Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Aidilfitri lebih bererti bagi Hady Mirza

May 03, 2023 | 05:30 AM



HARI Raya diraikan dengan penuh kesyukuran oleh juara Gegar Vaganza 6 (GV6) dan Asian Idol, Hady Mirza seisi keluarga sesudah ibunya mengharungi detik-detik mendebarkan berjuang dengan limfoma dan jangkitan paru-paru awal tahun ini.



Ibu yang menjadi pendorong semangatnya selama ini dari zaman Singapore Idol lagi, Cik Mardiana Ahmad, 60-an tahun, dirawat selama tiga minggu di Hospital Besar Singapura (SGH) kerana memerlukan bantuan oksigen ketika itu.



Detik itu memang sangat menekan buat Hady, 43 tahun, yang risaukan kesihatan ibunya dan turut memohon doa orang ramai di media sosial agar urusan ibunya dimudahkan.



Ketika ditemui Berita Harian (BH) di sidang media Konsert Luar Biasa di Hotel Royal Plaza On Scotts, Hady menjelaskan:



"Tiada apa yang saya minta pada Syawal yang mulia ini kecuali kesihatan ibu saya dan keakraban keluarga terjalin utuh untuk kita bersilaturahim dan sama-sama mendoakan kesihatan ibu saya.



"Keluarga lebih rapat selepas ibu sakit.



"Saya akui pada awal tahun ini, keadaan ibu memang membimbangkan. Tak sampai hati tengok beliau perlu dibantu pernafasannya dengan tiub dan dimasukkan ke unit jagaan rapi.



"Ibu sudah banyak memberikan pengorbanannya dan kasih sayangnya buat saya dan kakak. Dahulu memang kalau saya ke mana-mana untuk bertanding dan menyanyi, beliaulah pendorong utama.



"Dalam keadaannya yang semakin meningkat usia dan lemah kini, isteri saya pula mengambil-alih tugas menguruskan dan membantu saya dalam persembahan yang diadakan."



Menurutnya, Cik Mardiana dikesan menghidap limfoma pada 2020 dan menjalani rawatan kemoterapi.



Ibunya turut hadir memberikan Hady sokongan pada Konsert Luar Biasa di The Star Theatre pada Sabtu.



Konsert anjuran Offshore Entertainment dan 8 Track Entertainment itu memberi ruang buat Hady berkongsi pentas dengan dua penyanyi hebat Indonesia, Cakra Khan dan Andmesh Kamaleng serta sahabatnya dalam dunia hiburan Singapura, Taufik Batisah.



Bersama Andmesh, Hady juga menyanyi bersama bakat muda, Maya Raisha.



"Saya pernah nyanyikan lagu 'hit' Andmesh, Cinta Luar Biasa, di pentas GV6. Andmesh sendiri memberikan sokongannya buat saya mempertaruhkan lagu itu di pentas GV6.



"Saya menganggap peluang berkongsi pentas dengan mereka semua sebagai menyeronokkan. Semuanya profesional dan urusan kami berjalan lancar," jelas Hady.



Pelantun lagu Angkasa itu menganggap 2023 sebagai tahun yang mencabar buat setiap anak seni sesudah pandemik Covid-19 berlalu pergi.



"Saya berdoa agar terbuka pintu rezeki untuk kerjaya saya selanjutnya dan ada peluang merancang karya-karya baru selepas ini.



"Dari segi perniagaan pula, saya dan isteri, Nurjannah Nur Wahid, tak mengharapkan bisnes berskala besar. Apa yang termampu, kami buat mengikut kemampuan. Kalau ada permintaan selepas bulan puasa, kami teruskan. Kalau tak, untuk acara dagangan.



"Kami sempat meniaga musiman pada Ramadan lalu. Alhamdulillah dan seperti bisnes lain, taklah semuanya laris habis. Tapi rezekinya kami syukuri.



" Isteri dah bantu saya dalam urusan kerja seni saya. Jadi, dari segi perniagaan beliau bos saya. Saya setakat membantu dan memberi sokongan," ujarnya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >