Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ayai Illusi alami jangkitan paru-paru, punca nafas tercungap

Penyanyi ‘Puisi Cinta’ hargai persahabatan, ingin projek bersama Black dan Zamani jadi kenyataan
Oct 27, 2023 | 5:30 AM
TIDAK SEDAR ADA BRONKITIS: Ayai Illusi pada awalnya menyangka pernafasan yang terjejas hanya kerana faktor usia tetapi terkejut apabila diberitahu wujud jangkitan paru-paru.
TIDAK SEDAR ADA BRONKITIS: Ayai Illusi pada awalnya menyangka pernafasan yang terjejas hanya kerana faktor usia tetapi terkejut apabila diberitahu wujud jangkitan paru-paru. - Foto ASTRO

Dengan semangat waja seorang ‘otai’, bintang All Stars Gegar Vaganza, Ayai Illusi, melontarkan suaranya sebaik mungkin bagi lagu kumpulan Ekamatra, Pusara Di Lebuhraya, di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu.

Sejak beberapa hari sebelum pusingan kelima peraduan realiti Astro itu, Ayai atau nama sebenarnya, Zaharuddin Kamaruddin, 62 tahun, memang terasa tidak selesa apabila menarik suara pada nada tinggi. Beliau sangka ia perkara biasa memandangkan usia yang semakin meningkat.

Watch on YouTube

Bagaimanapun, tidak sedikit pun penyanyi yang dikenali kerana lagu balada Puisi Cinta itu menyangka beliau mengalami jangkitan paru-paru sehingga menjejas pernafasannya.

Hanya setelah ketua juri, Datuk Ramli MS, bertanyakan kepadanya, “Mengapa macam tercungap-cungap? Nafas tu... macam susah nak tarik...” susuli persembahannya, tergerak hati Ayai menjalani pemeriksaan keesokan hari.

Ternyata, setelah menjalani pemeriksaan di Klinik Mega Mesra Keluarga di Bangi, Selangor, ditemani isteri dan temannya, beliau disahkan menghidap bronkitis atau jangkitan paru-paru yang serius.

Apabila pemeriksaan X-ray dijalankan ke atasnya, terkesan tompok-tompok putih pada paru-parunya yang dikatakan merupakan kesan parut ekoran banyak merokok dahulu.

Ayai yang merupakan juara musim pertama Gegar Vaganza (GV), bagaimanapun, sudah berhenti merokok sejak 2004.

TERIMA SEADANYA: Apabila Ayai Illusi (kiri) diumumkan sebagai peserta yang tersingkir, beliau menerimanya dengan reda. Zamani pula dengan markah kedua terendah mara ke konsert minggu keenam ‘All Stars Gegar Vaganza’.
TERIMA SEADANYA: Apabila Ayai Illusi (kiri) diumumkan sebagai peserta yang tersingkir, beliau menerimanya dengan reda. Zamani pula dengan markah kedua terendah mara ke konsert minggu keenam ‘All Stars Gegar Vaganza’. - Foto ASTRO

Beliau yang tersingkir pada minggu kelima Ahad lalu ingin meneruskan rawatan di klinik tersebut demi memastikan kesihatannya yang pernah terganggu dengan bermacam masalah lain seperti gout dan kerosakan ginjal (tahap empat) dapat dipulihkan.

Menurut Ayai, masalah ginjalnya sudah sembuh sesudah mengamalkan rawatan alamiah dengan minuman tradisional air buah kulim.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui panggilan WhatsApp pada Khamis, beliau menyatakan:

“Saya terasa susah nak tarik nafas dan melepaskannya di pentas. Tapi apa nak buat? The show must go on (Persembahan harus diteruskan). Maka, saya pun menyanyi seberapa yang saya mampu.

“Apabila masuk peraduan ini pun, saya tak pernah tetapkan nak menang atau mengatasi peserta lain yang jauh lebih muda, jauh lebih terkenal dan bertenaga.

“Saya dah ‘terjebak’ masuk sebab jadi juara musim pertama. Jadi, kita ambil peluang baik ini untuk mengenali peserta lain dan menjadi sahabat seni.

“Seingat saya, walaupun tempo saya kadang terlari, suara saya taklah off-keydan ‘ke laut’! Masih boleh didengar dengan tenang oleh orang ramai.”

Ayai menyertai GV pada 2014 pada saat-saat akhir bagi menggantikan Ady daripada kumpulan Wow yang tidak dapat menyertainya dan berundur. Tanpa menyedari ia merupakan satu pertandingan, Ayai masuk kerana menyangka ia hanya wadah memperkenalkan semula ‘orang lama’ dalam industri hiburan.

“Saya jenis yang suka berkawan. Tak sangka pula apabila saya tersingkir, Jaclyn Victor dan Liza Hanim nangis. Jaclyn sampai telefon saya sebab nak tahu saya okey ke tidak. Begitu prihatinnya mereka, saya terharu.

“Bersama dengan peserta asal Singapura, Hady Mirza dan Aliff Aziz pun, saya selesa berkawan walau mereka jauh lebih muda. Itu yang ‘viral’ klip video saya bergurau di bilik rehat dan dandanan kami... sembunyi dalam baju Aliff! Riuh-rendah bilik tu sampai Zamani jenguk-jenguk sebab biliknya jadi kosong.

“Hady dan Ezad Lazim pun suka ‘join’ saya di situ. Saya kenali Hady lama dahulu di stesen televisyen Singapura, Mediacorp. Saya tengok budak ni suara bagus dan boleh pergi jauh. Dia pun ramah dan hormat orang... sentiasa tersenyum.

“Aliff pula baru saya kenal. Budaknya baik. Kalau saya bercerita saya mula menyanyi sekitar 1986, dia kata dia belum lahir lagi.

“Saya ni senang sahaja. Orang suka nak berkawan dengan saya, saya akan rapat dengan mereka. Kalau ada yang tak senang berkawan dan lain macam, saya perlahan-lahan tinggalkan,” tambahnya.

Mengulas tentang ciapan di aplikasi X yang membandingkannya dengan Datuk Aishah sewaktu penyingkiran, di mana ramai yang menyatakan Ayai lebih positif dan menerima kegagalan dengan hati yang terbuka berbanding Aishah yang kelihatan suram dan kerap bertanya kesilapannya di mana, Ayai tersenyum seraya menjelaskan:

“Masing-masing ada cara berbeza. Tak boleh nak samakan atau nilai. Saya peserta paling tua disusuli Aishah. Saya secara peribadi terima apa kata juri.

“Saya tak salahkan perihal teknikal iaitu monitor telinga yang nak tertanggal. Kita orang lama, memang tak biasa pasang monitor telinga.

“Semua dah tersurat. Saya hanya mampu bersyukur dan terima seadanya. Dapat buat persembahan dengan orang yang memperkenalkan saya pada dunia hiburan profesional, sifu saya, Datuk M. Nasir, dah cukup bagus.

“Mujurlah, saya pun tak pandai bab teknologi, tak faham nak jenguk media sosial selalu. Jadi tak baca sangatlah apa yang orang perkatakan di dalam talian.”

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, beliau teruja dan berharap apa yang dirancangkan menjadi kenyataan.

“Selain juara GV7, Cliff Umar, yang sudah awal lagi tersingkir dalam pertandingan itu, yang ingin berduet, ada lamaran juga daripada Black dan Zamani.

“Saya hairan Cliff nak duet dengan saya. Saya kata, saya bukannya popular dan dia orang muda. Cliff kata dia senang dengan warna vokal saya dan impikan rakam lagu duet bersama. Black pula ingin merakam semula lagu Segalanya Ku Terima yang saya nyanyikan bersama-sama dan mengundang Zamani agar ia menjadi lagu tiga serangkai.

“Dah pun tanya dengan ‘tuan punya lagu’ yang mencipta lagu ini, Awang BPR, untuk dapatkan pandangannya. Dia kata bagus, boleh teruskan. Maka harap-harap ini menjadi nyata,” tambahnya.

All Stars GV disiarkan setiap Ahad pada 9 malam di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg