Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak keluarga S’pura sekolah di rumah dedahkan pada pendidikan alam di Perlis

Pilihan berani buka ruang bagi anak berkembang di luar bilik darjah, teroka pelbagai peluang pembelajaran praktikal
Aug 13, 2025 | 5:30 AM
Shaikh Sulaiman Alkhatib, Shaikh Musa Alkhatib, homeschool
Berkebun merupakan kegiatan harian buat dua beradik kelahiran Singapura, Shaikh Sulaiman Alkhatib (kiri) dan Shaikh Musa Alkhatib, yang kini menetap di Perlis. - Foto ILI NADIAH ILYAS

Keputusan meninggalkan kehidupan bandar yang sibuk dan sistem pendidikan arus perdana di Singapura bukanlah langkah yang diambil ringan.

Namun bagi sepasang suami isteri warga Singapura, Shaikh Taufiq Alkhatib, 38 tahun, dan Cik Ili Nadiah Ilyas, 35 tahun, yang kini menginap di Perlis, Malaysia – ia adalah satu langkah berani.

Mereka berbuat demikian bagi mengejar kehidupan yang lebih ‘bebas’ bersama dua anak mereka, Shaikh Sulaiman Alkhatib, lapan tahun, dan Shaikh Musa Alkhatib, enam tahun.

“Ini bukanlah satu keputusan mendadak, malah ia terjadi secara beransur.

“Setelah melahirkan anak pertama, Sulaiman, pada 2017, saya mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa, manakala suami saya mula membina pendapatan sampingan dalam talian, di samping pekerjaan sepenuh masa sebagai pengurus keselamatan,” kata Cik Ili, seorang bekas kakitangan awam.

Menurut pasangan itu, percutian keluarga ke Indonesia, Australia dan Cameron Highlands sebelum ini membuat mereka berasa pembelajaran sebenar berlaku apabila anak-anak diberi ruang untuk mengalami dunia luar.

“Dalam satu perjalanan selama tiga bulan ke Melbourne, anak-anak kami berpeluang menyertai kegiatan luar seperti ‘forest school’ dan bergaul dengan rakan sebaya daripada latar belakang berbeza.

“Pengalaman ini memberi kami kesedaran bahawa pendidikan tidak harus terhad di dalam bilik darjah,” terang ibu dua anak itu.

Untuk mencapai impian tersebut, Cik Ili memohon kepada Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mendapat pengecualian daripada Pendidikan Wajib (CE), iaitu apabila kanak-kanak boleh dikecualikan jika mereka diberi kelulusan rasmi.

“Saya memohon untuk persekolahan di rumah bagi Sulaiman apabila dia sepatutnya masuk Darjah 1 pada 2023, dan proses permohonan tersebut agak menyeluruh.

“Terdapat beberapa peringkat yang perlu dilalui sebelum kelulusan diberikan,” tambah Cik Ili.

Menurut laman web MOE, pengecualian adalah untuk mereka yang memilih mengikuti persekolahan di rumah atau homeschooling; menghadiri sekolah yang ditetapkan seperti Sekolah NorthLight atau Sekolah Assumption Pathway; atau tidak sesuai bersekolah di mana-mana sekolah rendah kebangsaan disebabkan kecacatan fizikal, intelektual atau pembangunan.

Menurut Cik Ili, beliau dan suami – kededuanya siswazah yang memperolehi ijazah sarjana muda – berasa gaya hidup bekerja waktu pejabat ‘9 pagi hingga 5 petang’ membataskan masa bersama keluarga.

“Bagi persekolahan di rumah, kami tidak perlu menjadi seorang guru yang bertauliah atau mempunyai apa-apa latar belakang dalam mengajar (seperti saya, saya tidak mempunyai sebarang latar belakang mengajar) untuk mengendalikan homeschool anak-anak kami.

“(Apa yang penting) adalah mewujudkan persekitaran rumah dan (menjalin) ikatan, di mana kami boleh memahami anak-anak dengan lebih baik, supaya mereka boleh belajar dan berkembang dengan bimbingan kami.

“Sesiapa sahaja boleh mengendalikan persekolahan di rumah, tetapi ia bukan untuk setiap keluarga.”

Menurut Cik Ili, terdapat salah tanggapan bahawa kanak-kanak yang bersekolah di rumah tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka kerana ‘tidak dapat memperoleh pensijilan’ seperti sijil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ’O’ dan sebagainya.

“Ini tidak benar, bagi Singapura, kanak-kanak yang bersekolah di rumah dikehendaki menduduki peperiksaan PSLE, dan ini adalah langkah pertama untuk melanjutkan pelajaran, sama seperti kanak-kanak lain di sekolah lazim.

“Terdapat semakin banyak sekolah yang diiktiraf Cambridge dalam talian, di mana pelajar di seluruh dunia boleh mendaftar.

“Sekolah-sekolah ini menawarkan pendekatan hibrid bagi persekolahan di rumah, membenarkan keluarga mengajar anak-anak di rumah sambil tetap menerima manfaat akreditasi daripada institusi bertauliah yang bergabung,” jelasnya.

Keluarga itu secara rasmi memulakan perjalanan persekolahan di rumah secara sepenuh masa pada 2023 dan memilih untuk berpindah ke Perlis.

“Kami sekeluarga merentasi seluruh Semenanjung Malaysia selama hampir dua bulan, dan dalam tempoh itu, kami jatuh cinta dengan Perlis yang menawarkan segala yang kami cari.

“Ini termasuk alam semula jadi yang terpelihara, masyarakat mesra, gaya hidup tenang dan peluang pendidikan melalui pengalaman,” kata Shaikh Taufiq, yang kini menjalani perusahaan secara dalam talian, memberikannya kelonggaran bekerja dari mana-mana sahaja.

Walaupun pilihan itu sesuai dengan kehendak pasangan tersebut, mereka mengakui terdapat kritikan dan tanda tanya daripada orang sekeliling, terutama keluarga sendiri.

“Ramai yang beranggapan persekolahan di rumah mengasingkan anak dari dunia sebenar, sedangkan mereka sebenarnya lebih terdedah kepada pengalaman hidup sebenar.

“Jika kami tidak mengambil langkah ini sekarang, mungkin lima tahun lagi kami akan menyesal kerana tidak mencuba,” kata Cik Ili.

Beliau percaya kejayaan kini bukan hanya diukur melalui akademik dan kerjaya, tetapi juga membangunkan watak, nilai, serta pengalaman hidup yang bermakna.

Menurut pasangan suami isteri itu, mereka masih mengekalkan hubungan rapat dengan keluarga dan sahabat di Singapura, dengan sering berulang-alik dan membuat panggilan video, bak kata pepatah, ‘jauh di mata, dekat di hati’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg