Bagi banyak keluarga, waktu petang apabila ibu bapa baru pulang dari kerja dan anak-anak kembali dari sekolah merupakan masa yang sibuk.

Belum sempat melepaskan lelah, ibu bapa perlu menyediakan makan malam sambil menguruskan anak-anak yang mungkin sudah lapar selepas seharian berada di sekolah atau di pusat jagaan.

Bagi menjimatkan masa, sesetengah ibu bapa memilih untuk membuat pesanan makanan dalam talian, menggunakan khidmat makanan ‘tingkat’, atau menyediakan makanan mudah disediakan seperti piza sejuk beku dan mi segera.

Namun, ada juga ibu bapa yang berusaha memasak sendiri demi memastikan hidangan seimbang dan berkhasiat untuk anak-anak yang sedang membesar.

Bagi keluarga sedemikian, mereka didapati cenderung membuat perancangan dan persiapan awal, termasuk membekukan bahan mentah atau makanan yang sudah dimasak terlebih dahulu.

Cik Nurhayati Abdullah dan suami misalnya, memasak bubur dengan lobak atau brokoli dalam jumlah besar pada hujung minggu dan kemudian membekukan makanan itu dalam kuantiti kecil.

Setiap pagi sebelum keluar ke kerja, mereka akan mengeluarkan makanan itu dari ruang peti sejuk beku dan meletakkannya di ruang peti sejuk biasa untuk dinyahbekukan.

Makanan itu hanya perlu dipanaskan menggunakan kaedah kukus (double-boiling) sebelum dihidangkan kepada anak bongsu mereka, kata Cik Nurhayati yang mempunyai tiga anak berumur enam, tiga dan satu tahun.

Untuk sajian makan malam ahli keluarga lain, beliau dan suami, yang bekerja sepenuh masa, akan masak pada awal pagi sebelum ke tempat tugas, atau pada sebelah petang selepas selesai bekerja.

“Jika saya dan suami perlu ke pejabat pada hari itu, suami saya akan masak sekitar 6 pagi sebelum mengejut anak-anak untuk ke sekolah, dan sebelum beliau bersiap untuk ke kerja.

“Pada hari saya dapat bekerja dari rumah, saya akan masak selepas habis kerja sekitar 5 petang.

“Memang penat, tapi kami berasa puas hati kerana anak-anak dapat menikmati hidangan yang dimasak di rumah yang lebih sihat,” kata pengekod klinikal berumur 33 tahun itu.

Cik Nurhayati berkata beliau dan suami biasanya mengambil sekitar 30 minit untuk memasak buat seisi keluarga, namun ini dapat dilakukan kerana mereka membuat perancangan dan persediaan awal.

Antara cara mereka memudahkan tugas adalah dengan mempunyai menu yang sama setiap minggu terdiri daripada hidangan seperti sup ayam dan lauk lemak ayam.

Mereka juga menyediakan beberapa bahan terlebih dahulu, seperti mengisar dan kemudian membekukan bawang besar dan bawang putih.

Mereka juga menyediakan hidangan satu periuk yang menggabungkan daging dan sayur-sayuran sekali gus.

“Hidangan sebegitu tetap dapat membekalkan pelbagai nutrien yang diperlukan oleh keluarga.

“Cara ini tidak memerlukan masa dan tenaga untuk memasak dan mengemas yang banyak, dan boleh membantu kita agar tidak terlalu letih selepas seharian bekerja,” kata Cik Nurhayati.

Cik Nurhayati Abdullah (kanan), dan suaminya Encik Muhamad Nashrin Ayub, berusaha memasak dan menyediakan makanan seimbang untuk anak-anak mereka, Muhammad Aniq Hurayra (bertopi kuning), Muhammad Arfa Huzhayfah (bertopi merah) dan Nur Azzahra Humayra.
Cik Nurhayati Abdullah (kanan), dan suaminya Encik Muhamad Nashrin Ayub, berusaha memasak dan menyediakan makanan seimbang untuk anak-anak mereka, Muhammad Aniq Hurayra (bertopi kuning), Muhammad Arfa Huzhayfah (bertopi merah) dan Nur Azzahra Humayra. - Foto ihsan NURHAYATI ABDULLAH

Bagi seorang lagi ibu, Cik Siti Haryati Salani, beliau mempercepatkan proses memasak dengan menyediakan terlebih dahulu pes bawang besar dan bawang putih yang dikisar, pes halia dan bawang putih yang dikisar, dan pes pasta berasaskan tomato.

Beliau kemudian membekukan pes itu dalam kuantiti kecil menggunakan acuan kiub ais.

Apabila tiba masa untuk memasak, pes itu boleh digunakan dalam jumlah tertentu yang diperlukan, tanpa sebarang pembaziran.

Menurut ibu tiga anak berumur 11 tahun, sembilan tahun dan tujuh bulan itu, pes tersebut sebaik-baiknya digunakan dalam masa satu hingga tiga bulan bagi memastikan mutu yang terbaik.

Cik Siti Haryati juga menyediakan beberapa bahan lain lebih awal, seperti membersihkan dan memotong sayur-sayuran seperti lobak, brokoli dan kubis bunga, serta membahagi-bahagikan protein seperti ayam, ikan dan daging cencang kepada kuantiti yang lebih kecil.

Beliau turut memastikan sayur-sayuran sejuk beku seperti kacang pea, jagung manis, lobak, brokoli, kubis bunga dan bayam sentiasa ada di rumah.

“Sayur-sayuran ini berkhasiat, memerlukan penyediaan yang minimum dan membantu mengurangkan pembaziran makanan kerana saya hanya menggunakan jumlah yang diperlukan,” kata Cik Siti Haryati.

Bagi bayinya, beliau membeli hidangan siap dimakan yang disejuk beku, yang menurutnya mudah disediakan, berkhasiat dan membantu si kecil menikmati pelbagai makanan seimbang.

Penolong pengurus itu biasanya merancang makanan untuk dimasak pada hujung minggu.

Ia berdasarkan jadual keluarga pada minggu akan datang dan membeli serta menyediakan bahan yang diperlukan.

Ibunya akan mengurus kebanyakan tugas memasak pada hari biasa manakala Cik Siti Haryati akan memasak pada hujung minggu.

“Jika kami benar-benar keletihan, kami sekali-sekala memilih makanan mudah disediakan atau makanan segera.

“ Namun, kami akan cuba mendapatkan pilihan yang lebih sihat dan mengawal saiz hidangan agar tidak berlebihan.

“Paling penting, bagi saya ialah jangan berasa bersalah jika sekali-sekala kita bergantung pada makanan segera atau makanan mudah disediakan.

“Kesejahteraan mental ibu bapa juga penting, dan kita tidak seharusnya memberikan tekanan yang berlebihan kepada diri sendiri,” tambahnya.

Cik Siti Haryati Salani (tiga dari kanan), mempercepatkan proses memasak dengan menyediakan terlebih dahulu pes bahan mentah yang dikisar dan kemudian dibekukan. Keluarganya terdiri daripada suami (kanan) Encik Vanderbeek Mohd Nizam Ramli, ibu (bertudung) Cik Mariam Hamzah, dan tiga anak (dari kiri) Muhammad Rizqi, Muhammad Raeef Mateen dan Rizqah Inara.
Cik Siti Haryati Salani (tiga dari kanan), mempercepatkan proses memasak dengan menyediakan terlebih dahulu pes bahan mentah yang dikisar dan kemudian dibekukan. Keluarganya terdiri daripada suami (kanan) Encik Vanderbeek Mohd Nizam Ramli, ibu (bertudung) Cik Mariam Hamzah, dan tiga anak (dari kiri) Muhammad Rizqi, Muhammad Raeef Mateen dan Rizqah Inara. - Foto ihsan SITI HARYATI SALANI

Pengasas perniagaan makanan bayi yang dibekukan, Bitey Bitz, Cik Farah Ain Niza Mohd Tamren, 40 tahun, berkata ibu bapa sering mempunyai salah tanggapan tentang makanan beku iaitu ia kurang berkhasiat, mengandungi bahan pengawet dan diproses secara berlebihan.

“Sebenarnya, membeku sekadar kaedah memanjangkan hayat makanan itu.

“Apabila hidangan disediakan segar dan segera dibekukan, banyak nilai khasiat dan mutu hidangan itu dapat dikekalkan tanpa memerlukan bahan pengawet,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2017, perniagaan dari rumah itu telah melihat menunya berkembang daripada sekadar menawarkan makanan untuk bayi kepada turut menyediakan makanan untuk kanak-kanak kecil.

Pada masa sama, ibu dua anak itu berkata beberapa produk telah dihentikan, seperti stok yang ibu bapa boleh guna dalam masakan di rumah, kerana permintaan yang merosot.

“Walaupun kemudahan masih menjadi faktor penting, saya rasa ibu bapa hari ini mempunyai masa yang lebih terhad kerana perlu mengimbangi pelbagai tanggungjawab serentak.

“Oleh itu, kami menghentikan produk seperti stok masakan dan sos pasta, dan kini memberi tumpuan kepada produk yang lebih mudah dan cepat digunakan,” kata Cik Farah yang kini bertugas sebagai pensyarah setelah menyerahkan pengendalian perniagaannya itu kepada ibu saudaranya, Cik Hayati Osman.

Pengasas Anya Meals, Cik Nur Jannah Chan, pula berkata apabila perniagaan makanan bayi yang dibekukan itu bermula pada 2017, ramai pelanggannya terlalu bergantung kepada makanan beku semata-mata kerana mereka kurang pengetahuan tentang cara menyediakan hidangan yang seimbang untuk bayi mereka.

“Melalui galakan serta perkongsian panduan daripada kami, ramai pelanggan kini lebih gemar menggunakan air rebusan (broth) kami, yang diluluskan oleh pakar pemakanan bayi, untuk menyediakan hidangan yang cepat, berkhasiat dan lazat untuk anak-anak dan juga seisi keluarga,” kata Cik Nur Jannah.

Hidangan sup bihun ikan oleh Bitey Bitz ini boleh disimpan dalam peti sejuk selama tiga hari dan dalam peti sejuk beku selama dua bulan.
Hidangan sup bihun ikan oleh Bitey Bitz ini boleh disimpan dalam peti sejuk selama tiga hari dan dalam peti sejuk beku selama dua bulan. - Foto BITEY BITZ

Berkongsi bagaimana satu hidangan boleh disesuaikan untuk kanak-kanak dalam tiga peringkat umur, Cik Farah menyarankan menggunakan hidangan sup, seperti sup bihun ikan, sebagai asas.

Untuk bayi, sup itu boleh ditambah kepada bubur.

Untuk anak di peringkat prasekolah, hidangan sup bihun ikan itu boleh terus dinikmati seadanya.

Untuk anak di peringkat sekolah rendah, sup boleh digunakan sebagai asas dan tambahkan mi yang sudah dicelur, telur dan tauhu untuk hidangan yang lebih mengenyangkan.