Walaupun ibunya merupakan pelakon, penyanyi dan usahawan yang dikenali, Datin Seri Noniswara Baharudin, jelitawan dari seberang, Nur Erysha Emyra Zakaria, tidak pernah mengimpikan untuk mengikuti jejak langkah bonda tercinta.
Bidang lakonan bukan pilihan pertama kerana beliau lebih senang meniti tangga korporat dan menjalankan kerja-kerja pentadbiran atau perakaunan.
Tambahan pula, setiap kali berada di set penggambaran drama yang dijayakan ibunya, Erysha, kini 25 tahun, akan rasa rimas menunggu dan bimbang kalau dirinya dipelawa sekali secara ‘bidan terjun’ untuk berlakon sama.
Bagaimanapun, segala rasa resah itu hanya wujud ketika model dan personaliti media sosial ini berada di bangku sekolah rendah dan menengah.
Sejak 2022, tanpa dirancang, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk bergelar pelakon seperti ibunya kerana mula jatuh hati dengan dunia seni yang membuatnya lebih peka dengan isu sosial sekeliling yang menjadi buah mulut orang dan topik sembang seharian.
Ini dikongsi Erysha dengan Berita Minggu (BM) ketika menghadiri sesi beramah-tamah dengan peminat yang dianjurkan bersama Laugh Out Loud Entertainment Malaysia dan Z.H Creatives Management di Casa Bayu, lokasi acara majlis kahwin yang terletak di Upper Serangoon Shopping Centre, pada 15 Februari lalu.
Bersama dua lagi Hero Malaya alaf baru, Nadhir Nasar dan Meerqeen, Erysha teruja menemui peminatnya dari Singapura yang juga ceria untuk bergambar dan bersembang dengannya.
Acara itu turut mendapat sokongan Casa Bayu, Jalindo, Reliable Transport & Logistics Services Soulitaire Productions, Yatzcollezione dan DM Transporters.
Menceritakan lebih lanjut tentang perjalanan seninya, Erysha, anak kedua dalam tiga beradik, berkata:
“Saya sebenarnya tak rancang kerjaya berlakon. Abang saya yang lebih suka kalau diajak jadi anak ibu di set penggambaran. Dia bersungguh-sungguh tetapi saya pula yang akhirnya bergelar pelakon profesional.
“Saya awalnya sangka saya akan bekerja di pejabat dan membina kerjaya korporat sebab semasa di set penggambaran untuk menemani ibu, saya terasa bosan menunggu lama.
“Tak minat pun berlakon tetapi asyik terjebak jadi pelakon tambahan kalau pihak penerbitan tiba-tiba nakkan pelakon tambahan, khususnya untuk jadi anak ibu.”
Bagaimanapun, segalanya bertukar apabila beliau membintangi drama Perempuan Itu, arahan Ain Sharif dan dijayakan pelakon utama, Mimi Lana dan Zul Ariffin.
Erysha membawa watak pembantu bernama Wardah.
“Entahlah, masa tu, selepas berlakon, saya suka pula dengan peluang meneroka secara mendalam watak yang saya bawa. Saya pun suka suasana kekeluargaan di set dengan pelakon lain suka berkongsi.
“Ibu saya pun lebih teruja apabila dapat tahu saya mula menanam minat untuk berlakon sepertinya. Dia cakap, jangan tolak peluang dan rezeki.
“Jadi, saya pun harungi segalanya dengan harapan saya dapat menghiburkan lebih ramai orang menerusi drama yang saya lakonkan,” katanya.
Erysha kemudian mencipta nama dalam beberapa drama lain yang menjadi tontonan ramai seperti Chinta Wrong Direction, Dara & The Gang, Aku Bukan Ustazah dan Kelas Tahanan Cikgu Hiragi.
Apabila namanya mula dikenali, rezekinya juga bertambah dengan kemenangan Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36) dalam kategori Artis Baru Wanita Popular pada 2024.
“Sebenarnya, saya terharu dengan pengiktirafan ini walaupun saya tahu perjalanan saya masih baru dan panjang lagi.
“Masih banyak yang perlu saya usahakan bagi memperbaiki dan menaiktarafkan kesenian dan kemahiran lakonan saya.
“Alhamdulillah, atas keyakinan pihak penerbitan, anugerah tersebut membuka jalan dan pintu rezeki saya agar berpeluang meneroka lebih banyak lagi watak menarik dalam drama.
“Kalau saya dapat menghiburkan ramai dan menyentuh jiwa ramai menerusi lakonan saya, pastinya itu juga menggembirakan saya,” kongsinya.
Erysha menganggap drama Aku Bukan Ustazah adalah yang banyak membuka mindanya dan memberinya pengalaman baru dalam dunia lakonan.
“Watak Aminah ni menarik sebab ia memberi saya peringatan tentang lumrah manusia yang tahap keimanannya diuji dan turun naik.
“Drama ini mengisahkan tentang Aminah yang dididik dengan pegangan agama yang utuh dan memakai purdah tetapi pada suatu ketika, dia menanggalkan purdah itu untuk memakai tudung pendek pula.
“Watak ini memberi iktibar buat saya renung keadaan sekeliling. Kita manusia biasa, pastinya tidak lari daripada ujian sebegini,” sambungnya.
Kerana drama itu, Erysha turut mendapat sambutan menggalakkan di Thailand, di mana ada sahaja peminat drama tersebut yang mengenalinya apabila beliau singgah di kedai makanan dan barang dandanan atau berada di hotel.
“Saya tak sangka sampai jauh di Thailand watak saya itu ‘merantau’ dan dikenali. Ingat orang tidak kenal saya apabila bersemuka. Rupanya mereka tahu siapa saya sampaikan pekerja hotel di lobi pun tegur dan kata, dia meminati lakonan saya,” kongsinya.
Kini, Erysha sedang menjalani penggambaran drama susulan musim kedua Aku Bukan Ustazah, iaitu Aku Bukan Ustazah 2.
Apakah yang boleh kita jangka daripada evolusi watak Aminah ini?
Katanya tanpa mendedahkan terlalu banyak mengenai jalan cerita drama tersebut: “Saya harap penonton dapat menerima lanjutan drama ini sebab yang saya pasti, orang akan menyampah dan marah dengannya pula.”
Sejauh mana Erysha kuat menangani badai dunia hiburan dengan kecaman netizen yang mudah ‘singgah’ kepada artis masakini, dengan wajah tenang, beliau berkata:
“Awalnya, memang saya tak rasakan tempias dunia media sosial. Tapi biasalah, lama-kelamaan akan ada juga isu yang diutarakan netizen.
“Cuma apa yang saya boleh kata, Alhamdulillah, baik-baik sahaja. Insya-Allah, saya kuat dan tabah menanganinya sebab sudah bersedia secara mental bagi cabaran dunia hiburan.
“Tentunya kita perlu tahu apakah hala tuju kita dan belajar daripada yang tahu mengenai bidang lakonan ini. Ibu memang tak pernah kata apa-apa mengenai dunia hiburan.
“Saya pun tak pernah memandang mana-mana pelakon sebagai inspirasi sebab dahulu memang tak minat nak jadi pelakon.
“Saya belajar hari demi hari dengan niat tulus ingin memperbaiki diri saya dalam bidang lakonan dan belajar lebih banyak lagi mengenainya,” jelasnya yang teringin membawa watak mencabar dalam drama atau filem aksi kembara seperti Jurassic Park.
Menurutnya, keinginan bagi membawa watak jahat juga ada meskipun akui sebagai pelakon berhijab, watak antagonis jarang-jarang diserahkan kepadanya.
“Tapi dalam dunia sekarang pun, tak semua yang jahat itu dapat dilihat dari mata kasar. Mungkin ada watak antagonis yang orang tak sangka wujud dalam seseorang, meskipun dia berhijab, seperti di alam nyata,” jelasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg