Anak beri sokongan apabila ibu tunggal lalui rawatan barah darah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak beri sokongan apabila ibu tunggal lalui rawatan barah darah

Jan 15, 2026 | 5:30 AM

Anak beri sokongan apabila ibu tunggal lalui rawatan barah darah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Shanice Tatiana Anwar, Norlizah Mohamed Amin
Cik Shanice Tatiana Anwar (kanan) kerap menemani ibunya, Cik Norlizah Mohamed Amin, yang mempunyai leukemia mieloid akut ketika menjalani rawatan kemoterapi di hospital. - Foto BH oleh KHALID BABA

Satu panggilan telefon daripada doktor telah mengubah hidupnya pada Januari 2025.

Cik Norlizah Mohamed Amin, tidak pernah menyangka satu pemeriksaan biasa akan membawa kepada diagnosis yang menggoncang seluruh keluarganya.

Ibu tunggal empat anak remaja itu diminta hadir segera ke Jabatan Kecemasan Hospital Besar Singapura (SGH), selepas keputusan ujian darah menunjukkan sesuatu yang “tidak sepatutnya ada” dalam dirinya.

Beberapa jam kemudian, Cik Norlizah, 54 tahun, disahkan menghidap leukemia mieloid akut (AML), sejenis barah darah dan tulang sumsum yang memerlukan rawatan segera.

Rawatan kemoterapi pertama yang diterimanya memerlukan beliau dirawat hampir tiga minggu di hospital tanpa sebarang persiapan awal, dengan segala keperluan harian terpaksa diuruskan oleh anak-anaknya.

Cik Norlizah, seorang ibu tunggal sejak 2016, mempunyai empat anak berusia antara 21 dengan 27 tahun.

Anak sulungnya, Encik Nick Ashraf Shah Anwar, 27 tahun, sudah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala tiga lagi masih menetap bersamanya di rumah sewa di Punggol.

Sepanjang tempoh rawatan, anak kedua dan ketiga Cik Norlizah – Encik Aaron Nasran Shah Anwar, 25 tahun, dan Encik Jarool Ruzain Shah Anwar, 22 tahun – menjadi tonggak utama keluarga, menanggung sewa rumah, perbelanjaan harian dan keperluan perubatannya.

Oleh kerana kededua mereka bekerja, anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan Cik Norlizah, Cik Shanice Tatiana Anwar, 21 tahun, banyak meluangkan masa bersamanya dan menikmati detik kecil kehidupan seharian.

“Shanice dan saya sangat rapat... beliau sentiasa berkepit di bawah ketiak saya. Kami sentiasa keluar dan suka melakukan manikur dan pedikur bersama-sama.

“Hubungan kami begitu rapat sehingga saya perlu ‘halau’ beliau ke tepi apabila kami bersantai bersama di atas katil kerana saya perlukan ruang sendiri,” seloroh Cik Norlizah sambil mengusik anak perempuannya.

Bagi Cik Shanice, beliau tidak dapat membayangkan kehidupan tanpa ibunya.

Pelajar Politeknik Republic (RP) itu kerap mengunjungi Cik Norlizah di hospital selepas waktu sekolahnya untuk mengisi masa lapang ibunya.

Ini termasuk melakukan permainan carian kata dan kegiatan mewarna buku, yang menurut Cik Shanice, ialah cara kecil untuk menenangkan ibunya di samping membantu mengalihkan perhatian daripada rasa sakit ekoran rawatan.

“Ketika ibu saya masih menjalani rawatan kemoterapi, beliau jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) buat sementara waktu.

“Mukanya pucat dan beliau sering batuk. Pada waktu itu, saya benar-benar takut kerana saya ingat saya akan hilang ibu saya,” luah Cik Shanice.

Walaupun Cik Norlizah berasa berat hati melihat anak-anaknya memikul tanggungjawab besar sejak menerima diagnosisnya, beliau mengakui berasa bangga melihat mereka membesar menjadi individu lebih bertanggungjawab.

Menurutnya, anak-anaknya kekal sebagai “anak kecil” di matanya meskipun mereka sudah besar dan masing-masing ada kerjaya dan kehidupan sendiri.

“Apa yang membantu saya mengharungi pengalaman itu ialah anak-anak dan cucu saya.

“Saya menampal foto keluarga di sisi katil hospital saya, jadi saya boleh ‘bersama’ mereka setiap malam sebelum tidur,” kongsi Cik Norlizah.

“Ketika ibu saya masih menjalani rawatan kemoterapi, beliau jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) buat sementara waktu... Pada waktu itu, saya benar-benar takut kerana saya ingat saya akan hilang ibu saya.”
Cik Shanice Tatiana Anwar, yang sering menemani ibunya, Cik Norlizah Mohamed Amin, semasa di hospital.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg