Terlalu banyak kegagalan yang diharungi pelakon Bollywood, Akshay Kumar, dalam hidup sehinggakan beliau mudah memahami bahawa segalanya dalam dunia ini sementara sahaja.
Apabila ditanya laman web, Galatta Plus, tentang melalui kegagalan besar, Akshay, 56 tahun, menjelaskan beliau banyak belajar daripada bapa mentuanya, mendiang Rajesh Khanna, juga seorang anak wayang.
Rajesh yang meninggal dunia pada 18 Julai 2012, pernah melalui tempoh pahit apabila popularitinya merudum selepas mengecapi kejayaan.
“Kerja keras hanya satu faktor mengecapi kejayaan tetapi selebihnya bergantung pada nasib dan rezeki juga.
“Saya tidak membiarkan perkara sekeliling mengganggu pemikiran saya. Saya sudah melihat ramai orang kecundang. Saya dengar bermacam cerita.
“Bapa mentua saya juga banyak mengajar saya sebab beliau sudah melihat kejayaan terbesar dalam hidupnya dan tahu-tahu, beliau mengalami kegagalan yang sangat perit.
“Melalui perkongsian beliau dan orang lain, saya ambil iktibar. Saya menyedari ada pasang surut kehidupan. Saya hanya perlu teruskan usaha gigih saya,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut tentang kegagalan dan kejayaan yang datang silih berganti dalam kehidupan, Akshay berkata beliau berjaya menghasilkan 16 hingga 18 filem hit secara berterusan sebelum mengalami detik pilu berdepan dengan 10 hingga 12 projek filem yang gagal.
“Saya tak ambil peduli tentang semua ini. Saya tahu bahawa beginilah lumrah hidup sebagai anak seni. Kita bertatih membina kerjaya.
“Ini bukan kerjaya orang lain. Kerjaya filem ini satu legasi yang akan diserahkan kepada orang lain, ibarat pertabalan mahkota. Ia bukan milik kita sampai bila-bila.
“Sampai masanya, saya perlu serahkan mahkota saya ini kepada pelakon muda lain. Hari ini, ia milik saya. Esok, ia akan menjadi milik orang lain.
“Kejayaan itu manis tetapi jangan taasub padanya sebab ia akan hilang sekelip mata,” tambahnya, yang mula berlakon secara profesional pada 1991 menerusi filem, Saugandh.
Beberapa tahun lalu, ibu mentua Akshay, Dimple Kapadia, pernah berkongsi tentang kehidupannya bersama Rajesh dalam tempoh sukar filemnya tidak menerima sambutan baik.
Kata Dimple, kini 67 tahun, kepada laman India Today:
“Itulah kali pertama saya berasakan kegagalan daripada pengalaman suami.
“Apabila seorang lelaki berjaya mula remuk-redam, rasa marahnya membuatnya bencikan keadaan sekeliling.
“Sedih saya tengok Rajesh menanti untuk tahu bagaimana sambutan bagi filemnya tetapi tiada orang yang berani memberitahunya tentang situasi sebenar.”
Akshay juga tidak yakin kejayaan bergantung hanya pada kerja keras.
Baginya, 70 peratus kejayaan dikecapi kerana tuah seseorang manakala 30 peratus pula atas kerja keras.
“Saya pernah lihat filem yang teruk dipuja-puja manakala filem yang dihasilkan dengan banyak pengorbanan tidak berjaya di pasaran.
“Ini bererti segalanya juga bergantung pada apa yang kita anggap nasib dan tuah seseorang,” ujarnya.
Beliau juga mengalami tempoh pascapandemik yang membimbangkan, dengan hanya satu filem laris daripada 10 filem yang dilakonkan.
Filem, Bade Miyan Chote Miyan, yang disangka ‘meletup’ juga tidak mendapat sambutan menggalakkan.
Akshay mendirikan rumah tangga dengan anak Rajesh dan Dimple, Twinkle Khanna, 50 tahun, seorang bekas bintang filem yang kini bahagia sebagai penulis buku.
Pasangan itu mempunyai seorang anak berusia 21 tahun, Aarav Kumar.
Di sebalik jerih payah Akshay, beliau kini boleh berbangga dengan filem terkininya, Sarfira, yang mengisahkan tentang semangat waja seorang lelaki membangun khidmat penerbangannya sendiri, di dalam kesibukan banyak syarikat pemula penerbangan dibangunkan serata dunia.
Menerusi hantaran di Instagram, Akshay berkata:
“Bagi saya, Sarfira bererti kerja gila. Saya boleh jadi gila kalau saya tidak berlakon dalam filem ini.
“Penglibatan saya bagi filem ini bermula tiga tahun lalu. Ia adalah kisah impian dan kedegilan dalam memenuhi impian tersebut, sesuatu yang boleh kita pelajari dalam memburu cita-cita kita.
“Ini adalah filem ke-150 saya. Saya harap anda dapat menontonnya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg