Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aisha Retno teruja cipta lagu Raya untuk Siti Nurhaliza

Mar 3, 2025 | 2:54 PM
Aisha Retno (kiri) atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, meluahkan rasa syukur dapat menciptakan lagu baru sempena Aidilfitri 2025 untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza (kanan). Lagu itu dijadual dilancarkan pada minggu kedua Ramadan.
Aisha Retno (kiri) atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, meluahkan rasa syukur dapat menciptakan lagu baru sempena Aidilfitri 2025 untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza (kanan). Lagu itu dijadual dilancarkan pada minggu kedua Ramadan. - – Foto INSTAGRAM AISHA RETNO

Bagai mimpi menjadi kenyataan, begitulah gambaran perasaan penyanyi dan penggubah lagu, Aisha Retno, 24 tahun, apabila menghasilkan lagu Raya untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46 tahun.

Sebagaimana yang dilaporkan dalam laman web Harian Metro, Aisha memuat naik satu hantaran di laman Instagram, meluahkan penghargaan bagi semua pasukan yang terlibat dalam rakaman lagu Raya berkenaan. 

Beliau berkata: “Mama, tengok! Aisha sudah tulis dan ada lagu Raya untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza. Nantikan! Ibarat ‘terbang melayang’ mendengar suara Tokti dalam lagu ini, masya-Allah.

“Terima kasih kepada abangku, Jayson, kakakku, Amylea, dan semua yang terbabit dalam rakaman instrumen muzik tradisional secara langsung. Saya tak tahu nak kata apa lagi.

“Terima kasih Tokti kerana sudi menerima lagu kecil Aisha ini. Nantikan!”

Hantaran itu turut disertakan dengan beberapa gambar serta video antaranya, detik Aisha menitiskan air mata tatkala mendengar dendangan suara bak buluh perindu Siti Nurhaliza yang menyanyikan lagu ciptaannya.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, berkongsi dalam satu wawancara bahawa beliau sebelumnya tidak ada perancangan untuk mengeluarkan lagu baru sempena Aidilfitri 2025.

Penghibur muda dari Malaysia itu berharap lagu tular pada 2024, Ketipak Ketipung Raya, yang dihasilkan bersama penyanyi Brunei, Aziz Harun, akan terus diputarkan untuk menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri dalam kalangan peminat.  

Namun, bagi memenuhi permintaan penggemarnya yang menanti-nantikan lagu Raya baru, beliau telah mencipta sebuah lagu Raya baru sebagai ‘back-up’ atau persediaan.

Bagai bulan jatuh ke riba, Aisha tidak pula menyangka bahawa lagu yang dihasilkannya itu akan didendangkan oleh Siti.

Menjengah ke ruang komen dalam hantaran yang dimuat naik Aisha, Siti mengulas:

“Kak Iti rasa seronok ketika merakamkan lagu ini. Syabas Aisha dan seluruh pasukan terlibat.”

Lagu Raya itu dijadualkan bakal dilancarkan pada minggu kedua Ramadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg