Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki, tidak dapat menahan sebak ketika bertemu semula dengan pelakon, Que Haidar, selepas lebih sedekad tidak bertegur sapa.
Afdlin, atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan, 53 tahun, berkata pertemuan tersebut membangkitkan semula kerinduan mendalam terhadap rakan seperjuangannya itu, apatah lagi mengenangkan bakat besar dimiliki Que.
“Lama tak berbual dengan Que. Sebab ada kejadian yang sekarang ini kita boleh lupakan.
“Rindu nak kerja dengan Que sebab abang percaya dia adalah antara pelakon lelaki terbaik di Malaysia. Sangat versatil dan sangat dinamik,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Tambah pelakon filem Papadom itu lagi, perasaan sebak bertambah kuat kerana menyedari betapa ruginya mereka membiarkan jarak bertahun-tahun tanpa sebarang komunikasi.
Meskipun begitu, beliau bersyukur kerana mereka kini sudah berlapang dada dan melupakan perselisihan lama, sekali gus membuka lembaran baru dalam persahabatan, lapor Kosmo!
“Perjumpaan hari itu di rumah Imilya bukan kali pertama tapi sebak di dada tak dapat dibendung kerana rasa macam ruginya kita tidak berbual selama sedekad lebih.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen turut tersentuh dengan saat penuh emosi itu.
“Saya menangis tengok video ini. Persahabatan sebenar akan tetap kembali walau sejauh mana terpisah,” kata seorang netizen.
“Sebak sangat tengok abang Afdlin dan Que. Harap lepas ini ada projek filem sama-sama,” komen seorang lagi.
“Dua-dua legenda. Semoga terus kekal bersahabat dan berkarya untuk industri seni kita,” tulis seorang pengguna TikTok.
Bagaimanapun, Afdlin tidak memperincikan kejadian sebenar yang menyebabkan mereka berdua renggang lebih sedekad.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg