Apabila Ahad hampir menjengah ke muka pintu, peminat All Stars Gegar Vaganza pastinya tidak sabar menonton peraduan realiti itu sambil meramalkan siapa yang akan mara dan siapa pula terkandas pada minggu keenam.
Saya meneliti senarai lagu yang bakal berkumandang, hasil pilihan peminat setiap bintang, dalam pusingan bertemakan ‘No Retreat, No Surrender’ (Tidak Boleh Berundur, Tidak Boleh Menyerah Kalah).
Walau apa pun, saya cuma berharap lagu yang akan didendangkan setiap peserta sesuai dengan warna vokal mereka dan tidak pula membosankan penonton.
Terdapat beberapa situasi, saya dan teman-teman Facebook kerap berbalas pesanan WhatsApp ataupun memberi ulasan selari di Facebook dan terbiar tertanya-tanya: “Lagu apa ni? Tak pernah dengar... eh tak sedap pula lagunya!”
Kerana itu, pemilihan lagu itu mustahak. Dah masuk musim ke-10 Gegar Vaganza (GV), masih ramai yang sangka lagu pemberian juri atau pihak penerbitan.
Setahu saya, sebagaimana ketua juri, Datuk Ramli MS nyatakan, lagu pilihan adalah peserta sendiri. Mereka diminta menyenaraikan lagu dan kemudian tengok nasib, minggu ke berapa lagu itu akan menjadi taruhan mengikut kesesuaian tema mingguan.
Hah... jadi peserta, jangan tersilap pilih atau nak eksperimen tetapi tak kena pada tempatnya.
Hanya dalam situasi tertentu apabila pengacara mengumumkan bahawa pusingan tertentu bergantung pada pemilihan lagu juri, maka itulah detik mencabar tatkala peserta diuji untuk nyanyikan lagu yang juri rasa sesuai untuk mereka.
Antara yang saya lihat memang bijak pilih lagu yang sesuai untuk mereka dendangkan adalah Liza Hanim dan Naqiu. Azharina, Ezad Lazim, Jaclyn Victor dan Noryn Aziz pilih lagu sedap-sedap tetapi tulah... apa nak dikata? Kadang lagu ‘menjadi’, kadang ia membawa risiko besar apabila persembahan tak mencapai jangkaan.
Bagaimana dengan lagu tugasan penyanyi asal Singapura, Hady Mirza dan Aliff Aziz? Maaf cakap, kadangkala kami macam tergaru-garu kepala tak gatal sebab dalam minda bersarang: “Mengapa pilih lagu ni? Tak kena atau terlalu besar sebab lagu legenda atau cuma lagu tular di TikTok.”
Kadangkala tak begitu kenal pula lagu berkenaan. Aduhai! Tak kenal, maka tak cinta, orang kata.
Sebagai contoh, lagu duet Hady Mirza dan Marsha Milan tempoh hari yang merupakan lagu Judika dan Shila Amzah, Tentang Rahsia. Bagi sebilangan daripada kami yang tidak perlu merahsiakan, tak banyak masa nak dengar radio, lagu itu kedengaran begitu asing.
Beberapa teman juga berasa lagu Lemak Manis, dendangan asal Roslan Madun yang tular di media sosial khususnya TikTok, yang dibawa Hady, kurang sesuai sebagai lagu pertandingan serta tidak dapat memberikan impak yang menyerlahkan vokal Hady yang kita tahu memang ‘power’.
Dari sudut positif, ia memberi Hady peluang keluar dari zon selesa dan teroka sesuatu yang baru. Bolehlah lihat beliau menari tarian Melayu meskipun juri lihat seperti kaku dan tidak mengikut gerak yang gemalai.
Kalau dilihat bagi minggu keenam ini, Hady diberi tugasan mendendangkan lagu Hael Husaini, Hati manakala Aliff pula diberi lagu Dewa, Arjuna. Dua-dua lagu saya belum hadam lagi sebab tidak selari dengan cita rasa.
Bagaimanapun, dari segi kesesuaian suara, rasanya lagu sebegitu memang ‘makanan’ Aliff (dengan suara berbisiknya). Apakah Hati oleh Hady akan menawan hati juri? Kita perlu tunggu pada Ahad.
Penyanyi yang hebat, pada pandangan saya, adalah yang dapat membuatkan peminat, dari tak tahu jadi tahu, dari tak suka jadi suka dengan sesebuah lagu.
Peserta paling konsisten, Liza Hanim, misalnya, membuatkan saya terpaut pada dua lagu yang sebelum ini, saya tidak tahu kewujudannya iaitu Pantun Janda, lagu dangdut dendangan asal, Ochi Alvira, serta lagu Marsha Milan, Kembali Terang.
Maka, saya harapkan pada minggu ini, apabila Liza dijangka akan membawa kita berpesta sejenak dengan lagu hit Kris Dayanti, Rembulan, beliau akan dapat mempertahankan kedudukannya sebagai bintang di tangga teratas dengan markah tertinggi.
Tomok dengan lagu Episod Cinta (nyanyian asal Naqiu), Azharina dengan Bilang Sahaja (Agnes Monica) serta Zamani menerusi lagu Kau Pergi Jua (nyanyian Adam Ahmad), memilih lagu-lagu malar segar yang pastinya terpahat di minda ramai.
Memilih, memikirkan konsep, takrifan jalan cerita dalam lagu dan akhirnya ‘tembakannya’ (bak kata juri Hetty Koes Endang) yang akan menentukan hasilnya.
Ada kerisauan? Setelah Noryn Aziz jatuh ke tiga tangga terbawah minggu lalu selepas percubaannya membawakan lagu antik Asmara tidak ‘menjadi’, risau juga menanti masa beliau menyanyikan lagu Casey, Seribu Impian, yang mengingatkan saya tentang zaman sekolah dahulu.
Bagaimana pula Jaclyn dengan mahakarya Faizal Tahir, Bencinta, atau Siti Nordiana dengan lagu Anis Suraya, Cinta Tersimpul Rapi?
Soalan yang tersimpul rapi di minda ini akan terjawab kelak apabila semua bintang melalui pasang surut bak menaiki ‘roller-coaster’ dalam satu putaran yang kadangkala menempatkan mereka sama ada di puncak mahupun di kaki gunung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg