Kalau anda buka aplikasi media sosial seperti TikTok dan Instagram, pasti video ulasan makanan atau mengenai tempat makan baru menjadi antara video yang mendapat sambutan.
Dengan kemunculan pempengaruh dan pencipta kandungan yang memberi tumpuan pada topik tentang makanan tumbuh bak cendawan, masih ada ruang lagikah bagi pendatang baru untuk menempa nama?
Mengakui bahawa industri tersebut semakin sengit persaingannya, pencipta kandungan Malaysia, Mohd Sufian Abdullah atau lebih dikenali sebagi Pian daripada Padu Beb Studios berasa bahawa ‘muka baru’ boleh menyerlah jika mereka mempunyai keunikan sendiri dan tidak bergantung pada trend.
“Memang saya melihat adanya ‘muka baru’ yang belum ada ramai pengikut membuat video ulasan makanan hampir setiap hari saya membuka TikTok.
“Namun saya rasa mereka semua ada satu persamaan di mana mereka hanya mempromosikan gerai atau makanan itu tanpa ada kandungan yang mendalam. Dalam 10 individu, hanya satu atau dua ada keunikan tersendiri,” kongsi Pian kepada Berita Harian (BH).
Beliau turut berpendapat bahawa pencipta kandungan baru harus meluangkan lebih banyak masa membuat kajian menyeluruh dan memberi tumpuan pada idea menarik yang boleh membuat netizen tertarik untuk menekan butang ‘subscribe’ (langgan) atau menjadi pengikut.
“Bagi saya, video lebih panjang seperti ‘vlog’ di mana saya berbual sambil meneroka tempat makan tersebut menjadi antara kegemaran pengikut saya,” kongsinya.
Berbeza bagi jurufoto dan pencipta kandungan makanan di Singapura, Shamsydar Ani, yang berasa terdapat pelbagai cabang boleh diteroka oleh pencipta kandungan baru dalam tema makanan sahaja.
“Saya tidak fikir ia bidang yang sudah sarat kerana dalam tema memasak sahaja terdapat pelbagai aspek yang boleh diteroka seperti membuat kuih, merancang perbelanjaan makanan, membeli produk baru di pasar raya dan banyak lagi,” kongsinya yang juga finalis bagi pertandingan memasak, Masterchef Singapore (Musim Pertama), di televisyen.
Shamsydar turut berpendapat pencipta kandungan harus bersifat terbuka untuk mempelajari pelbagai kemahiran baru.
Beliau yang bermula dengan hanya mengongsikan gambar makanan yang dimasak kini beralih kepada menghasilkan video memasak juga.
“Pada mulanya, saya ingin membayar penyunting video untuk membantu saya menghasilkan video.
“Namun harganya tidak berbaloi dan saya sedar saya harus meningkatkan kemahiran menyunting dan merakam video saya dengan menyertai kursus dengan menggunakan kredit SkillsFuture saya,” tambahnya yang memastikan video dihasilkan kini kelihatan profesional.
Dengan media sosial digunakan oleh berbilang generasi, pencipta kandungan dilihat memain peranan penting dalam menyampaikan sesuatu pesanan kepada pengguna dan penonton.
Memberi pendapatnya, pakar pemasaran media sosial, Nurul Iffah Hamad, berkongsi bahawa kandungan yang dihasilkan oleh pencipta kandungan seringkali dapat memikat hati pengguna dengan cara mereka tersendiri.
“Dengan keadaan di mana daripada golongan pesara sehingga kanak-kanak kini menggunakan media sosial, kita tidak boleh menafikan bahawa lebih ramai kini memilih untuk menonton video dan kandungan gaya hidup menerusi wadah tersebut,” kongsinya.
Beliau juga bekerjasama rapat dengan pencipta kandungan untuk memasarkan sesuatu jenama atau produk.
Bagi Pian, beliau menggalakkan mereka yang ingin berkecimpung dalam bidang tersebut supaya memulakannya sebagai satu hobi atau kerja sampingan.
Ini untuk memastikan individu tersebut masih ada sumber pendapatan lain jika tidak berjaya menjadikannya sebagai kerjaya.
Namun kededua, Shamsydar dan Pian turut bersetuju bahawa sifat percaya pada diri sendiri dan semangat tekad merupakan antara fakor penting untuk bertahan dalam industri tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg