Topik diikuti
Pergi ke BHkuAhli farmasi boleh beri nasihat urus demam, batuk, sakit tekak anak
Ahli farmasi boleh beri nasihat urus demam, batuk, sakit tekak anak
Ibu bapa perlu beri perhatian kepada gejala dialami si kecil
Ahli farmasi boleh beri nasihat urus demam, batuk, sakit tekak anak
Apabila kanak-kanak kembali ke sekolah, ibu bapa sering mendapati anak mereka lebih kerap mengalami batuk, sakit tekak dan demam.
Persekitaran sekolah dan pusat jagaan sememangnya menyebabkan kanak-kanak berada dalam hubungan rapat antara satu sama lain melalui bilik darjah, kemudahan yang dikongsi bersama dan kegiatan kokurikulum.
Ia sekali gus memudahkan penularan virus pernafasan seperti influenza dan selesema biasa.
Secara amnya, kebanyakan kanak-kanak pulih dengan rehat, pengambilan cecair yang mencukupi dan pengurusan gejala.
Namun, ibu bapa perlu memberi perhatian kepada bagaimana gejala berkembang atau menjadi semakin teruk dalam tempoh beberapa hari berikutnya.
Tanda awal sakit tekak, batuk atau demam bukan sakit selesema biasa
Sebagai contoh, gejala seperti demam tinggi (melebihi 38.5°C), atau demam berterusan melebihi dua hingga tiga hari, kesukaran bernafas, mengantuk secara luar biasa, muntah berterusan atau pengambilan cecair yang tidak mencukupi merupakan tanda amaran yang memerlukan perhatian perubatan.
Ibu bapa juga perlu lebih berhati-hati terutama jika anak mereka masih sangat kecil (di bawah usia dua tahun) atau mempunyai keadaan perubatan sedia ada seperti semput, kerana mereka mungkin lebih terdedah kepada komplikasi.
Perkara penting adalah usah panik dan perhatikan gejala yang anak alami.
Jika ibu bapa tidak pasti sama ada penyakit anak mereka masih boleh diuruskan di rumah, mendapatkan nasihat lebih awal boleh memberikan ketenangan fikiran dan membantu mengelakkan kelewatan dalam mendapatkan rawatan yang sesuai.
Dapatkan nasihat ahli farmasi atau berjumpa doktor?
Banyak penyakit pernafasan dalam kalangan kanak-kanak bermula dengan gejala ringan seperti hidung berair, sakit tekak atau demam ringan.
Dalam keadaan sedemikian, ibu bapa boleh memantau keadaan anak mereka di rumah, menggalakkan rehat yang mencukupi, memastikan mereka minum air dengan cukup dan menggunakan ubat yang sesuai untuk melegakan gejala jika diperlukan.
Ahli farmasi boleh menjadi sumber rujukan pertama yang berharga, khususnya apabila ibu bapa tidak pasti ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi yang sesuai dengan usia dan gejala anak mereka, atau jika mereka memerlukan nasihat tentang cara menguruskan demam, batuk atau sakit tekak dengan selamat.
Kami juga boleh menasihati ibu bapa tentang gejala yang perlu dipantau dan bila penilaian perubatan lanjut mungkin diperlukan.
Namun, ibu bapa perlu membawa anak mereka berjumpa doktor jika gejala semakin teruk; jika demam kekal tinggi atau berpanjangan; jika anak mengalami kesukaran bernafas, menjadi terlalu lesu atau tidak dapat minum cecair secukupnya; atau jika tidak menunjukkan tanda pemulihan selepas beberapa hari.
Bagaimana ahli farmasi boleh membantu?
Pertama sekali, ahli farmasi merupakan antara karyawan penjagaan kesihatan yang paling mudah diakses ibu bapa.
Perkhidmatan farmasi disediakan di lebih separuh daripada lebih 115 cawangan Guardian di seluruh Singapura, sekali gus memudahkan keluarga mendapatkan nasihat penjagaan kesihatan yang dipercayai berhampiran tempat tinggal mereka.
Ibu bapa boleh berunding dengan ahli farmasi untuk menilai keadaan anak berdasarkan gejala yang ditunjukkan.
Kami boleh mengesyorkan rawatan tanpa preskripsi yang sesuai dan membimbing ibu bapa memilih produk paling sesuai daripada pelbagai pilihan yang tersedia.
Ahli farmasi juga boleh menerangkan cara penggunaan ubat secara selamat dan sesuai, memberi nasihat berhubung langkah sokongan untuk menguruskannya di rumah, serta mengenal pasti tanda amaran yang memerlukan pemeriksaan doktor.
Urus gejala ringan dengan selamat di rumah?
Sama seperti ibu bapa membuat persediaan beg sekolah sebelum permulaan penggal baru, adalah wajar juga untuk menyediakan kit penjagaan kesihatan asas di rumah sebelum musim selesema memuncak dan menyediakan keperluan bagi penyakit biasa yang sering dialami kanak-kanak.
Kit yang disediakan dengan baik seharusnya mengandungi ubat-ubatan asas untuk penyakit ringan (contohnya demam, batuk, selesema dan influenza), larutan rehidrasi oral, tisu, cecair pembasmi kuman, jangka suhu dan pelitup muka jika perlu.
Ibu bapa juga perlu memastikan semua ubat masih dalam tempoh sah penggunaannya serta memahami tujuan setiap produk dan cara penggunaannya.
Selain ubat-ubatan, adalah penting untuk menggalakkan kanak-kanak meminum banyak cecair, mendapatkan rehat yang mencukupi dan duduk di rumah apabila tidak sihat.
Ini bukan sahaja membantu proses pemulihan, malah mengurangkan risiko penularan jangkitan pernafasan kepada rakan sekelas dan guru mereka.
Peranan vaksinasi, suplemen, kebersihan dan rawatan semasa musim selesema
Vaksinasi influenza tahunan kekal sebagai salah satu cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan influenza dan komplikasi yang serius.
Di Singapura, vaksinasi influenza disyorkan bagi kumpulan yang lebih terdedah, termasuk bayi dan kanak-kanak kecil (berusia enam bulan ke atas), dan harus dianggap sebagai sebahagian penting daripada rutin penjagaan kesihatan tahunan sesebuah keluarga, bukan sesuatu yang hanya dipertimbangkan ketika berlaku wabak.
Vaksin influenza disyorkan diambil sekali atau dua kali setahun kerana virus yang beredar sentiasa berubah dan kekebalan terhadap jenis virus tertentu boleh berkurangan dari masa ke semasa.
Melalui penyertaan kami dalam Influenza Vaccination Sandbox Kementerian Kesihatan (MOH), pelanggan berusia 18 tahun ke atas boleh mendapatkan vaksin influenza di cawangan NEX kami di Serangoon, sekali gus memudahkan mereka memasukkan vaksinasi ke dalam rutin pencegahan influenza keluarga.
Selain vaksinasi, amalan harian yang mudah juga kekal amat berkesan.
Ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mencuci tangan dengan kerap, menutup mulut ketika batuk dan bersin, mengelakkan perkongsian botol minuman atau peralatan makan, mengekalkan tabiat tidur yang baik serta duduk di rumah apabila tidak sihat.
Ada juga yang memilih untuk mengambil suplemen bagi menyokong kesihatan umum dan meningkatkan imuniti.
Walaupun suplemen boleh melengkapi gaya hidup sihat secara keseluruhan, ia tidak seharusnya menggantikan vaksinasi influenza, pemakanan seimbang atau amalan kebersihan yang baik.
Penulis, Roman Lester Rosales, Ketua Farmasi, Guardian Singapura dan berpengalaman lebih sedekad sebagai ahli farmasi.
“
“Selain vaksinasi, amalan harian yang mudah juga kekal amat berkesan. Ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mencuci tangan dengan kerap, menutup mulut ketika batuk dan bersin, mengelakkan perkongsian botol minuman atau peralatan makan, mengekalkan tabiat tidur yang baik serta duduk di rumah apabila tidak sihat.”