Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amirah Yahya tak kisah jadi ‘amah’ berulang kali

Mar 22, 2025 | 5:30 AM
Amirah Yahya rebut peluang jadi pembantu rumah atau ‘amah’ sekali lagi, dalam pementasan ‘Supervision’ oleh Wild Rice.
Amirah Yahya rebut peluang jadi pembantu rumah atau ‘amah’ sekali lagi, dalam pementasan ‘Supervision’ oleh Wild Rice. - Foto RACHEL NG

Tidak mengapa kalau dirinya sering mendapat watak pembantu rumah.

Setelah memainkan watak amah dalam beberapa penerbitan drama televisyen, Amirah Yahya, 32 tahun sekali lagi ditawarkan peranan serupa dalam pementasan teater, Supervision, yang dipentaskan syarikat teater Wild Rice Singapore antara 27 Mac dengan 12 April.

Pementasan di kompleks seni milik Wild Rice, Teater Ngee Ann Kongsi @ Wild Rice, Funan, di pusat beli-belah Funan Centre itu, diadakan sempena ulang tahun ke-25 Wild Rice.

Pementasan teater itu mengisahkan tentang pesara bernama Teck, yang sentiasa meragam dengan mood yang berubah-ubah.

Beliau mengalami angin ahmar dan terpaksa berkerusi roda.

Apabila beliau ingin kembali ke rumahnya sendiri, anaknya, Jenny, mengambil khidmat pembantu rumah Indonesia, Yanti (lakonan Amirah), untuk menjaganya.

Yanti mengalami kesukaran sebab Teck enggan meninggalkan gaya hidup dan pemakanannya yang membawa mudarat.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Amirah tidak menafikan kebimbangannya distereotaip kerana tawaran tersebut.

“Sejujurnya, selepas memainkan watak Wati dalam drama bersiri, Tanglin untuk tempoh yang lama, serta peranan kecil dalam Aduh... Bibikku!, saya berjanji kepada diri sendiri untuk tidak mengambil lagi watak pembantu rumah.

“Bukan kerana saya tidak suka, tetapi saya rasa sudah tiba masanya saya mencuba peranan lain,” jelasnya.

Namun, apabila Wild Rice menawarkan watak Yanti dalam Supervision, Amirah tidak dapat menolaknya.

“Saya tahu saya tidak boleh melepaskan peluang ini,” kata Amirah yang sudah hampir 14 tahun berkecimpung dalam seni lakonan.

Menurut Amirah, berlakon dalam teater adalah pengalaman yang sangat berbeza, berbanding televisyen.

“Ruang persembahan di Teater Ngee Ann Kongsi sangat intim. Saya tidak boleh berpura-pura (memainkan watak), walaupun saya mencuba,” kata ibu seorang anak lelaki berumur tiga tahun itu.

“Dalam televisyen, saya boleh mengulangi babak atau ‘menipu’ sedikit. Tetapi dalam teater, segalanya berlaku secara langsung, di hadapan penonton yang begitu dekat. Itu cabaran besar buat saya,” katanya lagi.

Jika diimbas detik pertama Amirah berjinak-jinak dalam bidang teater, ia berlaku seawal usianya lima tahun.

Beliau pernah muncul dalam program kanak-kanak, Klik dan Hippo & Friends.

Secara profesional, beliau bermula pada usia 18 tahun.

“Pada masa itu, saya mendapat tawaran berlakon dalam telefilem Hari Ibu, Ibu Vs Mama, dan sebuah penerbitan teater, Aku Si Malang Jalang, bersama Teater Kami.

“Tahun ini (2025) pula, saya sibuk berlatih untuk pementasan, Supervision, dan juga pementasan sempena Pesta Raya, Salina,” katanya kepada wartawan.

Beliau menyifatkan peluang berlakon dengan syarikat teater mapan, Wild Rice, sebagai impian terpendam yang menjadi kenyataan.

“Saya pernah berkata dalam satu temu bual sebelum ini bahawa (bekerja dengan) Wild Rice adalah impian saya. Alhamdulillah, doa saya dikabulkan,” katanya dengan penuh kesyukuran.

Supervision pernah dipentaskan pada 2019 dan mendapat sambutan baik penonton dan pengkritik teater dengan dua persembahan yang laris terjual.

Ia mengkaji dinamisme kerumitan cinta, keluarga dan privasi di Singapura, iaitu apabila pekerja migran menjadi sebahagian daripada isi rumah, bahkan menjadi penjaga utama buat anggota keluarga, terutamanya warga emas.

Skrip tulisan, Thomas Lim, yang mendalam dan arahan kreatif, Glen Goei, menjadikan Supervision karya yang relevan dengan kehidupan moden, terutama dalam masyarakat yang semakin menua.

Bagi Amirah, cabaran sebenar bukanlah sekadar membawakan watak pembantu rumah sekali lagi, tetapi bagaimana beliau menjadikan watak ini lebih mendalam dan berbeza daripada sebelumnya.

Dengan semangatnya untuk terus belajar dan berkembang sebagai pelakon, watak Yanti dalam Supervision mungkin bukan sekadar satu lagi peranan baginya, malah membuka langkah penting dalam perjalanan seninya.

“Ibu saya adalah pendorong utama buat saya kerana beliaulah yang sertakan saya dalam bermacam kelas kesenian dan kursus pementasan sejak kecil kerana beliau tahu saya mempunyai minat yang mendalam dalam seni lakonan,” tambah Amirah yang menyanjung budi ibunya, seorang ibu tunggal.

Supervision akan dipentaskan dari 27 Mac hingga 12 April.

Tiket boleh diperolehi di laman web, https://tix.wildrice.com.sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg