Anak jadi inspirasi ibu ceburi niaga aksesori rambut
Anak jadi inspirasi ibu ceburi niaga aksesori rambut
Turut ambil peluang semai nilai hidup dalam diri anak, tekan peri penting sikap jujur dalam niaga
Anak jadi inspirasi ibu ceburi niaga aksesori rambut
Di sebuah sudut rumahnya, Cik Sharmin Loh Xuan Min, tekun menggunakan iPad untuk melakar reka bentuk klip rambut bagi perniagaannya, sambil anak perempuannya berdiri di sisinya dan memerhati skrin, sesekali memberi reaksi spontan terhadap warna atau bentuk yang dilihatnya.
“Reka bentuk klip rambut ini cantik tak?” tanya Cik Sharmin kepada anak tunggalnya, Nysha Allerah Hakim, berusia tiga tahun, seolah-olah sedang berbincang dengan rakan sekerja.
Di meja berhampiran, tersusun klip rambut berwarna-warni yang dihasilkan dan dijual Cik Sharmin bagi perniagaannya.
Ada yang berbentuk makanan, manakala yang lain menampilkan watak kartun atau motif comel.
Bagi Cik Sharmin, setiap rekaan di bawah jenamanya, Dollxheads, bukan sekadar aksesori rambut, malah ia juga menyimpan kenangan tentang perjalanan membesarkan anaknya.
“Secara umum, idea bagi seluruh perniagaan saya sebenarnya datang daripada anak saya. Apa yang saya cipta sekarang semuanya diilhamkan oleh Nysha.
“Ia seolah-olah satu kenangan tentangnya, sesuatu yang saya boleh simpan dan hargai apabila dia sudah besar nanti,” jelas Cik Sharmin, 29 tahun.
Ketika Cik Sharmin memulakan Dollxheads pada usia 18 tahun, konsep jenama tersebut jauh berbeza.
Beliau mengukir dan menjual arca tanah liat berunsur seram berbanding klip rambut berunsur comel yang dihasilkannya hari ini.
Namun, selepas mendirikan rumah tangga pada usia 23 tahun dan menimang cahaya mata dua tahun kemudian, tumpuan terhadap Dollxheads terhenti.
“Segalanya berubah apabila saya bergelar ibu kerana tumpuan saya beralih kepada keluarga dan membesarkan Nysha.
“Pada mulanya, saya tidak terfikir pun nak mulakan semula Dollxheads, tetapi tiba-tiba terdetik di dalam hati untuk mencipta sesuatu dan mewariskannya kepada anak saya satu hari nanti,” ujar Cik Sharmin.
Beliau memutuskan untuk mengekalkan nama jenamanya, namun konsepnya diubah kepada sesuatu yang lebih comel dan sesuai untuk kanak-kanak.
Daripada konsep seram, Dollxheads kini menumpukan kepada klip rambut berunsur reka bentuk dan motif comel yang direka sendiri oleh Cik Sharmin, lulusan Diploma dalam Reka Bentuk untuk Pengalaman Pengguna dari Politeknik Republic.
Antara klip rambut yang direka dan dijualnya termasuk reka bentuk makanan dan minuman harian seperti teh ais dan biskut, serta watak kartun dan haiwan seperti kucing.
Namun, Cik Sharmin, seorang mualaf yang memeluk Islam pada 2020, mengakui peralihan perniagaannya bukan tanpa cabaran.
“Sebelum memeluk Islam, gaya hidup saya lebih cenderung kepada budaya Gothic. Jadi, rasa pelik juga apabila mahu beralih konsep kepada sesuatu yang comel.
“Tetapi saya sedar, saya masih diri saya… cuma sekarang saya cipta sesuatu yang lebih sesuai dengan fasa hidup saya,” terangnya.
Menurut Cik Sharmin, inspirasi untuk reka bentuk klip rambut baru sering datang daripada rutin harian bersama Nysha.
Misalnya, reka bentuk klip rambut berbentuk papan tanda ‘Danger, Keep Out (Bahaya, Jangan Dekat)’ tercetus apabila beliau melalui kawasan pembinaan setiap hari ketika menghantar anaknya ke prasekolah.
Selain unsur visual unik, Cik Sharmin juga mereka bentuk watak yang mempunyai pancaran emosi jelas yang mudah dikenali oleh kanak-kanak, seperti gembira, sedih, marah atau takut.
“Saya rasa ini bermula daripada cara saya berinteraksi dengan anak saya ketika dia bayi. Ibu bapa biasanya membuat wajah yang menunjukkan perasaan berlebihan untuk menarik perhatian bayi.
“Kalau saya bukan seorang ibu, mungkin saya tidak terfikir tentang idea ini,” kongsi Cik Sharmin sambil membetulkan rambut Nysha.
Bagi Cik Sharmin, perniagaannya juga merupakan peluang untuk beliau menyemai nilai hidup dalam diri anaknya serta menekankan kepentingan integriti dalam berniaga, seperti tidak mengambil kesempatan terhadap pelanggan dan tidak terlalu tamak dalam mencari rezeki.
Selain mengurus Dollxheads, Cik Sharmin turut melakukan kerja pemasaran media sosial secara bebas.
Jadual padatnya termasuk mengurus klien, penggambaran di lokasi, urusan rumah tangga, serta memastikan keperluan Nysha mencukupi.
“Adakalanya saya rasa macam seekor sotong, ada banyak tangan dan perlu buat banyak benda pada masa sama.
“Tetapi saya harap kalau satu hari nanti jika Nysha rasa tidak tahu nak kerja apa atau nak mula dari mana, Dollxheads sudah tersedia untuknya.
“Saya memang ada niat untuk mewariskan perniagaan ini kepadanya, tetapi perlahan-lahan… Biar dia membesar dan alami kehidupan dulu,” katanya sambil merenung ke arah Nysha.
“
Secara umum, idea bagi seluruh perniagaan saya sebenarnya datang daripada anak saya. Apa yang saya cipta sekarang semuanya diilhamkan oleh Nysha. Ia seolah-olah satu kenangan tentangnya, sesuatu yang saya boleh simpan dan hargai apabila dia sudah besar nanti... Pada mulanya, saya tidak terfikir pun nak mulakan semula Dollxheads (perniagaan yang dimulakan pada usia 18 tahun), tetapi tiba-tiba terdetik di dalam hati untuk mencipta sesuatu dan mewariskannya kepada anak saya satu hari nanti.”
