Sejak dinobatkan sebagai juara peraduan pencarian bakat dan peragaan, Hero Remaja 2020, nama Nadhir Nasar kian menjadi sebutan terutama dalam kalangan kaum Hawa, baik yang muda ataupun lebih berusia.
Nadhir, atau nama sebenarnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 28 tahun, mula berkecimpung dalam bidang lakonan melalui drama, Cerita Hantu Asrama (2019) dan Tercipta Satu Ikatan (2020).
Nama beliau kemudian mencanak naik menerusi drama, Projek: Anchor SPM (2021), i-Tanggang: Mother of All Lies (2021) dan Projek: High Council (2023).
Bagi pelakon asal Perak itu, drama Projek: Anchor SPM, akan sentiasa bertakhta di hatinya.
Bukan sahaja watak Hilmi yang dibawakan Nadhir terasa dekat di jiwa, bahkan drama tersebut juga menjadi batu loncatannya dalam bidang lakonan, menjadikannya wira idaman dalam kalangan peminat.
Di samping itu, sesetengah peminatnya juga mungkin belum tahu bahawa pelakon tampan itu juga gigih mengarah.
Itulah antara perkara yang sempat Nadhir kongsi dalam pertemuan bersama Berita Harian (BH) pada 15 Februari, di Casa Bayu, lokasi acara majlis perkahwinan yang terletak di Upper Serangoon Shopping Centre.
Beliau bersama dua lagi pelakon Malaysia, Meerqeen dan Erysha Emyra, mendarat di Kota Singa bagi satu sesi beramah-tamah dengan peminat yang dianjurkan bersama Laugh Out Loud Entertainment Malaysia dan Z.H Creatives Management.
Acara itu turut mendapat sokongan Casa Bayu, Jalindo, Reliable Transport & Logistics Services Soulitaire Productions, Yatzcollezione dan DM Transporters.
Sejauh ini, Nadhir, selaku siswazah dalam bidang komunikasi massa (penyiaran) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengarah beberapa filem pendek dan video muzik dari 2022 hingga 2024.
Ini termasuk video muzik lagu hip-hop, Malampagi, yang dipersembahkan Saixse dan MK K-Clique pada 2023.
Pada 2024, Nadhir mengarah iklan jenama busana Melayu, Bulan Bintang, terbitan Paradice Pictures dan menampilkan pelakon Syukri Yahya, Mierul Aiman, Qasrina Karim dan Fiza Thomas.
Dalam pada itu, video muzik bagi lagu, My Home Is In Your Arms, dendangan Daiyan Trisha turut dimuatkan dalam senarai karya arahannya.
Video muzik lagu bertema cinta dan perasaan romantis itu ditonton 757,697 kali di laman YouTube.
Dalam sembang petang itu, Nadhir menjelaskan:
“Sebenarnya, sebelum menceburi bidang lakonan, saya sudah lama meminati bidang pengarahan.
“Sebelum ini, saya mengambil diploma dalam jurusan komunikasi massa dan kemudian mendalami bidang penyiaran ketika berada di UiTM.
“Memang niat saya ketika itu untuk menjadi seorang pengarah filem. Namun, rezeki saya kini pula lebih pada berada di depan kamera.
“Saya rasa untuk setakat ini, boleh sahaja kalau nak melakukan kededuanya secara serentak. Tetapi, saya akan lebih fokus kepada bidang lakonan kerana lebih banyak permintaan untuk saya berlakon.”
Ditanya tentang filem pendek arahannya yang memberi kesan mendalam, Nadhir berkongsi tentang filem pertamanya, Villa Rosly, yang diarahkan pada 2022.
Filem terbitan Paradice Pictures itu telah disenaraikan antara 10 terbaik daripada 93 filem yang menyertai acara BMW Shorties 2022.
BMW Shorties yang diusahakan BMW Group Malaysia merupakan satu daya usaha bagi menyediakan wadah kepada pengarah filem baru sekali gus pencipta kandungan mengembangkan bakat mereka dalam bidang pengarahan.
Filem pendek, Villa Rosly, lakonan Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Shazabae dan Mia Sara, meneroka tema kesepian yang menghantui jiwa.
Tempat penginapan, Villa Rosly, digambarkan sebagai satu-satunya tempat yang mampu menghadirkan kebahagiaan yang sempurna.
Meskipun telah membintangi beberapa drama dan filem termasuk kisah perjuangan, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sebagai ‘Tahir’, Nadhir akur belum bersedia membawa watak utama dalam dunia perfileman.
Sebagaimana jelasnya: “Saya belum bersedia membawa watak utama dalam filem kerana saya rasa, ilmu yang saya miliki belum cukup lagi.”
Namun, anak bongsu tiga beradik itu turut bercita-cita membawakan sebuah filem biopik yang meneroka kisah dan perjalanan hidup biduan ikonik, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
“Sudirman adalah salah seorang idola yang sangat saya hormati. Perjalanan beliau sebagai seorang seniman bukan sahaja menyentuh jiwa saya, bahkan juga dekat di hati seluruh rakyat Malaysia,” ceritanya.
Bagi projek terbarunya, Nadhir membintangi filem, Magik Rompak, yang mengisahkan seorang ahli silap mata terkenal yang mengumpulkan sekumpulan individu untuk melakukan rompakan berani demi mencuri permata yang sangat berharga.
Selain Nadhir, barisan pelakon seperti Sharnaaz Ahmad, Zul Ariffin, Fabian Loo dan Amelia Henderson turut menjayakan filem tersebut.
Filem arahan Adrian Teh itu dijadualkan ditayangkan pada pertengahan 2025.
Nadhir juga akan mengadakan sesi temu mesra bersama peminatnya yang digelar, Lucky Fighters, di Singapura pada April ini.
“
Sudirman adalah salah seorang idola yang sangat saya hormati. Perjalanan beliau sebagai seorang seniman bukan sahaja menyentuh jiwa saya, bahkan juga dekat di hati seluruh rakyat Malaysia.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg