Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ZOOM BH BERSAMA JOE TASLIM

Aktor Indo di pentas Hollywood, K-Wood

Joe Taslim kuasai peranan antagonis dalam 'Fast & Furious 6', 'Star Trek Beyond', 'The Swordsman'
Oct 22, 2020 | 05:30 AM



SENYUMAN manis terukir di bibir pelakon Indonesia, Joe Taslim, yang sudah menembusi pasaran Hollywood dan kini K-Wood (Korea) menerusi filem terkini The Swordsman.



Cukup berbeza ketika beliau 'bertukar kulit' menggalas peranan sebagai Gurutai, antagonis dengan wajah bengis dan lirikan mata sinis dalam filem lawan pedang yang turut dibintangi wira Korea, Jang Hyuk.



Beliau memang aktor serba boleh yang berjaya menawan perhatian penerbit francais filem raksasa di Hollywood, Fast & Furious 6 dan Star Trek Beyond, melalui paparan watak jahat.



Sepanjang wawancara Zoom selama 20 minit yang diselaraskan Shaw Organisation buat Berita Harian, Joe, 39 tahun, yang dilahirkan di Palembang, Indonesia, santai berbicara dalam bahasa ibundanya.



Menyusuli penularan wabak Covid-19, beliau kini kembali ke Indonesia dan menanti dengan penuh debaran tayangan filem Hollywood selanjutnya, Mortal Kombat, tahun depan.



Dalam filem itu, beliau adalah wira aksi Sub-Zero dalam filem yang dipadankan daripada francais permainan komputer seni mempertahankan diri.



Menumpang rasa bangga bahawa seorang anak Indonesia dan pelakon Nusantara ini mampu mencipta nama dan menjejakkan kakinya di Hollywood dan kini K-Wood, saya ingin tahu pengalamannya di dua industri perfileman yang gah.



"Semua ini rezeki yang saya syukuri.



"Hollywood dan K-Wood adalah industri perfileman raksasa yang cukup berbeza bagai langit dengan bumi.



"Saya sangat selesa berlakon di Korea kerana saya sifatkan industri perfileman di Korea sama sahaja macam di Indonesia.



"Kami berfungsi sebagai sebuah keluarga besar. Dapat dirasakan kemesraannya apabila berada dalam set Korea di mana kita boleh makan bersama dan duduk bersembang.



"Rasa saling menghormati juga menebal. Tak mengapa kalau saya tidak fasih berbahasa Korea dan perlukan bantuan memesan makanan atau membeli barangan di kedai.



"Di Hollywood, keadaannya berbeza. Saya hargai profesionalisme dan pendedahan di set filem Hollywood. Cuma segalanya perlu dibereskan segera. Terasa pecutan adrenalina.



"Kalau diberi lapan jam bagi menjalani penggambaran di sesuatu lokasi atau studio yang sudah disewa, kita perlu disiplin dan akur pada tuntutan membereskannya dalam waktu yang diberi.



"Mereka menjaga kos sewa studio dan lokasi dengan teliti dan berhati-hati. Kerap kali, tumpuan saya adalah memberi yang terbaik dalam adegan saya dan bereskan segera," ceritanya.



Beliau juga bangga dapat menembusi pasaran Korea yang disifatkannya sebagai industri yang pesat membangun dengan cemerlang.



"Lihat sahaja filem komedi gelap Korea, Parasite, mampu membawa pulang Anugerah Filem Terbaik pada Anugerah Academy," tambahnya.



Joe asalnya merupakan juara judo di Indonesia yang pernah meraih pingat perak di Sukan SEA 2007 dan pingat emas di Kejuaraan Judo Asia Tenggara yang berlangsung di Singapura pada 1999.



Beliau kemudian menjadi peragawan iklan dan mencipta nama dalam filem Indonesia, Karma, yang mengisahkan tentang wanita yang terjerat dalam perkahwinan bersama lelaki yang keluarganya dihantui roh ghaib.



Filem aksi Indonesia, The Raid, yang membolot banyak anugerah menempatkan Joe sebagai pelakon aksi yang disegani.



Beliau kemudian menjayakan filem aksi seram HBO yang pertama, Dead Mine, sebelum dilamar bagi filem Hollywood, Fast & Furious 6.



Dalam kesibukannya mencuba nasib di Hollywood, beliau tidak pernah mengabaikan tawaran berlakon di Indonesia bahkan memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Filem Indonesia bagi paparan watak jejaka Jepun dalam La Tahzan.



"Kalau di Indonesia, saya sudah diberi banyak watak meliputi peranan komedi, yang menekankan pasang surut emosi dan banyak lagi.



"Cuma di pasaran antarabangsa, saya kerap dapat watak aksi kerana mereka lihat latar belakang saya dalam sukan judo.



"Saya tidak khuatir jika ada yang mengenakan stereotaip bahawa saya hanya boleh bawa watak aksi pertarungan sahaja. Semua ini rezeki yang saya syukuri," ujarnya.



Mengenali Jang Hyuk, wira terkenal Korea yang disifatkan Joe sebagai merendah hati dan cekal dalam setiap babak aksi juga satu bonus.



"Beliau akan cuba dan terus cuba menyempurnakan aksinya dan tidak mudah tewas dengan rasa sakit. Beliau sahabat yang baik.



"Tengoklah jika selepas Covid-19... Jang Hyuk datang ke Indonesia, saya akan bawa beliau jalan-jalan dan cuba makanan lebih lazat daripada kebiasaannya makan nasi goreng," katanya lagi seraya tertawa.



Menyifatkan The Swordsman sebagai filem yang padat dengan nilai-nilai hubungan kekeluargaan, Joe yang memiliki tiga cahaya mata, berkata:



"Sebenarnya, di sebalik segala aksi lawan pedang dan babak tangkas tunggang kuda, filem ini banyak membawa mesej tentang hubungan ayah dan anak.



"Tae-yul adalah perwira buta dan bapa tunggal yang amat menyayangi anaknya Tae-ok. Dia buat apa sahaja demi kebahagiaan anaknya.



"Tae-ok pula sanggup berkorban menjelajah ke tempat yang jauh demi mencari penawar bagi mengubati mata ayahnya.



"Semangat kekeluargaan, kesetiaan dan menggalas tanggungjawab sebaik mungkin adalah nilai-nilai yang saya lihat dalam filem ini," jelasnya yang melihat pelakon Jet Li sebagai sumber inspirasi.



Di luar kesibukannya sebagai pelakon, Joe akui beliau seseorang yang mudah dibahagiakan dan tidak cerewet.



"Kalau ditanya apa yang boleh membuat saya rasa gembira, berikan sahaja sarapan pagi yang lazat. Saya suka makanan kampung saya di Palembang, pempek. Ia campuran ikan dan ubi kayu. Cecah bersama sos masam-masam manis, kuah cuka.



"Satu lagi perkara yang mampu membuat saya gembira adalah apabila melihat orang sekeliling tersenyum manis. Senang buat saya bahagia bukan?" jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >