Irama rancak Rembulan yang awalnya diperlahankan sedang sang penyanyi, Liza Hanim, melangkah perlahan-lahan untuk memantapkan momentumnya yang bertukar menjadi ligat merupakan formula yang berkesan.
Selama dua minggu berturut-turut di pentas All Stars Gegar Vaganza, Liza, 43 tahun, bergelar juara mingguan. ‘Rembulannya’ benar-benar menerangi sehingga meraih kepercayaan juri dan mendapat markah tertinggi 76.75 peratus lantas bergelar juara mingguan.
Bintang asal Singapura, Hady Mirza, juga 43 tahun, pula memikat hati juri dengan tarian yang tidak lagi menampakkan beliau berdiri kaku beku dan penampilan ala idola Korea menerusi lagu Hati, nyanyian asal Hael Husaini. Beliau di tangga kedua dengan 76.5 peratus.
Kejayaan Hady pastinya membuatkan peminatnya gembira setelah beliau berada di tangga kesembilan minggu lalu. Beliau juga diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak mengikut undian penonton.
Juara Gegar Vaganza (Musim 3), Azaharina Azhar, 38 tahun, yang saban minggu masih ada tak kena dengan persembahannya pula bernasib baik apabila lagu Bilang Sahaja, nyanyian Agnes Monica, pembawa tuah untuk mempertingkat prestasinya daripada tangga ke-10 ke tangga ketiga kali ini.
“Awak ni selalu datang ke pentas dalam keadaan bersedia. Saya lihat awak ‘enjoy’. Itu sepatutnya keadaannya setiap minggu,” jelas juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, kepada Azaharina yang meraih markah 75.25 peratus.
Berkongsi markah yang sama dengan Azaharina adalah juara GV (Musim 9), Jaclyn Victor, 44 tahun, yang membawa lagu Faizal Tahir, Bencinta. Selepas persembahannya, juri tetap, Hetty Koes Endang, berpesan kepada semua peserta agar tidak menyanyi ibarat dalam kaset atau radio.
Sesuatu yang mengecewakan orang Singapura pastinya kedudukan Aliff Aziz, 32 tahun, di dua tangga terbawah setelah mendendangkan lagu rok Dewa 19, Arjuna. Penyampaian Aliff dianggap Ketua Juri, Datuk Ramli MS, tidak menarik dan banyak yang tidak kedengaran lunak. Aliff pula menjelaskan mungkin ‘feel’ rok belum lagi dapat beliau ‘tangkap’ lantas dirinya tidak begitu yakin membuat persembahan yang baik.
Aliff berada di tangga ke-11 dengan markah 62 peratus.
Beliau meninggalkan jauh hampir enam peratus peserta yang tersingkir pada Ahad iaitu Zamani Ibrahim, 52 tahun, yang menyanyikan lagu ikonik Allahyarham Adam Ahmad, Kau Pergi Jua. Mungkinkah judul lagu benar-benar menjadi masalah sebab Zamani ‘pergi jua’ meninggalkan pentas Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)?
Kata Ramli dalam ulasannya bersama media yang disiarkan secara langsung dari YouTube:
“Terlalu lemah. Persembahannya tidak bertenaga, kurang stamina.”
Pada minggu ketujuh pertandingan, peserta akan bersaing dengan tema ‘Kau Ilhamku’ iaitu mahakarya ikonik daripada penggubah lagu tidak asing lagi.
Harap-harap Romancinta, ciptaan Edry Abdul Halim, untuk kumpulan Mojo, akan membawa rezeki buat Hady manakala lagu hit kumpulan Iklim, Gerhana Cinta Luka, tidak akan melukakan Aliff serta mampu membantu membangkitkan semula kedudukannya di tangga lebih mantap All Stars GV.
All Stars GV disiarkan 9 malam setiap Ahad di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg