KUALA LUMPUR: Pelakon Aiman Hakim Redza hampir menarik diri daripada drama bersiri Astro Originals, Bad Cop, selepas tidak tahan dengan gangguan depresi yang dialami sepanjang penggambaran.
Aiman, 32 tahun, membawakan dua watak sekali gus iaitu adik-beradik Imar dan Emir yang memiliki karakter berbeza, mengakui dirinya terbawa-bawa lakonan sehingga mempengaruhi emosi di luar set.
Sikap pelik pelakon itu bagaimanapun disedari isterinya, Zahirah MacWilson, yang menasihati Aiman untuk berbincang dengan pengarah Kavivarmen Vigneswaran dan Jason Chong bagi menangani masalah berkenaan.
“Gangguan depresi yang saya alami sangat teruk, tetapi bukanlah timbul hasutan untuk menamatkan riwayat sendiri,” kata Aiman ketika ditemui pada majlis tayangan drama tersebut, di sini pada 16 Disember.
“Cuma saya jadi resah dan gelisah kerana watak yang dibawakan sangat mengganggu mental saya. Saya bukan dari latar belakang itu, di mana manusia terbabit dengan jenayah boleh bertindak di luar kawalan,” tambahnya.
Aiman berkongsi ketika itu, beliau pernah mengadu kepada isterinya tanpa menyedari dirinya bercakap dengan watak imaginasi yang dibawa, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Saya hubungi isteri untuk mengadu dan sewaktu sedang berbual dengannya, saya tak sedar bercakap merepek-repek dengan watak imaginasi,” katanya.
Pelakon itu bersyukur kerana Zahirah tahu cara menangani emosinya yang tidak stabil ketika itu.
“Dia suruh saya pergi solat, bertenang, cuba keluarkan karakter itu dan bercakap dengan Jason dan Kavivarmen sebab mereka yang faham karakter itu. Lepas saya luahkan segalanya kepada mereka, barulah lega,” jelas Aiman.
Kehadiran keluarga termasuk isteri dan anak-anak turut memainkan peranan penting dalam pemulihan mental pelakon itu.
Ini merupakan pengalaman pertama Aiman berdepan cabaran mengikis karakter Imar dan Emir daripada dirinya yang mengambil masa agak lama untuk dilakukan.
Bagaimanapun, cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus membawakan watak berat bagi membuktikan kredibiliti sebagai pelakon versatil.
“Beberapa tahun kebelakangan ini saya alihkan diri kepada projek sebegini kerana sudah letih dengan cerita komedi romantik. Saya sukakan karakter berat kerana ia membuatkan saya rasa hidup dan bersemangat,” katanya.
Bad Cop mengisahkan Emir Khalid, seorang penjenayah, bertembung dengan kembarnya yang terpisah, Imar, seorang inspektor polis.
Pertemuan semula itu bertukar emosi apabila Imar ditembak dan dia menyerahkan identiti polisnya kepada Emir sebagai jalan untuk melarikan diri, tetapi memintanya menunaikan satu janji.
Aiman berkata pengalaman itu membuka mata bahawa lakonan watak berat bukan sekadar hiburan, tetapi ujian mental yang memerlukan sokongan emosi.
“Kalau tiada sokongan keluarga dan pengarah, mungkin saya tidak akan teruskan penggambaran. Mental saya diuji sebaiknya,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa pengalaman itu memberi perspektif baru dalam mendalami watak dan mengurus emosi di set.
Selain Aiman, Bad Cop turut dibintangi Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff, Whulandary Herman, Melissa Campbell dan Alvin Chong akan ditayangkan di OnDemand dan di sooka serta Astro Citra bermula 19 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg