainment Malaysia.
Dalam hati saya berkata-kata: “Apakah zaman di mana kelab peminat artis kembali aktif anjur acara besar-besaran ini kembali rancak lagi selepas sekian lama?”
Encik Halil, 41 tahun, memberitahu saya: “Selepas lama menyepi, saya dan rakan-rakan rasa masanya sampai untuk kita adakan acara pertemuan peminat dengan dramatis bagi menceriakan orang ramai.
“Kalau saya boleh buat rakan yang berkongsi minat menonton drama gembira dengan mendekatkan diri mereka secara ‘empat mata’ dengan artis kegemaran, mengapa tidak?
“Selepas Covid-19, kegiatan untuk peminat drama sudah berkurangan.
“Bagi saya, perlu untuk kita usahakan acara yang boleh memberi dramatis ini sendiri beramah mesra dengan peminat Singapura.”
Sebelum ini, Encik Halil yang kebiasaannya membawa artis Malaysia datang ke Singapura untuk pesta dagangan seperti Celebfest, pernah mengadakan beberapa acara pertemuan dengan pelakon, Saharul Ridzwan, Fazura, Fattah Amin dan Siti Saleha.
Saya sifatkan kewujudan kelab peminat yang aktif itu penting sebagai sebahagian daripada ekosistem yang mampu memajukan kerjaya seorang artis.
Tanpa peminat pun, artis juga tidak boleh mencapai kejayaan yang dicita-citakan.
Lebih-lebih lagi kalau si artis mempunyai perniagaan yang memerlukan sokongan.
Yang membeli pun biasanya peminat tegar yang sanggup berhabisan untuk produk seperti tudung, busana, kuih-muih ataupun aksesori.
Saya kira pergerakan kelab peminat artis di Malaysia dan Singapura ini cukup menggalakkan.
Ia berbeza dengan kelab peminat di negara Barat, yang hanya membuka akaun media sosial untuk artis kegemaran mereka.
Misalnya, kelab peminat Beyonce yang menggelar diri mereka, Beyhive, mempunyai 319 juta pengikut di Instagram, 57 juta pengikut di Facebook, 15.3 juta pengikut di platform X dan 5.4 juta pengikut di TikTok, lapor akhbar Houston Chronicle di Texas, Amerika Syarikat.
Mungkin ada yang tanya mengapa berhabisan untuk artis kegemaran?
Tapi bagi Cik Asliani dan Encik Halil, nyala rasa yang dimiliki pada dunia hiburan melebihi segalanya.
Cik Asliani akan mencari ruang bagi artis yang digemari dari Malaysia untuk mengembangkan sayap penglibatan seni ke Singapura.
Beliau dan beberapa rakan dan syarikat setempat juga pernah menaja majlis perkahwinan Amar Baharin dan Amyra Rosli di Singapura pada 2016.
Encik Halil pula menyifatkan usahanya menganjurkan acara artis untuk peminat adalah sebagai satu hadiah buat mereka yang mengikuti perkembangan drama dari seberang, selain juga peluang mengusahakan bisnes kecil-kecilan bagi kemajuan syarikatnya.
Yang saya teruja tengok adalah semangat setiakawan dan kekeluargaan yang dibina Kelab Peminat Khai Bahar dan Kelab Peminat Zarul Umbrella.
Kalau saya berkunjung ke pesta dagangan di Singapura, di mana pelakon dan penyanyi, Zarul, meniaga, saya akan lihat beberapa peminatnya dari negara ini yang turut bergotong-royong menjual produknya di reruai beliau.
Apa-apa pun, kalau ia ke arah kebaikan, mengapa tidak?
Asal sahaja ukhuwah itu dijaga dan tidak menimbulkan perselisihan faham antara artis dengan peminat ataupun sesama anggota kelab peminat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg