Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Afdlin Shauki: Kemenangan saya simbol suara ahli parti

Apr 21, 2025 | 4:24 PM
Datuk Afdlin (kiri) menyifatkan Nik Nazmi sebagai tokoh reformasi berwibawa, berintegriti dan sumbangannya tidak akan dilupakan warga Cabang Setiawangsa.
Datuk Afdlin (kiri) menyifatkan Nik Nazmi sebagai tokoh reformasi berwibawa, berintegriti dan sumbangannya tidak akan dilupakan warga Cabang Setiawangsa. - Foto BH ONLINE

KUALA LUMPUR: “Kemenangan ini membuktikan bahawa fitnah dan tohmahan yang cuba dilemparkan kepada saya, khususnya isu dikaitkan dengan projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menggugat kepercayaan ahli.

“Saya yakin ahli lebih bijak menilai dan mereka memilih keikhlasan serta rekod khidmat, bukan persepsi murahan,” demikian kata pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki, yang berjaya memenangi kerusi Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa dalam pemilihan parti yang berlangsung pada 19 April.

Datuk Afdlin, 54 tahun, menyifatkan kemenangannya cabang parti di Setiawangsa itu sebagai amanah.

Menerusi kenyataan dalam media sosial, Datuk Afdlin melahirkan perasaan keinsafan dan kesyukuran dengan kemenangannya.

“Saya menerima keputusan rasmi Pemilihan Cabang PKR Setiawangsa 2025 menyaksikan saya diberikan mandat sebagai Ketua Cabang.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi usaha dan iltizam jentera kempen seiring semangat satu pasukan yang percaya dengan objektif iaitu agenda memantapkan PKR.

“Kemenangan ini adalah amanah besar, bukan sekadar satu kejayaan peribadi, tetapi simbol suara ahli yang mahu melihat nafas baru dalam kepimpinan, selain mahukan politik menyentuh hati dan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pemilihan dilakukan menyaksikan Datuk Afdlin memperoleh 631 undi berbanding 563 undi yang diperoleh penyandang jawatan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Kemenangan ini bukan untuk diraikan dengan sorak gembira, tetapi untuk direnung sebagai titik mula perjuangan lebih besar.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Yang Berhormat, Nik Nazmi atas segala jasa dan khidmat baktinya kepada Cabang Setiawangsa selama ini.

“Beliau (Nik Nazmi) adalah tokoh reformasi yang berwibawa dan berintegriti dan sumbangannya tidak akan dilupakan oleh warga cabang ini,” katanya.

Datuk Afdlin juga menjemput semua penyokong Nik Nazmi untuk bersama memperkasakan Cabang Setiawangsa.

“Perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi, tetapi selepas tamatnya pemilihan tinggal hanyalah satu matlamat iaitu membina kekuatan parti dan berbakti kepada ahli serta masyarakat.

“Lebih penting, saya menyeru kepada semua ahli cabang agar menguatkan barisan, bekerjasama dan bersedia membantu Nik Nazmi sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa dalam melaksanakan agenda reformasi di peringkat nasional.

“Cabang Setiawangsa akan memberikan sokongan penuh kepada segala inisiatif beliau yang seiring dengan matlamat dan perjuangan PKR. Kita bukan sahaja menyokong dari belakang, tetapi akan menjadi tulang belakang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg