Ibu manfaat AI hasilkan buku kanak-kanak, terap nilai murni

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu manfaat AI hasilkan buku kanak-kanak, terap nilai murni

‘Buzz Buzz Bismillah’ ambil inspirasi daripada minat kanak-kanak terhadap haiwan dan alam semula jadi, cermin nilai usaha dan kerjasama
Feb 12, 2026 | 5:30 AM

Ibu manfaat AI hasilkan buku kanak-kanak, terap nilai murni

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Maryam Dzinnira Mohd Huzaini, buzz buzz bismillah, dna, dunia anak, parenting
Cik Maryam Dzinnira Mohd Huzaini (tiga dari kanan) membacakan buku barunya, ‘Buzz Buzz Bismillah’, kepada anak-anaknya. Beliau bersama suaminya, Encik Ahmad Ainal Yakin Hutabarat (dua dari kiri), dan anak-anaknya (dari kiri), Ahmad Ihsan Ahmad Ainal, Aisyah Dzunaira Ahmad Ainal, Ahmad Idzhan Ahmad Ainal dan Ahmad Iman Ahmad Ainal. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Setiap malam, sebelum lampu rumah dipadamkan, Cik Maryam Dzinnira Mohd Huzaini, akan duduk di sisi katil dan membacakan buku cerita kepada anak-anaknya sambil menyelitkan nilai kehidupan secara halus.

Baginya, membaca buku sebelum tidur bukan sekadar rutin. Ia membuka ruang penting untuk mendekatkan anak-anaknya kepada nilai murni dengan cara yang lembut dan kasih sayang.

Rutin itulah yang akhirnya membawa kepada pelancaran buku terbarunya, Buzz Buzz Bismillah, sebuah buku cerita kanak-kanak berbahasa Inggeris yang berteraskan nilai agama.

“Salah satu inspirasi terbesar saya untuk buku ini sebenarnya datang daripada anak-anak saya sendiri.

“Saya selalu ingatkan mereka untuk mula apa-apa dengan berkata ‘bismillah’,” jelas Cik Maryam, 37 tahun, seorang perunding pengubahsuaian rumah.

Sebelum ini, Cik Maryam dan dua rakannya menghasilkan buku kanak-kanak bertajuk, Ana Muslim (Saya Seorang Muslim).

Buku itu diiktiraf dalam Anugerah Buku The Daybreak Press anjuran Rabata – badan tidak meraih keuntungan berteras pendidikan di Amerika Syarikat pada 2020.

Buku ‘Buzz Buzz Bismilah’ memperoleh cetusan inspirasi daripada Surah An-Nahl dan mengandungi nilai pembelajaran seperti sifat tolong-menolong, serta memberi manfaat kepada orang lain.
Buku ‘Buzz Buzz Bismilah’ memperoleh cetusan inspirasi daripada Surah An-Nahl dan mengandungi nilai pembelajaran seperti sifat tolong-menolong, serta memberi manfaat kepada orang lain. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Menurut Cik Maryam, buku Buzz Buzz Bismillah diinspirasikan daripada Surah An-Nahl dan menampilkan watak utama ‘Little Bee’ – seekor lebah kecil yang sifatnya mencerminkan nilai berusaha, bekerjasama dan kebaikan – yang berdasarkan keempat-empat anaknya.

Cik Maryam baru-baru ini melancarkan bukunya itu di kedai buku, Wardah Books, di Bussorah Street.

Sebagai ibu empat cahaya mata berusia antara tujuh dengan 13 tahun, beliau sentiasa mencari cara lembut dan menyeronokkan untuk memperkenalkan nilai murni kepada anak-anaknya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Cik Maryam mendapati kanak-kanak sangat tertarik dengan haiwan dan alam semula jadi.

Pemerhatian itu turut dipengaruhi gaya hidup keluarganya yang gemar meluangkan masa di luar rumah pada hujung minggu, sama ada berjalan-jalan di taman atau menikmati alam bersama-sama.

Pengalaman tersebut kemudian diterjemahkan ke dalam Buzz Buzz Bismillah.

Cik Maryam menggunakan aplikasi Canva dan alat kecerdasan buatan (AI), ChatGPT, untuk menghasilkan ilustrasi dan reka bentuk bukunya.
Cik Maryam menggunakan aplikasi Canva dan alat kecerdasan buatan (AI), ChatGPT, untuk menghasilkan ilustrasi dan reka bentuk bukunya. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

“Watak seperti lebah, semut, gajah, atau burung membuat kanak-kanak lebih mudah memberi tumpuan dan lebih seronok membaca.

“Itulah yang menjadi asas kepada pendekatan buku saya,” terang Cik Maryam.

Pendekatan itu, tambah Cik Maryam, selari dengan surah Al-Quran yang banyak menyebut tentang haiwan dan alam sebagai tanda kebesaran Allah swt.

Bagi beliau, alam semula jadi merupakan ‘jambatan’ semula jadi untuk membawa kanak-kanak lebih dekat dengan Al-Quran melalui sesuatu yang sudah mereka gemari.

Justeru, Cik Maryam memilih Surah An-Nahl sebagai tunjang penceritaan Buzz Buzz Bismillah.

Menurutnya, lebah digambarkan sebagai makhluk kecil yang bekerja keras, hidup secara bekerjasama dan menghasilkan madu yang memberi manfaat kepada manusia.

“Saya harap buku ini mengajar kanak-kanak bahawa walaupun kita kecil, kita tetap boleh buat kebaikan yang besar.

“Nilai usaha, tolong-menolong dan memberi manfaat kepada orang lain sangat penting untuk diterapkan dari usia muda,” ujarnya.

Menurut Cik Maryam, Buzz Buzz Bismillah dihasilkan sepenuhnya secara sendiri tanpa khidmat pereka bentuk profesional.

Semua ilustrasi dan reka bentuk buku tersebut dihasilkan sendiri oleh Cik Maryam menggunakan aplikasi Canva dan alat kecerdasan buatan (AI), ChatGPT.

Proses pembelajaran menggunakan aplikasi tersebut berlaku sedikit demi sedikit, sambil beliau mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan komitmen kerja sepenuh masa.

Cik Maryam berkata harapannya untuk Buzz Buzz Bismillah bukan sekadar menjadi buku cerita sebelum tidur, malah sumber inspirasi kepada ibu lain agar berani cuba berkarya.

“Pengalaman menghasilkan buku ini membuka mata saya bahawa seorang ibu, termasuk suri rumah, sebenarnya mampu berkarya dan menerbitkan kerja sendiri.

“Ini termasuk buku kanak-kanak, kalendar, diari, atau bahan kreatif lain yang berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan.

“Ia juga membuktikan kepada anak saya bahawa ibu mereka tetap berusaha mempertingkatkan diri, dan saya harap ini akan mendorong mereka untuk terus memperoleh ilmu baru,” katanya.

Pengalaman menghasilkan buku ini membuka mata saya bahawa seorang ibu, termasuk suri rumah, sebenarnya mampu berkarya dan menerbitkan kerja sendiri. ... Ia juga membuktikan kepada anak saya bahawa ibu mereka tetap berusaha mempertingkatkan diri, dan saya harap ini akan mendorong mereka untuk terus memperoleh ilmu baru.
Cik Maryam Dzinnira Mohd Huzaini, penulis buku kanak-kanak, ‘Buzz Buzz Bismillah’.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg