Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Afdlin Shauki anggap ‘politik kotor’, terpalit kontroversi salah laku projek DBKL

Mar 18, 2025 | 1:48 PM
Pengarah dan pelakon Malaysia, Datuk Afdlin Shauki mendakwa dirinya terkait dengan kontroversi itu mungkin disebabkan ada pihak tidak berpuas hati dengannya.
Pengarah dan pelakon Malaysia, Datuk Afdlin Shauki mendakwa dirinya terkait dengan kontroversi itu mungkin disebabkan ada pihak tidak berpuas hati dengannya. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki, menganggap dakwaan dirinya terheret dalam kontroversi salah laku perolehan projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai RM4 juta ($1.2 juta) baru-baru ini disebabkan permainan ‘kotor’ politik.

Datuk Afdlin yang juga anggota lembaga penasihat DBKL mendakwa dirinya terkait dengan kontroversi itu mungkin disebabkan ada pihak tidak berpuas hati dengannya.

“Bagi saya, dakwaan itu (kontroversi salah laku projek DBKL) bermotifkan politik. Dunia politik memang sangat kotor.

“Sebagai orang yang berada dalam politik, kita kena pastikan kelompok kita kecil. Apabila besar sangat, akan ada (pihak) yang tidak puas hati.

“Mungkin juga dakwaan ini timbul kerana ada yang iri hati atau tidak puas hati,” dakwanya pada sidang media program Raya Astro 2025 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian Malaysia.

Menyusuli dakwaan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dengan meneliti dokumen yang dikemukakan untuk siasatan dalaman DBKL.

Pada Februari lalu, media Malaysia melaporkan SPRM berkata tiada elemen jenayah berhubung dakwaan salah laku yang didakwa membabitkan Datuk Afdlin itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilapor berkata dapatan itu adalah hasil semakan terhadap dokumen yang dibekalkan DBKL pada 7 Februari, berhubung pelaksanaan projek penerbitan kandungan dan siaran studio serta konti radio DBKL membabitkan nilai RM4 juta.

Mengulas dakwaan konon mempunyai ‘kabel’ kuat dalam kerajaan, Datuk Afdlin berkata, sejak awal lagi, ‘kabel’ yang dimiliki hanyalah berdoa kepada Allah swt.

Datuk Afdlin mendakwa mengambil pendekatan melakukan siasatan sendiri dengan DBKL untuk memastikan kesahihan dakwaan terbabit. Hasil siasatan sendiri, dakwanya, jawapan diterima daripada setiap pihak adalah sama di mana beliau mengikut tata kelola betul.

“Saya juga sudah bersedia untuk memberi kenyataan kepada SPRM. Tetapi, tahu-tahu, selepas solat di Masjid Negara, Tan Sri Azam (SPRM) umumkan saya tiada kaitan dengan kes itu,” dakwanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg