Kebimbangan meninggalkan anak kecil kepada pembantu rumah mendorong pasangan selebriti Malaysia, Zahirah MacWilson, 30 tahun, dan Aiman Hakim Ridza, 36 tahun, bergilir-gilir bekerja bagi memastikan cahaya mata mereka sentiasa berada di bawah jagaan ibu bapa sendiri.
Menurut Zahirah, beliau mengakui ketakutan itu bukan rekaan cerita semata-mata.
Sebaliknya, ia datang daripada naluri seorang ibu yang enggan melepaskan tanggungjawab membesarkan anak kepada orang lain.
Hasil perkahwinan Zahirah dan Aiman pada 20 Februari 2020, mereka dikurniakan dua anak iaitu Isaac Raees, empat tahun dan Inara Raisa, 18 bulan.
Beliau menambah sejak kelahiran anak kedua, Inara, rutin rumah tangga mereka berubah sepenuhnya.
“Setakat ini, kami cuba tidak tinggalkan anak-anak begitu lama dengan pembantu. Jadi, kami pilih untuk bergilir-gilir bekerja.
“Kalau Aiman ada penggambaran, saya akan jaga anak-anak di rumah dan begitulah sebaliknya,” kata Zahirah dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Anak kepada pelakon, Zainol MacWilson itu ditemui BHM di set penggambaran drama bersiri Good Boys Go To Heaven di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.
Bagi Zahirah, pengorbanan itu sedikit pun tidak membebankan dirinya, malah beliau rela menolak beberapa tawaran berlakon demi memastikan jadual keluarganya lancar.
“Saya tak terkilan pun tolak tawaran. Ini pengorbanan saya sebagai ibu.
“Rezeki ada di mana-mana. Mungkin bukan sekarang tetapi dalam masa akan datang, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik,” kata pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu.
Walaupun lebih banyak meluangkan masa di rumah, pelakon drama Curi-Curi Cinta itu tetap aktif menjalankan kempen media sosial dan projek komersial yang sesuai dengan jadual penjagaannya.
“Saya bukan berhenti bekerja sepenuhnya.
“Saya masih bekerjasama dengan beberapa jenama, cuma kerja di luar rumah saya kurangkan,” katanya lagi.
Zahirah yang hampir dua tahun tidak membintangi drama bersiri turut berkongsi tidak teragak-agak menerima projek terbaru drama bersiri, Good Boys Go To Heaven, selepas mendengar penjelasan daripada pengarahnya, Ariff Zulkarnain.
“Belum pun baca skrip, sekadar dengar penjelasan Ariff, hati saya sudah terusik. Sebagai ibu, saya terus boleh rasa ‘jiwa’ watak Dahlia,” ujar Zahirah.
Watak ibu yang kehilangan anak itu memberi kesan mendalam kepada dirinya sehingga beliau beberapa kali gagal menahan perasaan ketika sesi bacaan skrip.
“Saya banyak kali menangis ketika menghayati watak Dahlia.
“Ini antara naskhah paling berat yang pernah saya bawa,” ceritanya lagi.
Mengulas perjalanan kerjayanya, Zahirah akur selepas 10 tahun berada dalam industri kreatif, beliau lebih berhati-hati memilih watak dek tidak mahu membawa watak negatif seperti pelacur yang boleh menjejaskan imej dan memberi tanggapan buruk kepada masyarakat.
“Dulu saya ambil pelbagai watak.
“Sejak umur 20 tahun, saya sudah rasa pelbagai genre drama cinta dan komersial yang memang saya suka.
“Sehingga suatu tahap, saya fikir perlu berundur seketika dan mencari watak berbeza untuk mencabar diri serta mengembangkan bakat lakonan.
“Saya mahu lebih berhati-hati, bukan kerana cerewet, tetapi kerana ingin mencuba sesuatu yang lebih mencabar dan memberi kesan,” jelas anak sulung dalam keluarga empat beradik itu.
Di samping itu, Zahirah akui masa rehat yang diambil bukanlah langkah berundur dalam dunia seni, sebaliknya ruang untuk menilai semula arah tuju kerjaya serta mencari watak lebih mencabar.
“Buat masa ini, belum ada projek khusus.
“Bagaimanapun, ada beberapa tawaran yang sedang saya pertimbangkan,” kata Zahirah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg