Pengacara ‘All Stars Gegar Vaganza’ (GV10), Elly Mazlein memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan cara pengacaraannya.
Menerusi hantaran terkini dalam akaun Instagramnya (@iamellymazlein) pada Rabu, Elly atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lina memaklumkan beliau meletakkan semua kesalahan pada dirinya sendiri.
“Selepas Kak Lina membaca kesemuanya… Ya Kak Lina baca semua komen anda. Sudah masanya Kak Lina tidak perlu ada di GV demi menjaga hati anda dan semua pihak..
“Kak Lina meletakkan kesemua kesalahan pada diri sendiri,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Elly memaklumkan beliau tidak berniat melukakan hati sesiapa, sebaliknya hanya melakukan kerja secara ikhlas dengan niat untuk menghiburkan orang ramai.
“Niat Kak Lina untuk menghiburkan, tapi lain pula jadinya. Buat semua orang yang tak berminat nak tengok GV pula.
“Sekali lagi Kak Lina meletakkan kesalahan pada diri sendiri,” maklumnya.
Bagaimanapun, kata Elly, sekiranya kehadirannya kurang menyenangkan beliau mengundurkan diri sebagai watak ‘Kak Lina’ dan menggantikannya dengan ‘Elly Mazlein.’
“Ya ramai yang mencari rezeki di GV. Demi kebaikan semua pihak, Kak Lina tak akan muncul lagi di GV. Minta maaf segala kekhilafan ya.
“Kak Lina tak bermaksud apa, memang nak menghiburkan. Jaga diri ya semua. Terima kasih di atas segala kemanisan yang Kak Lina rasa sebelum ini.
“Terima kasih banyak-banyak. Insya-Allah Elly Mazlein akan menggantikan Kak Lina di GV nanti. Jadi I’ll sign off, jaga diri semua,” jelasnya.
Terdahulu, ada segelintir netizen meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap gabungan tiga pengacara iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein di satu pentas.
‘All Stars Gegar Vaganza’ menampilkan Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Datuk Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).
Enam lagi nama yang dipilih adalah menerusi ‘hot seat’ iaitu Tomok, Suki Low, Nikki Palikat, Ezad Lazim, Zamani dan Liza Hanim.
Juri tetap pula adalah Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg