Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belajar main piano bina disiplin, kebingkasan dalam diri kanak-kanak

Bantu pelajar tingkat keyakinan diri, fahami emosi selain kemahiran muzik
Aug 21, 2025 | 5:30 AM
ashley feroz, piano, international music and performing arts festival online 2025, Platinum
Ashley Feroz sering ke luar negara untuk pertandingan dan paling terkini ialah di ‘International Music and Performing Arts Festival Online 2025’ di mana dia mendapat anugerah Platinum. - Foto FARIZAH FAWZY

Sedang ramai kanak-kanak seusia belajar mengimbangi masa antara tugasan sekolah, kegiatan kokurikulum (CCA), masa rehat dan masa bersama keluarga setiap hari, Eliza Sophia Mohammad Matin, 9 tahun dan Ashley Feroz, 10 tahun, mempunyai tanggungjawab tambahan iaitu latihan bermain piano.

Bukan sesuatu yang mudah untuk lakukan semua itu dalam masa 24 jam tetapi ia sudah menjadi kebiasaan bagi kededuanya.

Kededuanya sudah mula ke kelas piano secara formal sejak berusia enam tahun dan kini mereka menghadiri kelas piano di NJ Studio, yang terletak di Joo Chiat.

“Saya katakan kepada Eliza bahawa untuk menjadi pemain piano yang cemerlang, dia perlu berlatih main piano sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari selepas mengulang kaji pelajarannya,” kata ibu Eliza, Cik Este’ehara Rosli, 38 tahun, yang bertugas sebagai ketua perkongsian strategik dan ekosistem.

Eliza Sophia Mohammad Matin (tengah) bersama ibu bapanya, Cik Este’ehara Rosli (kiri) dan Mohammad Matin Mohdari semasa mereka di ‘APCS Classical Festival’ di Jakarta pada 2024. Eliza berjaya merangkul anugerah perak di festival itu.
Eliza Sophia Mohammad Matin (tengah) bersama ibu bapanya, Cik Este’ehara Rosli (kiri) dan Mohammad Matin Mohdari semasa mereka di ‘APCS Classical Festival’ di Jakarta pada 2024. Eliza berjaya merangkul anugerah perak di festival itu. - Foto ihsan ESTE’EHARA ROSLI 

Begitu juga dengan Ashley, yang bersekolah di CHIJ Our Lady Queen of Peace.

Ibunya, Cik Farizah Fawzy, 42 tahun, turut menekankan rutin yang konsisten dalam jadual harian anaknya.

“Ashley juga minat bermain gitar. Di sekolah, gitar merupakan CCA-nya.

“Dua kali seminggu, dia akan berlatih main gitar dan kemudian sekali seminggu ke kelas piano.

“Di rumah, dia akan berlatih main piano selepas setiap tugasan.

“Misalnya, selepas makan, dia akan main di pianonya sebentar, selepas habis kerja sekolah, dia akan pergi ke pianonya lagi untuk berlatih.

“Saya okey asalkan dia berlatih piano 15 hingga 30 minit setiap hari secara konsisten.

“Ini penting supaya Ashley tidak lupa apa yang dipelajarinya.

“Meskipun begitu, pelajaran akademiknya tetap menjadi keutamaan Ashley,” ujar Cik Farizah, yang memegang jawatan sebagai pengarah operasi di syarikat swasta.

Namun, untuk mendedikasikan waktu pergi ke kelas piano dan berlatih di rumah bukan sesuatu yang mudah.

Selain disiplin, ia memerlukan hati dan semangat yang kuat untuk terus maju ke hadapan.

Cik Este’ehara berkata Eliza, anak sulung dua beradik dan murid Sekolah Haig Girls’, pernah bersuara bahawa dia ingin berhenti daripada kelas pianonya.

“Dia sudah mula berasa bosan kerana bekas guru pianonya dahulu (di sekolah muzik yang lama), memberinya perkara yang sama berulang kali dan dia merasakan seperti dia tidak belajar sesuatu yang baru.”

Nabillah Jalal, pemilik NJ Studios dan guru piano kepada Eliza serta Ashley berkongsi sering kali murid berasa ingin menyerah kalah terutama sekali apabila mereka sudah sampai ke tahap belajar main piano menggunakan kedua-dua tangan serentak.

“Ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan murid apabila perlu bermain menggunakan kededua tangan secara serentak.

“Ramai murid mula berputus asa apabila sampai ke tahap itu.

“Apa yang saya lakukan, saya akan pecahkan skor muzik kepada beberapa bahagian.

“Jadi apabila murid dapat berjaya mainkan satu atau dua bahagian sahaja, saya akan beri pujian dan ini meniupkan semangat mereka untuk teruskan.

“Tidak perlu main daripada mula hingga akhir.

“Itulah cara saya memberi mereka motivasi dan membina keyakinan dalam diri pelajar saya,” kata Nabillah yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam bidang muzik.

Bercakap mengenai keyakinan diri, Cik Este’ehara berkongsi menghadiri kelas piano di NJ Studio banyak membuka pintu kepada anaknya untuk mengikuti pertandingan di dalam dan luar negara.

“Nabillah banyak membawa pelajarnya bertanding di dalam dan luar negara, seperti ke Jakarta untuk ‘APCS Classical Festival 2024’,” ujar Cik Este’ehara.

Di APCS Classical Festival itu, kededua Eliza dan Ashley mendapat anugerah perak.

Penglibatan dalam menyertai pertandingan dan persembahan di hadapan penonton yang ramai banyak mengajar Eliza untuk mengatasi rasa gugup.

“Anak saya dahulu pemalu orangnya.

“Jadi saya lihat pendedahan sebegini mengajarnya satu kemahiran yang penting untuk dia aplikasikan misalnya, semasa pembentangan di sekolah atau di tempat kerja kelak,” kata Cik Este’ehara.

Ashley Feroz (kanan) bergambar bersama ibu bapanya, Encik Feroz Akbar (kiri) dan Cik Farizah Fawzy.
Ashley Feroz (kanan) bergambar bersama ibu bapanya, Encik Feroz Akbar (kiri) dan Cik Farizah Fawzy. - Foto ihsan FARIZAH FAWZY

Cik Farizah turut bersetuju bahawa semua pendedahan ini membina keyakinan diri dan menjadikan Ashley, yang merupakan anak tunggal, seorang yang suka berkawan serta periang.

“Ashley seorang yang suka melibatkan diri dalam perbincangan.

“Dia tidak suka buat tugasan sekolah seorang diri.

“Kalau saya belikannya buku latihan, saya perlu beli dua buku yang sama. Satu untuk dia buat dan satu lagi untuk saya buat.

“Kami akan duduk bersebelahan dan buat latihan di dalam buku itu.

“Selepas itu kami akan berbincang bersama soalan yang ada,” cerita Cik Farizah.

Cik Este’ehara turut menambah:

“Keyakinan yang ada dalam diri Eliza membuatnya tidak takut untuk mencuba benda baru.

“Contohnya baru-baru ini, Nabillah memberi peluang kepada Eliza untuk menyanyi dalam satu persembahan, sesuatu yang dia tidak pernah lakukan.

“Selain itu, dia juga tidak gentar untuk menyuarakan perasaannya dalam apa jua situasi.”

Nabillah berkata antara pendekatan yang digunakan untuk mengajar piano adalah menerusi naratif penceritaan.

Beliau akan menggunakan wadah video sebagai bahan pengajaran dan akan bertanya kepada pelajarnya perasaan mereka contohnya apabila mendengar latar muzik yang dimainkan.

“Saya mahu pelajar menjadi ekspresif dengan emosi mereka.

“Bukan sekadar sedih, gembira, takut tetapi saya mahu mereka lebih spesifik dalam memberikan jawapan.

“Misalnya, ‘oh apabila saya mendengar melodi ini, ia membuatkan saya bahagia, sayu, gelisah’...” terang Nabillah.

Beliau berharap menerusi pendekatan sebegini membuatkan para pelajarnya dapat melahirkan sesuatu maksud perasaan dengan jelas dan merangsang daya kreatif mereka.

Dalam pada itu, kekerapan bermain piano dapat mengukuhkan perkembangan kemahiran motor halus dalam kanak-kanak.

Setiap kali jari-jemari kecil si anak menekan papan nada piano, ia menguatkan otot-otot di tangan.

Ia turut memperhalus koordinasi mata dan tangan atau ‘hand-eye coordination’.

Apabila seseorang itu bermain piano, ia melibatkan koordinasi otak, tangan dengan mata.

Semasa memainkan melodi, tangan harus bergerak cepat untuk menekan kekunci di papan nada sambil mata berselang-seli membaca nota di skor dan melihat papan nada.

Sel di otak juga pada masa yang sama cuba menghubungkan antara kekunci yang ditekan dengan nota.

Kedua-dua ini (koordinasi mata dan tangan serta otot tangan) amat diperlukan apabila kanak-kanak mula menulis.

Otot-otot tangan yang kuat dapat memberi tekanan yang betul apabila menulis dengan pensel.

Koordinasi mata dan tangan yang mantap pula dapat memudahkan kanak-kanak membuat latihan menyalin di dalam kelas.

Mengimbas kembali, Cik Farizah menceritakan bagaimana Ashley semasa kecil, menunjukkan kemampuan menulis dengan rapi dan jelas dengan pengawalan tangan yang baik sedang kanak-kanak sebayanya masih menghadapi kerumitan memegang pensel dengan betul.

“Baru-baru ini, Ashley, saya dan suami bermain permainan menaip MonkeyType di komputer dan saya tidak menyangka Ashley mampu menewaskan kami berdua.

Kata ibunya, Ashley mampu menaip dengan kelajuan 70 perkataan seminit dan ini dianggap mengagumkan kerana kanak-kanak seusia Ashley selalunya dapat menaip pada purata sekitar 15 hingga 30 perkataan seminit.

“Ashley gemar kegiatan ‘hands on’ seperti membuat kraf,” kongsi Cik Farizah, menunjukkan sisi daya kreatif anaknya itu.

“Dia pandai mereka ‘blind bag’ dan akan cuba ‘jual’ kepada rakan-rakannya, Cik Farizah ketawa apabila teringat kepolosan anaknya.

Tambah Cik Farizah, ini mungkin sebagai permulaan jalan ke arah keusahawanan kerana Ashley menyimpan impian untuk membuka kafe apabila sudah dewasa kelak.

“Ashley suka berbual mengenai hal yang berkaitan perniagaan.

“Dia mengimpikan untuk membuka sebuah kafe di mana ada permainan dan pengunjung boleh menikmati sajian yang dihidangkan sambil menghayati muzik yang dimainkan,” kata Cik Farizah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg