Anak jawab sepatah? Cara jadikan perbualan lebih bermakna
Anak jawab sepatah? Cara jadikan perbualan lebih bermakna
Perbualan kerap bantu kukuhkan pemahaman bahasa, tingkat keupayaan fahami bacaan
Anak jawab sepatah? Cara jadikan perbualan lebih bermakna
Ibu bapa dan pengasuh kepada kanak-kanak yang sudah bersekolah sudah tentu biasa menerima jawapan sepatah dua kata daripada mereka.
Perbualan antara kanak-kanak daripada pelbagai peringkat usia dengan orang dewasa yang prihatin dan mengambil berat memberikan manfaat besar kepada kesejahteraan mereka secara menyeluruh.
Jika perbualan itu dilakukan secara sengaja dan strategik, ia juga dapat mengukuhkan kemahiran yang menyumbang kepada perkembangan kecelikan dan bahasa yang lebih kukuh.
Apabila kita terlibat dalam perbualan bermutu dengan kanak-kanak, kita sebenarnya melakukan lebih daripada sekadar mengetahui bagaimanakah hari mereka di sekolah.
Berbual dengan kanak-kanak membantu mereka memahami dunia di sekeliling dan mengukuhkan kepercayaan dan hubungan.
Selain itu, ia turut memperkaya kosa kata mereka serta menjadi contoh struktur bahasa formal, iaitu bagaimana susunan dan aturan perkataan dalam ayat tertentu menghasilkan makna.
Perbualan antara kanak-kanak dengan orang dewasa juga berpotensi mempengaruhi hubungan antara bahagian tertentu dalam otak.
Dalam satu kajian terkini yang diterbitkan dalam, ‘Journal of Neuroscience’, perbualan secara dua hala antara kanak-kanak dengan orang dewasa didapati berkait dengan pengukuhan rangkaian komunikasi otak, khususnya antara bahagian yang berkaitan dengan pertuturan serta pemahaman bahasa bertulis dan lisan.
Berikut beberapa cara ibu bapa atau pengasuh boleh mencetuskan perbualan yang membantu memperkukuh kemahiran bahasa serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Dengar secara aktif
Pendengaran aktif bermaksud menunjukkan minat yang tulen terhadap apakah yang kanak-kanak ingin kongsi.
Ini termasuk mengurangkan gangguan di persekitaran, menghentikan kegiatan lain, serta mengulangi apa yang mereka katakan dan rasakan agar anda benar-benar memahami mereka.
Tanya soalan terbuka
Soalan terbuka menggalakkan kanak-kanak berhenti sejenak, berfikir dan membuat refleksi, berbanding sekadar menjawab “ya”, “tidak” atau “tak ada apa-apa”.
Soalan terbuka biasanya bermula dengan kata atau frasa seperti, “Mengapa, bagaimana, terangkan… ceritakan kepada saya tentang…, apakah pendapat kamu tentang…, atau apakah yang kamu perhatikan tentang…”.
Soalan terbuka juga boleh digunakan sebagai soalan susulan untuk memanjangkan perbualan.
Gunakan rangka ‘Strive-for-Five’
‘Strive-for-Five’ ialah rangka perbualan yang diperkenalkan oleh pendidik, Dr David Dickinson dan Cik Ann B. Morse, dan kemudian disesuaikan oleh penyelidik pendidikan, Dr Sonia Q. Cabell dan Dr Tricia A. Zucker.
Rangka itu bertujuan memperkaya perbualan dengan menggalakkan ibu bapa, pengasuh dan pendidik untuk mencapai sekurang-kurangnya lima giliran perbualan dengan kanak-kanak, berbanding perbualan yang biasanya mempunyai tiga giliran sahaja.
Giliran perbualan di bawah rangka ini seperti berikut:
1) Orang dewasa
2) Kanak-kanak
3) Orang dewasa
4) Kanak-kanak
5) Orang dewasa.
Untuk mengamalkannya, berikan respons yang mencabar pemikiran kanak-kanak dan menggalakkan mereka menggunakan bahasa.
Daripada menghentikan perbualan selepas giliran ketiga, cuba teruskan dengan bertanya soalan susulan yang menarik atau berkongsi pandangan lain untuk memanjangkan pertukaran perbualan tersebut.
Selitkan perbualan dalam rutin harian
Jika anda rasa sukar untuk mendengar secara aktif dan terlibat dalam perbualan yang bermakna pada waktu tertentu, cuba tetapkan masa yang lebih sesuai, seperti ketika melakukan rutin harian atau semasa membaca bersama.
Bentuk perbualan secara berperingkat
Strategi ini menyokong pembelajaran dengan mengasah kemahiran berdasarkan apa yang sudah diketahui oleh kanak-kanak, dan kemudian secara beransur-ansur mengurangkan bantuan apabila mereka semakin yakin.
Dalam konteks perbualan, ini boleh dilakukan dengan mengulangi perkataan atau frasa supaya digunakan dengan betul, memasukkan kosa kata daripada topik yang mereka pelajari atau minati, serta menyediakan permulaan ayat untuk mereka lengkapkan.
Melibatkan diri dalam perbualan yang kerap dan bermakna dengan kanak-kanak membantu mengukuhkan pemahaman bahasa mereka, yang seterusnya meningkatkan keupayaan memahami bacaan.
Kimberly Hillier ialah Pengajar di Fakulti Pendidikan di Universiti Windsor, Canada. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.


