Bayangkan betapa terujanya penyanyi dan penulis lirik terkenal dunia, Adele, apabila idolanya, Celine Dion, datang menyaksikan konsertnya di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 26 Oktober.
Sambil berkongsi fotonya bersama Dion di akaun X pada 29 Oktober, Adele, atau nama sebenarnya, Adele Laurie Blue Adkins, 36 tahun, menulis:
“Saya telah membuat persembahan di ruang yang dikhususkan buat Celine Dion di Teater Colosseum di hotel kasino Caesars Palace selama dua tahun lamanya.
“Lagi empat minggu lagi (sebelum saya beredar meninggalkan tempat ini). Ia adalah satu-satunya lokasi di Las Vegas yang ingin saya kunjungi dan bikin konsert di sini sebab Teater Colosseum di Las Vegas ini memang dibangunkan khusus untuk Celine Dion.”
Foto yang dimuatnaikkan Adele pula penuh dengan emosi dan menunjukkan Dion, 56 tahun, memegang pipi pelantun lagu Hello itu sambil kededuanya menangis.
Teater Colosseum itu adalah lokasi yang dibangunkan bagi persembahan harian Dion mulai 2003.
“Saya mempunyai foto Celine bersebelahan pentas yang saya sentuh setiap malam sebelum saya membuat persembahan.
“Tak sangka beliau hadir hujung minggu lalu (26 Oktober). Ia satu kejutan yang saya tak akan dapat lupakan.
“Celine, saya sangat cintakan awak. Kata-kata sahaja tidak akan dapat merakam perasaan saya yang sebenar dan bagaimana awak bermakna dalam mendorong saya dalam bidang seni.
“Apabila awak hadir untuk menonton saya dan apabila awak kembali ke teater ini bersama keluarga awak, saya terlalu bersyukur,” ujar Adele dengan penuh kekaguman.
Adele bakal menamatkan kontrak dua tahunnya menyanyi di Las Vegas sebagai penghibur tetap Teater Colloseum pada 23 November.
Beliau memberitahu media dalam persembahan di Munich, Jerman, pada September bahawa dirinya ingin berehat daripada muzik untuk tempoh masa yang lama menyusuli tamatnya kontrak di Teater Colloseum.
Dion pula kembali menyanyi pada acara perasmian Sukan Olimpik Paris pada Julai 2024, setelah sekian lama berehat kerana masalah kekejangan otot yang dialami menjejas mutu vokalnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg